Oleh: Mohd Firdaus Dahlan
“PON! PON! PON!”
“Razi, kawan kau dah sampai tu!” Laung seorang wanita separuh abad dari arah dapur. Tak perlu jenguk pintu hadapan rumah, sudah tahu siapa yang datang.
Lelaki yang bernama Razi kini terkial-kial mengemas barang dan memasukkan sesuatu ke dalam beg belakangnya. “Ya, kejap!”
Setelah yakin semua barang sudah dimuatkan ke dalam beg, Razi mencapai kunci motosikal yang tergantung pada dinding bilik. Telefon Oppo A54 diambil di atas meja. Paparan skrin menunjukkan sekarang sudah jam sembilan setengah pagi. Waktu yang sangat tepat seperti yang telah dijanjikan oleh kawan-kawannya! Kemudian, barulah dia melangkah keluar dari bilik sambil di tangan kirinya membawa helmet biru. Setibanya dia di muka pintu, emaknya sedang berborak mesra dengan dua orang kawan baiknya, Hasrul dan Syamsul.
“Korang nak bawa anak aku ke mana pulak hari ini?”
“Jalan-jalan hirup udara segar, mak cik,” balas Hasrul. Senyuman terhias indah di wajah mempamerkan lesung pipit pada kedua-dua pipinya. Tubuhnya bersaiz paling kecil antara mereka bertiga, tetapi wajahnya yang paling tampan sehingga menjadi pujaan gadis-gadis.
“Eloklah tu. Daripada dia terpuruk je kat rumah sepanjang dia cuti ni, ada juga benda yang boleh tenang-tenangkan dia,” ujar emak Razi dengan nada lembut.
“Memang itulah niat sebenar kami, mak cik,” kali ini giliran Syamsul, lelaki kurus dan tinggi pula yang menjawab untuk bermesra-mesra dengan emak Razi.
“Mak, Razi pergi dulu ya.” Razi yang sudah berada di luar pintu menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam dengan wanita itu.
Dari sentuhan salam emaknya, dia dapat rasa betapa eratnya emak menggenggam tangan Razi seusai dia mencium tangan wanita itu. Wajah emaknya ditatap sebentar. Ada sayu yang masih tersisa di sebalik mata yang redup itu. Ada kesan hitam di bawah mata yang menandakan wanita itu sudah puas menangis.
“Kau pergilah berhibur dengan kawan-kawan kau tu. Tapi ingat, bawak motosikal tu elok-elok. Jangan laju sangat. Jaga diri kau tu. Kawal perasaan kau, emosi kau,” pesan emak sambil tangannya masih kejap memegang tangan anak sulungnya itu. Seolah-olah hatinya terasa berat untuk melepaskan Razi melangkah keluar dari rumah.
Hasrul dan Syamsul yang masih kekal di atas motosikal masing-masing, saling berpandangan. Mereka cukup memahami drama sebabak yang berlaku secara spontan di pagi hari itu. Kebetulan pula, niat mereka membawa Razi keluar bersama memang bersebab, iaitu untuk menyembuhkan kesedihan yang memenjara diri Razi sejak beberapa hari yang lalu.
“Tadaaa!” Kita dah sampai!” laung Hasrul cuba membangkitkan lagi ketetujaan dua kawannya.
Di hadapan mereka sekarang adalah sebuah kolam air gunung yang menghijau, pantulan dari kehijauan tumbuhan semula jadi yang mekar hidup di sekeliling. Ditambah pulak dengan aliran sungai yang pastinya bermula dari atas gunung dan terus mengalir sehingga ke bawah. Tapak lantai pula diperbuat dari kayu. Di bahagian kiri mereka pula, jelas kelihatan laut yang membiru dari atas. Air sungai mengalirkan nikmat air gunung yang sejuk sehingga akhirnya tembus bertembung dengan air laut di bawah sana. Indahnya ciptaaan Tuhan. Tanpa membuang masa, Hasrul menanggalkan baju dan seluar yang kemudiannya digantikan dengan baju tanpa lengan dan seluar pendek. Tidak menghiraukan betapa sejuknya air gunung, dia terus menceburkan diri ke dalam air. Nyaman dan segar!
