
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung beberapa keputusan pengadil yang dianggap kontroversi ketika aksi pusingan kedua Masters Malaysia 2025, kelmarin.
Menurut BAM, tiga keputusan penting yang dibuat ketika kedudukan genting perlawanan antara gandingan muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, telah memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap keadilan dalam pertandingan tersebut.
“Satu aduan rasmi telah dihantar bersama bukti rakaman video dan dokumen perlawanan terperinci untuk semakan segera pihak BWF.
“BAM kekal komited menjunjung nilai-nilai semangat kesukanan dan profesionalisme, serta menggesa BWF mengambil tindakan segera dan telus bagi menangani isu ini dan mengelakkan kejadian sama berulang dalam kejohanan akan datang,” menurut BAM dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam aksi berdurasi 67 minit itu, Khai Xing-Aaron tewas 10-21, 26-26, 16-21 kepada gandingan Denmark terbabit.
Sementara itu, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh menegaskan, meskipun pihaknya menghormati peranan pegawai teknikal, adalah penting untuk BWF menjalankan semakan menyeluruh terhadap standard pengadilan.
Katanya berdasarkan penelitian BAM, keputusan yang dibuat oleh pengadil dalam perlawanan itu jelas merupakan kesilapan ketara dan telah menafikan peluang pemain negara untuk bersaing secara adil.
“Pengadilan sebegini bukan sahaja menjejaskan keputusan perlawanan, malah turut mencalar kredibiliti sukan badminton itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi turut melahirkan rasa kecewa dan menyifatkan keputusan pengadil sebagai tidak adil serta memberi tekanan emosi kepada Khai Xing, 19, dan Aaron, 18.– Bernama