DALAT: Rumbia atau sagu dianggap penduduk di kawasan ini sebagai penyelamat mereka daripada segi pembekalan makanan terutama sebelum negara kita merdeka.
Oleh kerana jarang atau tidak pernah kedengaran bahawa penduduk kita yang sampai ke tahap kebuluran seperti apa yang pernah berlaku di sesetengah negara di dunia ini dipercayai antara faktor kita terlepas pandang mengenai perkara tersebut.
Namun pada hakikatnya rumbia boleh dikatakan penyumbang utama makanan bagi kawasan Dalat dan daerah berdekatan semenjak dahulu kala lagi.
Kedudukan sagu dengan nasi adalah setaraf sebagai makanan ruji penduduk tempatan Dalat terutama dikalangan generasi emas, malah masa darurat ia berkedudukan lebih tinggi atas sebab-sebab tertentu.
Apabila ditanya mengenai kesahihan perkara tersebut, kebanyakan warga yang sudah berumur menyatakan bahawa kebergantungan terhadap sagu sebagai sumber makanan amat teserlah apabila bekalan makanan dari luar terjejas, termasuk semasa perang dunia kedua dan darurat.
Ia sedemikian kerana Daerah Dalat khasnya bukan kawasan penanaman padi seperti tempat lain di negeri ini.
Justeru, komoditi yang dipanggil balau dalam dialek Melanau ini boleh katakan sebagai `unsung hero’ atau wira tidak didendang dalam konteks moden, terutama semasa menghadapi sesuatu krisis yang melibatkan bekalan makanan bagi penduduk tempatan.
Faktor menyebab ia menjadi pilihan penduduk tempatan kerana ia boleh dijadikan pelbagai jenis makanan, terutama setelah sudah diperoses menjadi tepung/kanji.
Makanan popular yang diperbuat daripada sagu ini ialah bebola sagu, tebaloi, pelbagai jenis biskut, dan yang paling unik adalah ‘linut’.
PENYAMBUNG TALIAN HAYAT
Antara yang bersetuju dengan pendapat bahawa sagu adalah penyumbang utama terhadap kelangsungan hidup penduduk di kawasan Dalat pada zaman dahulu sehingga sekarang ialah Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat (PPKRD) Benedict Pon Akie.
“Saya sangat setuju dengan pendapat bahawa sagu yang juga dikenali sebagai ‘Balau’ oleh masyarakat Melanau ini adalah penyambung `talian hayat’ bagi masyarakat kita dari dahulu lagi sehingga sekarang.
“Justeru, cerita-cerita yang menyatakan bahawa balau telah menyelamat kita untuk memastikan ada makanan di atas meja walaupun kita putus dari bekalan makanan dari luar semasa genting seperti perang dunia kedua dan darurat itu saya yakin ia memang benar,” katanya lagi.
Katanya lagi beliau pernah bersembang mengenai sumbangan balau dengan beberapa orang yang pernah mengharungi insiden yang getir seperti itu.
“Antaranya ialah seorang arwah yang berpangkat bapa saudara saya. Beliau menyatakan pada zaman dahulu Balau itu bukan tumbuh seperti sekarang atau ditanam dengan teratur di satu lokasi. Dulu ia tumbuh di mana-mana dan juga mudah diperolehi asal rajin,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, baru-baru ini.
Selain itu, Pon juga bersependapat bahawa balau telah menyelamat kita dari zaman dahulu lagi itu adalah kenyataan yang tidak boleh dipertikaikan, berdasarkan pengalaman pribadinya.
“Walaupun saya belum lahir lagi semasa perang dunia kedua, saya percaya Balau memang memainkan peranan yang cukup genting pada masa itu. Ini berdasarkan pengalaman saya, kerana arwah bapa saya akan menebang balau apabila dia memerlukan wang semenjak saya kecil lagi. Mahu hantar kita pergi sekolah, berubat, dan sebagainya termasuk untuk membeli makanan.
“Ia seolah-olah balau itu adalah bank atau kad ATM pada waktu itu. Yang ditebang itu tak banyak, sesuai dengan keperluan semasa sahaja. Sekarang masa kita dilanda Covid-19 ini juga menyaksikan orang kita bergantung dengan penjualan balau untuk kelangsungan hidup terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa malah pada zaman dahulu wang tunai agak kurang jadi penduduk memilih untuk bertukar barang makanan seperti sagu dengan beras dan sebagainya.
“Malah pada zaman saya kecil dahulu `aktiviti tukar barang(barter trade)’ atau dikenali ‘menyango’ itu adalah perkara biasa dengan masyarakat kita di Dalat. Yang terkenal ialah pertukaran barang makanan di antara penduduk di Batang Igan dan penduduk di Batang Oya kita ini.
“Barang yang sering menjadi bahan pertukaran ialah tepung sagu atau bebola sagu dari pihak kita di Dalat, dan mereka dari Batang Igan membawa beras atau dipanggil sebagai Beras Uma. Ada juga menyatakan pedagang Cina dari Sibu sanggup berdayung hingga ke Dalat untuk memperolehi tepung sagu atau kanji,” tambahnya lagi.
Justeru, penduduk-penduduk di daerah ini menyatakan kesyukuran atas reaksi positif pemimpin negeri mengenai pembangunan industri rumbia kebelakangan ini.
Dan senario itu dengan sendirinya telah menunjukan betapa pentingnya komoditi ini buat penduduk dan juga ekonomi Daerah Dalat, dan negeri, amnya.
Apatah lagi, kawasan ini adalah merupkan pengeluar tepung sagu yang terbesar di negara dan malah di dunia.
Kumpulan yang amat mengalu-alukan dan mengharapkan respons seumpama itu dari kerajaan adalah pekebun-pekebun kecil rumbia yang sememangnya bergantung kepada komoditi tersebut sebagai sumber ekonomi keluarga.
Sambutan yang amat menggalakkan daripada pemimpin, ujar Pon, telah dipertontonkan oleh beberapa pimimpin berkaitan pada beberapa pertemuan atau majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.
“Kita amat bersyukur kerana wakil rakyat kawasan kita iaitu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, telah dengan lantang membawakan prihal tersebut kepada menteri-menteri yang berkenaan. Kalau sebelum ini ia telah mendapat perhatian Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan yang terkini, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, termasuk Ketua Menteri, sendiri,” ujarnya.
Adalah difahamkan pekebun-pekebun kecil rumbia adalah merupakan penyumbang utama industri sagu atau 90.77 peratus daripada jumlah keluasan tanaman rumbia di negeri ini dan Malaysia, amnya.
Ia dipelopori oleh Daerah Dalat sebagai pengeluar tepung sagu terbesar di Sarawak dan Malaysia, dengan enam buah kilang sagu di Daerah Dalat menggunakan lebih daripada 230,000 potong rumbia (potongan pendek) yang dibeli daripada pekebun-pekebun kecil dengan harga RM12 sepotong tiap-tiap bulan,.
Kekuatan industri rumbia Dalat selari dengan statistik 2015 yang diperolehi daripada sumber yang sahih yang mana Daerah Dalat diperakui sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah keluasan tanaman rumbia di Sarawak ialah 51,518 hektar ( 46,768 pekebun kecil dan 4,750 estet/mini estet)
Bahagian Mukah mempunyai keluasan tanaman rumbia terbesar di negeri Sarawak iaitu berjumlah 45,392 hektar (40,642 hektar pekebun kecil/4,750 estet atau mini-estet) dengan Daerah Dalat sahaja (28,169 pekebun kecil/1,250 estet/mini estet).
Oleh HENRY B SIYU