“Kau ni memang dah tak sabar-sabar, eh?” jerit Syamsul apabila percikan air terkena baju yang dia pakai.
“Balas dendam rindu! Lama dah craving nak mandi sungai macam ni,” jawab Hasrul yang berdiri di tengah-tengah kolam sambil tersenyum bahagia. Airnya tidaklah dalam mana pun. Hanya paras dada lelaki dewasa tapi nikmat mandi sungai itu adalah satu kegembiraan yang sukar untuk dijelaskan!
Giliran Syamsul pula menjunamkan dirinya ke dalam air sekaligus membalas perbuatan Hasrul dengan memercikkan air ke arah kawan baiknya itu.
Sekilas, Hasrul memandang ke arah Razi yang masih mencangkung di atas permukaan batu. Takut-takut untuk mencelupkan kaki ke dalam air. Dingin terasa sehingga menggetarkan tubuh, ditambah pulak dengan cuaca mendung dan tidak begitu panas.
“Wei, Razi! Cepatlah join kami kat sini,” jerit Syamsul.
“Ya, sekejap. Aku datang.”
Hasrul dan Syamsul gelak besar melihat celoteh kawanya itu. Belum apa-apa dah bergetar satu badan! Tanpa melengahkan masa, Syamsul mengambil peranan dengan memercikkan air ke arah Razi sehingga basah lelaki itu dikerjakan. Sudah alang-alang bermandi dengan simbahan yang dilakukan Syamsul, dia membuat aksi menyelam lalu menghampiri kedua kawannya.
“Apa kata kita main lumba siapa yang paling pantas berenang dari hujung sana ke hujung situ?” cadang Hasrul setelah ketiga-tiga mereka berkumpul di tempat yang sama.
“Aku pasti aku menang!” Syamsul menunjukkan semangat yang berkobar-kobar.
“Jom! Jom! Jom!” sahut Razi menyokong cadangan itu.
Selama lebih satu jam mereka menyelam, berenang, sekejap timbul sekejap masuk semula dalam air sambil borak-borak mencipta kenangan yang tak akan pernah dilupakan. Sampailah mereka rasa puas, lalu masing-masing naik semula ke darat dan mengemas tempat duduk untuk lepak sambil makan jajan yang mereka bawa dari rumah.
Sesi lepak mereka diteruskan dengan duduk bersembang di tepi kolam. Matahari masih belum tegak di atas kepala. Setakat ini cuma ada mereka bertiga. Detik yang sesuai untuk berborak dan melepaskan semua yang terbuku di hati sekaligus melaksanakan tujuan yang sebenar mereka ke sini.
“Kau masih bawa Grab ke, Hasrul?” tanya Syamsul memulakan sesi. Di tangannya, sebungkus Twisties berperisa keju berjaya dibuka. Beberapa ketul dimasukkan ke dalam mulut sebelum bungkusan keropok itu dihulurkan kepada kedua-dua kawannya.
“Itu je kerja yang aku buat untuk poket money sendiri. Zaman sekarang, banyak fresh graduate yang masih belum dapat pekerjaan. Semakin ramai yang mencari kerja di luar sana, semakin banyak saingan yang perlu kita hadap,” ulas Hasrul panjang lebar.
“Aku rasa nak join kau jugaklah,” sambung Syamsul dengan mulut yang tidak berhenti mengunyah keropok.
“Tak ada masalah. Sekurang-kurangnya ada juga peneman aku masa aku tengah tersidai menunggu order.” Hasrul tertawa kecil.
