
MIRI: Balai Polis Batu Niah dan Bekenu masing-masing menerima dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) khas untuk pemantauan di kawasan.
Majlis penyerahan motosikal URB telah disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Miri (IPD) ACP Mohd Farhan Lee Abdullah yang diadakan di Bilik Mesyuarat IPD Miri semalam.
Dokumen serah terima telah ditandatangani oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKKD) Miri, ASP Lee Yen Fang.
Sementara itu, bagi pihak penerima ditandatangan oleh Ketua Polis Balai Batu Niah, Sarjan Rasit Othman dan Ketua Polis Balai Bekenu Sarjan Rudy Balan.
Menurut kenyataan IPD Miri, dengan penyerahan motosikal tersebut, adalah keupayaan rondaan dan pemantauan di kawasan Bekenu dan Niah dijangka dapat dipertingkatkan, sekali gus memastikan tahap keselamatan awam lebih terjamin.
“Keupayaan mobiliti yang pantas dan efisien akan mempercepatkan keberadaan polis di lapangan, terutamanya di kawasan luar bandar serta kawasan berisiko.
“Inisiatif ini juga diyakini dapat mengukuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan yang proaktif, responsif dan mesra masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, rondaan bermotosikal yang lebih kerap serta dekat dengan komuniti akan menyokong strategi pencegahan jenayah, di samping memastikan sumber logistik diagihkan secara seimbang untuk memperkukuhkan operasi harian Balai Polis Bekenu dan Batu Niah.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Nur Ashyikin Abdullah, bersama Ketua-Ketua Bahagian serta Ketua Polis Balai sekitar IPD Miri.
Adum Liu