KOTA SAMARAHAN: Peluang mempelajari teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diperluas kepada murid di luar bandar supaya mereka turut mempunyai ruang mencungkil potensi dalam bidang teknologi yang semakin penting dalam ekonomi masa kini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, usaha melahirkan bakat AI perlu bermula lebih awal dengan memastikan sekolah luar bandar turut dilengkapi kemudahan digital yang bersesuaian.
Menurutnya, pembangunan bakat teknologi tidak wajar tertumpu kepada pelajar di kawasan bandar kerana murid di luar bandar juga mempunyai potensi untuk berkembang dalam bidang berkenaan sekiranya diberikan pendedahan dan kemudahan yang mencukupi.
“Perhatian juga perlu diberikan kepada sekolah di luar bandar, terutama dari segi akses kepada kemudahan digital dan peralatan yang boleh membantu murid meneroka teknologi dengan lebih mudah.
“Pada masa sama, minat terhadap AI perlu dipupuk sejak kecil. Kita tidak mahu hanya menunggu pelajar yang sudah berminat untuk menyertai program seperti ini, sebaliknya minat itu perlu dibina dari peringkat sekolah rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program ‘AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026’ di Perkampungan Digital TEGAS di sini, hari ini.
Abdullah berkata, hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkukuh kemudahan digital di sekolah, termasuk melalui pembangunan makmal digital, merupakan langkah penting dalam memperkenalkan teknologi kepada generasi muda.
Katanya, pendedahan sedemikian dapat memberi peluang kepada murid untuk bukan sahaja menggunakan teknologi, malah memahami potensinya dan mula membina kemahiran yang boleh dimanfaatkan pada masa depan.
Beliau yang juga Setiausaha Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, usaha memperkukuh kemudahan digital di luar bandar turut memainkan peranan dalam memastikan lokasi tidak menjadi penghalang kepada seseorang murid untuk mengejar peluang dalam bidang teknologi.
“Peluang untuk belajar dan mencuba teknologi perlu dibuka seluas mungkin, tidak kira sama ada murid itu berada di bandar atau di luar bandar.
“Dengan kemudahan yang betul serta pendedahan yang berterusan, kita boleh membantu mereka mengenal pasti kebolehan masing-masing dan seterusnya mengembangkan bakat itu,” ujarnya.