Syamsul mencapai air Mountain Dew lalu meneguknya bagi membasahkan tegak. “Korang sendiri tahu kan, dah lima bulan aku diberhentikan kerja dengan alasan company tu dah tak mampu tampung bilangan pekerja yang ramai. Dalam tempoh lima bulan, macam-macam kerja aku apply tapi susah betul nak sangkut.”
Hasrul mendiamkan diri sejenak. Dari intonasi dan hembusan nafas kawannya itu, dia dapat rasa macam mana tertekannya hidup apabila dibuang kerja bukan sebab masalah displin, sebaliknya dipengaruhi faktor ekonomi di sesebuah kompeni.
“Hilang pekerjaan pada zaman yang serba mencabar ini memang sakit. Bila kau sedar yang wang dalam bank kau dah makin susut, kepala jadi runsing. Siang malam asyik fikir, bila nak dapat kerja? Bila lagi nak hidup mewah macam dulu? Orang dekat rumah, sanak saudara semua asyik tanya buat apa sekarang? Kerja kat mana sekarang? Mereka tak pernah tahu pun sebenarnya aku dibuang kerja.”
Hasrul berhenti menyuap keropok ke dalam mulut. Dia mengengsot sedikit ke arah Syamsul untuk menepuk bahu kawannya itu. “Tak payahlah stress sangat. Selama kau tak ada kerja ni pun aku selalu belanja kau, sebab aku faham. Masuk sini pun aku ikhlaskan hati belanja korang berdua sebab aku nak hari ni kita enjoy. Bukan syahdu-syahdu macam ni,” pujuk Hasrul.
Syamsul tersengih memandang tepat ke wajah Hasrul. “Kau tak payahlah nak baik sangat sampai semua orang kau nak belanja. Belajar sikit dari kesilapan. Takut nanti kecewa macam kau kecewa dengan Aina,” kata Syamsul. Tidak berniat untuk menyindir atau mengkritik, tetapi sengaja mengubah topik perbualan. Dan, nampaknya pancing mereka mengena apabila Razi buat muka pelik dan mula bersuara.
“Aina? Kenapa dengan Aina?” tanya Razi inginkan kepastian.
“Dorang dah putus dua minggu lepas,” jawab Syamsul selamba.
“Hah? Macam mana korang boleh putus? Aku tak tahu pun?” tanya Razi bertubi-tubi.
“Kadang-kadang orang nampak kami bahagia. Muat naik gambar dekat Instagram seolah-olah kami pasangan paling serasi. Makan mahal-mahal, pergi tempat mewah-mewah. Padahal tu semua hanya nak menunjuk-nunjuk.” Hasrul menghela nafas berat setelah menoktahkan kebenaran yang menyakitkan itu.
“Benda ni tak patut berlaku pada kau,” tegas Razi. Dia pula yang naik geram. Bukan pada Hasrul tapi pada Aina yang dulu beria lepas tu tinggalkan orang yang betul-betul sayang dia.
Di sebalik keprihatinan Razi, Syamsul menyembunyikan senyuman. Akhirnya, Razi telah menunjukkan diri dia yang sebenar. Bukan pendiam dan tak banyak cakap seperti masa mula-mula mereka sampai tadi.
“Alah, kau tak perlu sedih sangat, Hasrul. Hidup ni memang ada turun naiknya. Ramai lagi perempuan yang lebih layak untuk dapatkan cinta kau yang tampan dan baik hati ni,” kali ini giliran Syamsul membangkitkan semangat kawannya untuk terus hidup tanpa Aina.
Hasrul melemparkan pandangan ke tengah kolam. Ketenangan air gunung yang turun dari atas sana diiringi dengan keberadaan dua orang kawan yang saling memahami, sedikit sebanyak melapangkan fikiran. Sekurang-kurangnya dia belajar sesuatu dalam perhubungan. Kesetiaan itu sebenarnya kehendak individu. Sifat setia itu dah tertanam dalam hati yang hanya dapat dikawal oleh diri sendiri. Kadang-kadang, manusia tak pernah puas dengan apa yang mereka miliki sampai sanggup melukakan hati sesiapa sahaja demi keinginan diri sendiri.
