KUCHING: Balai Polis Song, Julau dan Matu Daro akan diberi tumpuan sepenuhnya untuk dibaik pulih secepat mungkin.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai permulaan memandangkan hampir semua balai polis di negeri ini perlu dibaik pulih.
“Struktur bangunan balai-balai polis ini sudah usang dan seperti di Daro selalu dilanda banjir.
“Memang tidak sesuai lagi untuk anggota-anggota polis kita beroperasi,” katanya ketika ditemui pada lawatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Pada masa sama, lawatan beliau ke IPK Sarawak bertujuan mendapatkan gambaran sebenar berhubung keperluan mendesak kontinjen Sarawak khususnya dari sudut infrastruktur.
Nanta berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memang ada pelan jangka panjang untuk menaik taraf kemudahan di setiap balai polis.
Berhubung kemudahan perumahan bagi anggota, beliau berharap pihak polis dapat menyediakan maklumat.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri.
Oleh MOHD NEENATUL AIZAL