DALAT: Daerah Dalat dijangka mempunyai sebuah balai bomba tahun depan, sekali gus bakal mengakhiri penantian yang sekian lama penduduk di sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata permohonan untuk pembinaan bangunan balai bomba itu diajukan kepada pihak berkuasa sejak 2009 lagi.
“Saya bersyukur akhirnya projek itu akan dilaksanakan pada tahun depan iaitu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12(RMK-12),” katanya ketika menyantuni seorang warga emas, Sili Kalat sekeluarga yang yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Hilir Dalat di sini, hari ini.
Pada lawatan itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa dan akan mengajukan permohonan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskinan (PPRT) untuk keluarga mangsa melalui Pejabat Daerah Dalat.
Fatimah berkata berikutan kejadian kebakaran itu, beliau terus menghubungi Pegawai Tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertanyakan mengenai projek Balai Bomba untuk Daerah Dalat dan diberitahu pembinaannya tahun depan.
Katanya, kawasan Dalat memang memerlukan kemudahan balkai bomba kerana jarak Balai Bomba terdekat di bandar Mukah adalah lebih 40 kilometer dari pekan Dalat.
“Dalam kes kebakaran di sini (Dalat), ia boleh memakan masa lebih setengah jam untuk sampai (dari Mukah) dan sekitar sejam perjalanan dari Bandar Mukah ke kampung yang paling hujung di kawasan ini,” katanya.
Oleh Henry b Siyu