“Bagi aku, lebih baik hilang awek dari hilang kawan macam korang. Kita bertiga ni dah lama kenal. Aku dah anggap korang macam keluarga aku sendiri,” ujar Hasrul seikhlas hati. Dia memandang wajah kedua-dua kawannya. Bermula dengan Syamsul yang tersengih macam perbualan mereka itu dianggap tidak serius. Sejurus, dia mengalihkan pandangan pada wajah Razi. Dia sedar perubahan riak wajah lelaki itu apabila dia menekan perkataan ‘hilang’ dan ‘keluarga’ sebentar tadi.
Lantas, Hasrul menghampiri Razi lalu memeluk bahunya. Memujuk hati yang masih belum sembuh.
“Kau Okay tak ni?” Hasrul mengambil peranan untuk memeriksa keadaan Razi.
Razi diam menundukkan kepala. Matanya dipejam rapat. Suasana yang tadinya riuh dengan suara-suara mereka kini sepi. Bunyi aliran air sungai menjadi latar yang cuba memberi ketenangan di kala mereka tenggelam dalam kepiluan.
Syamsul bangkit dari duduk, menapak ke sebelah Razi. Lelaki berduka itu kini dihimpit oleh kedua-dua rakannya kiri dan kanan. Umpama sepasang sayap yang akan membebaskan Razi dari belenggu kesedihan terbang jauh ke udara yang terbentang luas.
“Kalau kau pendam sorang-sorang, benda tu akan terpenjara dalam kepala. Kau sendiri yang akan rasa terbeban. Ini masa yang tepat untuk kau luahkan pada kami. Kau pernah kata, kalau salah seorang dari kita rasa sakit, yang lain pun akan rasa sakit juga. Macam dulu, kita lalui apa jua halangan bersama. Tanpa ada rahsia, tiada keraguan, tak ada kesedihan,” Hasrul bersuara memberikan keyakinan untuk Razi bercerita walaupun pada hakikatnya mereka tahu apa yang berlaku.
Razi hela nafas berat. Kepala diangkat. Matanya sudah bergenang dengan air mata. “Sepuluh hari yang lepas, aku hilang Najwa. Satu-satunya adik aku yang jadi penyeri dalam keluarga kami.” Razi menyeka airmata yang tumpah ke pipi. “Dia meninggal dunia semasa hari kelahiran dia yang ke-19. Motosikal yang dia bawa dilanggar oleh pemandu Hilux yang sesuka hati keluar simpang tak tengok kiri kanan.”
Masih segar dalam ingatan Razi apabila dia dan emak dikejutkan dengan berita yang memilukan itu. Pada hari kejadian, mereka berdua sedang mengemas rumah untuk membuat kejutan kepada Najwa. Tiba-tiba, satu panggilan telefon telah mematikan semangat mereka berdua apabila dikhabarkan Najwa terlibat dalam kemalangan dan meninggal di tempat kejadian. Emak yang tidak kuat untuk mendengar perkhabaran duka itu duduk melutut di lantai. Razi dengan pantas menggapai telefon yang terhempas ke lantai. Hatinya dirundung pilu apabila mendengar suara pemanggil yang memberitahu perkara yang berlaku. Dia tersandar ke dinding kemudian terduduk longlai. Setiap sudut rumah diperhati bersama linangan air mata. Setiap penjuru dan dinding rumah sudah terhias cantik dengan ucapan selamat hari jadi. Banyak belon berwarna-warni diikat hampir di setiap penjuru. Meja di ruang tamu dihias kemas dengan kek secret recipe terletak di tengah-tengah meja.
Razi memeluk lutut dan menyembunyikan tangisan di antara kedua lututnya. Ada sesal yang tersemat di hati.
