
SIBU: Penduduk Kampung Bahagia Jaya Teku kini memiliki sebuah balai raya baharu yang siap dibina menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM300,000.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, kemudahan itu diwujudkan bagi menyediakan ruang lebih kondusif untuk pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, balai raya tersebut dilengkapi dengan ruang utama, bilik mesyuarat, bilik JKKK serta pantri bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Selain itu, saya juga bercadang menambah beberapa kemudahan lain seperti kerusi, meja, sistem audio dan penghawa dingin dengan anggaran kos sekitar RM100,000,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, pembangunan kemudahan di kampung berkenaan akan diteruskan secara berperingkat tertakluk kepada kelulusan peruntukan RTP bagi 2026 dan 2027.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pembinaan kemudahan bilik JKK di kawasan rumah panjang dalam DUN Nangka turut diberi perhatian.
“Ada rumah panjang yang telah mempunyai bilik JKK dan kita menyasarkan lebih banyak pembinaan dapat dilaksanakan menjelang 2026,” ujarnya.
Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan projek siap balai raya tersebut oleh Jurutera Eksekutif (Projek Kecil) Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, Yusmin Yaakub kepada Penghulu Kampung Bahagia Jaya Teku, Mirza Mohamad.
Oleh Tarani Lanting