Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Baja organik keladi bunting beri manfaat ekonomi kepada komuniti di Dalat
  • Utara
  • WILAYAH

Baja organik keladi bunting beri manfaat ekonomi kepada komuniti di Dalat

Utusan Sarawak 2 days ago
MENTERI Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah melihat baja organik yang dihasilkan menerusi mengeringkan larva lalat Black Soldier Fly ketika melawat pusat ternakan lalat Black Soldier Fly pada Majlis Pra Pelancaran Pusat Pemprosesan Baja Dalat, hari ini. Inisiatif ini adalah program berasaskan komuniti yang inovatif yang menukarkan sisa organik kepada sumber bernilai sambil mewujudkan peluang ekonomi tempatan yang baharu. Foto: Bernama

MUKAH: Projek pemprosesan keladi bunting menjadi baja organik mewujudkan sumber pendapatan baharu buat penduduk, khususnya golongan wanita di daerah Dalat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata golongan wanita yang terlibat dalam projek itu bukan sahaja bekerja di pusat pemprosesan baja, malah turut menjana pendapatan menerusi aktiviti mengutip keladi bunting di sungai sebelum menjualnya sebagai bahan mentah di pusat berkenaan.

Beliau berkata projek itu memanfaatkan teknologi lalat Askar Hitam atau Black Soldier Fly untuk mengitar semula bahan buangan organik termasuk keladi bunting bagi menghasilkan baja organik berkualiti tinggi serta makanan ternakan yang kaya dengan protein.

“Inisiatif ini mengubah tumbuhan invasif yang sebelum ini menjadi masalah kepada komuniti sungai kepada sumber ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Baja Organik dan Makanan Ternakan di Dalat di sini, hari ini.

Fatimah berkata projek itu kini mencapai kejayaan fasa pertama menerusi pembinaan pusat pemprosesan, penyediaan peralatan, stok awal serta pelaksanaan operasi di Kampung Kekan, Dalat.

Inisiatif itu, menurut Fatimah bukan sahaja membantu membersihkan sungai daripada tumbuhan yang tumbuh secara agresif, tetapi juga membuka peluang pendapatan kepada penduduk terlibat dalam aktiviti pengumpulan dan pemprosesan bahan mentah.

MENTERI Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah mendengar penerangan daripada Pengerusi Koperasi Dalat Lestari Berhad Aznie Abdulah ketika melawat pusat ternakan lalat Black Soldier Fly bagi menghasilkan larva lalat untuk dijadikan baja dan makanan ternakan ayam pada Majlis Pra Pelancaran Pusat Pemprosesan Baja Dalat hari ini. Inisiatif ini adalah program berasaskan komuniti yang inovatif yang menukarkan sisa organik kepada sumber bernilai sambil mewujudkan peluang ekonomi tempatan yang baharu. Foto: Bernama

Beliau berkata sepanjang tahun ini, sebanyak 3,227 kilogram (kg) keladi bunting berjaya dikutip sebagai bahan mentah untuk penghasilan baja organik dengan bayaran 40 sen bagi setiap kilogram diberikan kepada mereka yang mengutip tumbuhan itu. 

Fatimah berkata sebanyak 804 kg baja organik dihasilkan pada tahun lepas dengan hasil jualan berjumlah RM2,400 manakala bagi tahun ini, sebanyak 676 kg baja telah dihasilkan setakat ini dengan nilai jualan mencecah RM2,119.

Terdahulu, Fatimah melancarkan pusat pemprosesan itu yang turut berfungsi sebagai ladang pembiakan lalat Askar Hitam, hasil kerjasama kerajaan negeri dan Petronas dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

Beliau berkata keladi bunting dimanfaatkan sebagai bahan organik untuk menghasilkan biojisim bagi pembiakan larva lalat itu sebelum sisa tumbuhan diproses menjadi baja organik.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Sarawak Norazibah Md Rabu berkata projek komuniti di Dalat itu mencerminkan komitmen Petronas dalam menyokong kesejahteraan masyarakat di samping memajukan penyelesaian mampan bagi menangani cabaran setempat. – Bernama

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Mayat warga emas ditemukan di tebing Sungai Batang Kayan
Next: IPD Lawas anjur LDP tingkat kemahiran siasatan jenayah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.