“Kalau masa dapat diputarkan semula, aku takkan biarkan diri aku menyuruh Najwa keluar membeli barang pada hari jadi dia. Walaupun niat aku dan emak untuk membuat persediaan dan membuat kejutan buat dia, tapi sebaliknya kami yang dikejutkan dengan kehilangan dia.” Razi meraup mukanya yang sendu.
“Razi, jangan cakap macam tu. Semua ni berlaku bukan salah kau. Ini semua ketentuan takdir,” nasihat Hasrul lembut. Sementara Syamsul mengurut belakang Razi.
Sebenarnya semenjak perkhabaran itu diterima, sikap Razi berubah dengan drastik. Dia yang dulunya kuat menyakat, banyak bicara kini telah menjadi pendiam dan sentiasa mengurung diri dalam bilik. Ceria di wajah langsung hilang. Jiwanya betul-betul diragut oleh pemergian adiknya ke negeri abadi. Oleh itu, kembimbangan yang menghantui emak Razi telah mendorong pertemuan yang dirancang ini. Tak ada orang lain yang mampu menceriakan kembali hidup Razi melainkan kedua-dua kawan baiknya yang sudah dianggap macam keluarga sendiri. Lantas, emak Razi menghubungi Hasrul untuk membuatkan hati Razi gembira semula. Sebagai seorang kawan yang dah kenal lama, Hasrul tahu satu-satunya cara untuk mengeluarkan Razi dari penjara sesalan adalah dengan mengajak dia melakukan aktiviti yang dia suka. Berenang atau mandi sungai.
“Kau tak boleh hidup dalam penyesalan, Razi. Lagipun, orang yang langgar adik kau dah kena tangkap,” tegas Hasrul sedaya upaya memujuk lara di hati Razi.
“Undang-undang dapat hukum orang yang bersalah, tapi takkan dapat kembalikan nyawa yang dah melayang.”
“Kami faham. Tapi, kau tak boleh macam ni. Kalau kau tak fikir pasal kami berdua yang peduli dengan kau, cuba kau ingat balik emak kau. Dia dah hilang Najwa. Takkan kau nak biarkan dia hilang kau pulak? Kalau kau tak anggap kami macam keluarga kau pun takpa. Tapi, kau kena ingat yang kau masih ada seorang emak yang perlukan kasih sayang seorang anak,” kata-kata yang dilemparkan Hasrul kedengaran tegas dan serius tapi dia berniat baik untuk menunaikan permintaan emak Razi.
“Tolong jangan cakap macam tu, Hasrul. Korang memang dah macam keluarga aku. Aku tak nak korang pula yang hilang dari hidup aku.” Akhirnya dia sedar yang di sekeliling dia masih ada orang yang boleh mewarnai kehidupan yang penuh ranjau ini.
Suara kanak-kanak girang bergelak ketawa dari arah belakang mengalihkan perhatian mereka. Nampaknya pengunjung dah mula masuk untuk beriadah di kolam itu. Sedar tak sedar rupanya dah tengah hari.
“Dah. Tak payah syahdu-syahdu lagi. Kita kat sini nak enjoy. Malu karang orang nampak kau nangis-nangis,” kata Syamsul bersahaja sambil menepuk bahu Razi.
Senyuman manis yang dirindukan akhirnya terhias di wajah Razi.
Hasrul dan Syamsul membalas senyuman kegembiraan itu. Pada mulanya mereka sengaja membuka topik ‘hilang’ dari sudut pandangan dan cerita yang berbeza. Yang pasti, hilang keluarga lebih sakit dari hilang kekasih dan hilang pekerjaan. Awek dan duit masih boleh dicari. Tapi keluarga? Hanya tersemat di dalam hati.
Hasrul bersyukur, sekurang-kurangnya mereka berjaya membebaskan Razi dari segala kekesalan yang membelenggu dengan menumpangkan bahu untuk berkongsi duka.