
KUCHING: Kambing dari baka Barbados dan lembu baka Brahman menjadi antara pilihan masyarakat di sini bagi tujuan ibadah korban menjelang sambutan Aidiladha pada Sabtu ini.
Pemilik Syarikat Maju Ternak Albarakah Syed Razuan Ali berkata selain mempunyai tekstur daging lembut yang disukai ramai, kedua-dua baka berkenaan juga menjadi pilihan penternak kerana mudah untuk dijaga.
Beliau berkata bagi sambutan Aidiladha tahun ini sebanyak 180 ekor kambing Barbados dan 120 ekor lembu Brahman miliknya telah dijual.
“Pada Aidiladha, memang setiap tahun kita boleh lihat peningkatan permintaan, bagi tahun ini sahaja syarikat kami menyediakan kira-kira 300 hingga 400 ekor kambing dan lebih 150 ekor lembu yang sedia untuk dijual.
“Setakat ini memang kita mampu menampung permintaan. Kami juga mempunyai kerjasama dengan rakan penternak lain sekiranya kita kekurangan kambing atau lembu,” katanya kepada Bernama.
Menurut Syed Razuan, beliau menjual kambing Barbados dengan harga bermula dari RM1,200 hingga RM1,800 manakala lembu Brahman pula bermula dari RM8,000 hingga RM9,500.
Selain memenuhi permintaan pelanggan dari sekitar Kuching, beliau turut mempunyai pembeli dari kawasan luar seperti Samarahan dan Padawan.
Terletak di kawasan Sungai Cina, Matang kira-kira 21 kilometer dari bandar Kuching, ladang milik Syed Razuan berkeluasan kira-kira 2.8 hektar itu boleh menampung lebih 500 ekor haiwan ruminan.
-Bernama