
SARATOK: Kejohanan Badminton Junior Kelab WBC Saratok yang berlangsung di Dewan Taman Seroja Indah Saratok berjaya menampilkan aksi bertenaga serta mencungkil bakat-bakat muda berpotensi dalam kalangan pemain bawah umur.
Bagi Kategori Lelaki 16 Tahun ke Bawah (TKB), gandingan Benesj Chiong Shi Poh dan Dess Arundell muncul juara selepas menewaskan Hazem Aqel Voon dan Tong Sheng yang berpuas hati di tempat naib johan, manakala tempat ketiga menjadi milik Marchell Wayne Tok dan Braden Ong Syn Chun.
Selain itu, bagi Kategori Perempuan 16 TKB, pasangan Deborah Derbie Dula dan Caztylina Mia menjuarai pertandingan, diikuti Nurul Qaseh Batrisya dan Nur Fatin Nahirah sebagai naib johan, sementara Gerrallynia Pretty dan Nurul Nurhaiza menduduki tempat ketiga.

Saingan Kategori Lelaki 12 TKB menyaksikan Sim Yong Kang dan Chong Cheng Wei mengungguli gelaran juara. Clement Lee Shao Hong dan Marcell Majeng meraih naib johan, manakala Danny Tsai Jian Xiang dan Jesmy Jee Cong Jun di tempat ketiga.
Bagi Kategori Perempuan 12 Tahun ke Bawah (TKB) pula, pasangan Annabelle Lee Xin dan Calynn Law dinobatkan juara, diikuti Vidonia Chong Ying Xuen dan Lyvia Chong Ying Xin sebagai naib johan, sementara Lowiena Abegail Sayan dan Florinna Arisya meraih tempat ketiga.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, sekali gus menyuntik semangat para pemain muda untuk terus mengasah bakat dan melakar kejayaan pada masa hadapan.


Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Kelab Badminton WFC Saratok yang dipengerusikan oleh Wong Hui Ching atas komitmen tinggi dalam memartabatkan arena sukan badminton di Saratok.
Menurut Mohamad Duri, penganjuran kejohanan ini jelas membuktikan kesungguhan pengerusi serta ahli-ahli kelab dalam usaha mencungkil dan membangunkan bakat-bakat baharu khususnya dalam kategori bawah 16 dan 12 tahun.
Beliau berkata, kejohanan berkenaan bukan sahaja mendapat sambutan daripada pemain tempatan, malah turut menarik penyertaan peserta dari luar Daerah Saratok termasuk Kuching, Sri Aman, Betong, Debak dan Lubuk Antu, sekali gus menjadikan pertandingan lebih kompetitif dan berprestij.



Tambahnya lagi, penganjuran kejohanan seumpama ini amat wajar diteruskan kerana ia memberi pendedahan awal dan platform terbaik kepada pemain muda untuk mengasah bakat, seterusnya menjadi pelapis berpotensi dalam pembangunan sukan badminton di Daerah Saratok khususnya dan negeri Sarawak amnya.
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu telah dianjurkan dan ditaja sepenuhnya oleh Kelab Badminton WFC Saratok, sekali gus membuktikan peranan aktif kelab tersebut dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Oleh Adi Safarman