KUALA LUMPUR: Pameran seni ‘Palet Budaya: Interaksi Seni & Gastronomi’ anjuran Balai Seni Negara mengajak penonton untuk merenung kekayaan budaya yang tersembunyi dalam interaksi masyarakat melalui makanan.
Balai Seni Negara dalam kenyataan hari ini berkata, pameran itu bukan sekadar memaparkan hasil seni, tetapi juga sebuah perjalanan mendalam melalui sejarah, tradisi, dan kehidupan sehari-hari yang diabadikan dalam karya seni yang indah.
“Pameran ini menggabungkan karya-karya seni terpilih dengan konsep yang memaparkan perhubungan erat antara seni, budaya, sosial, tradisi dan ekonomi. ‘Palet Budaya’ menghadirkan aspek-aspek penting dalam interaksi sosial melalui makanan dan medium makanan dalam masyarakat.
“Melibatkan komponen budaya dan komunikasi, pameran ini menggali unsur-unsur keperluan gastronomi sebagai elemen kunci dalam keterikatan sosial,” menurut kenyataan tersebut.
Pameran ‘Palet Budaya: Interaksi Seni & Gastronomi’ ini dibuka setiap hari sehingga 29 April di Galeri 3A, Balai Seni Negara.
Menurut kenyataan itu, pameran berkenaan turut mengajak audiens melihat hubungan antara makanan dan identiti individu, yang tak dapat diasingkan dari struktur sosial masyarakat.
“Budaya pemakanan dianggap sebagai refleksi sejarah dan identiti suatu komuniti, dan karya-karya seni menggambarkan pengalaman harian dalam asimilasi dan aliterasi budaya. Artis menonjolkan pendekatan normatif membahas hubungan gastronomi dalam interaksi sosial, jaringan ekonomi, fokus pada peraturan, cara hidup, nilai-nilai, dan kemandirian masyarakat.
“Melalui karya-karya mereka, pameran ini menjadi refleksi pengalaman harian dan estetika, menggambarkan budaya suatu masyarakat dari sudut pandang gastronomi,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai pameran ini boleh didapati menerusi laman sesawang www.artgallery.gov.my dan media sosial rasmi Balai Seni Negara. – Bernama