Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Bahasa Melayu sebagai teras negara bangsa
  • KOLUMNIS

Bahasa Melayu sebagai teras negara bangsa

Utusan Sarawak 10 hours ago

PERDEBATAN mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah isu baharu dalam wacana pendidikan dan politik negara. 

Namun, dalam suasana politik pasca-pilihan raya yang menuntut kestabilan, keharmonian kaum dan keteguhan institusi negara, isu ini perlu ditangani secara berprinsip, berperlembagaan dan berhemah.

Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirianyang jelas dan konsisten bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti kekal sebagai teras sistem pendidikan dan identiti negara, manakala sebarang tuntutan pengiktirafan UEC tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan keperluan pembinaan negara bangsa.

Bahasa Melayu dan Perlembagaan

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kedudukan ini bukan bersifat simbolik semata-mata, tetapi merupakan asas pembinaan negara bangsa yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan wilayah.

Bahasa kebangsaan berfungsi sebagai wahana komunikasi bersama, medium pentadbiran, bahasa ilmu dan simbol kedaulatan negara.

Dalam konteks ini, penegasan Anwar bahawa penguasaan Bahasa Melayu mesti didahulukan sebelum sebarang cadangan berkaitan bahasa lain atau pengiktirafan UEC adalah satu pendirian kenegaraan yang matang.

Ia bukan penolakan terhadap kepelbagaian bahasa atau pendidikan vernakular, tetapi satu keutamaan strategik demi memastikan kesatuan nasional tidak terhakis oleh tuntutan sektoral yang sempit.

Pendekatan kerajaan dan syarat Kenegaraan

Kerajaan tidak mengambil pendekatan konfrontasi terhadap isu UEC. Sebaliknya, pendirian seperti yang dibawa oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menekankan bahawa sebarang keputusan mestilah berlandaskan Perlembagaan, bukan tekanan politik atau sentimen semasa.

Aspek ini adalah prinsip asas tadbir urus yang baik, iaitu dasar negara tidak boleh digubal berdasarkan desakan kumpulan tertentu tanpa menilai implikasi jangka panjang terhadap sistem pendidikan, pasaran pekerjaan dan pertautan sosial.

Menteri Pengajian Tinggi tersebut menegaskan bahawa isu UEC bukan sekadar soal akademik, tetapi berkait rapat dengan kerangka negara bangsa.

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pengiktirafan sijil peperiksaan membawa implikasi besar terhadap bahasa pengantar, kurikulum, latihan guru dan integrasi pelajar ke dalam sistem nasional. Oleh itu, sikap berhati-hati kerajaan adalah wajar dan bertanggungjawab.

Bahasa ilmu dan mobiliti sosial

Satu hujah penting dalam mempertahankan keutamaan Bahasa Melayu ialah peranannya sebagai bahasa mobiliti sosial dan keadilan pendidikan.

Sistem pendidikan kebangsaan menyediakan laluan yang relatif seragam kepada semua warganegara, tanpa mengira latar belakang etnik atau sosioekonomi.

Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama membolehkan pelajar dari luar bandar di seluruh pelosok negara, serta golongan B40 bersaing dalam ruang nasional yang sama.

Pengiktirafan UEC tanpa penyelarasan kurikulum kebangsaan berpotensi mewujudkan sistem dwi-aliran yang lebih terpisah, sekali gus memperkukuh pengasingan sosial berdasarkan etnik dan bahasa.

Dalam jangka panjang, situasi ini boleh melemahkan integrasi nasional dan menjejaskan aspirasi membina satu identiti Malaysia yang inklusif.

Menolak dipolitikkan, mempertahankan prinsip

Mohamad Hasan dan Johari Ghani antara pemimpin negara yang mewakili suara yang konsisten dalam isu ini, iaitu jangan mempolitikkan UEC, dan jangan mengorbankan prinsip kebangsaan demi keuntungan politik jangka pendek.

Mohamad Hasan menegaskan bahawa pengiktirafan UEC tidak pernah menjadi sebahagian daripada konsensus nasional, dan sebarang keputusan mesti mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk serta sejarah pembinaan negara.

Johari Ghani pula menekankan bahawa Bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan dalam apa-apa jua bentuk kompromi pendidikan. Beliau mengingatkan bahawa banyak negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Perancis kekal teguh menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama pendidikan, tanpa menjejaskan daya saing global mereka.

Malaysia tidak harus malu atau ragu untuk mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran.

Pilihan rasional

Terdapat hujah bahawa pengiktirafan UEC boleh mengukuhkan sistem pendidikan Malaysia dengan memanfaatkan kepelbagaian.

Namun, hujah ini perlu diteliti secara kritikal kerana persoalannya bukan sama ada kepelbagaian itu baik atau tidak, tetapi sama ada pengiktirafan UEC dalam bentuk sedia ada selaras dengan matlamat nasional.

Kebimbangan utama ialah ketiadaan penyelarasan penuh UEC dengan kurikulum kebangsaan, khususnya dalam subjek teras seperti Sejarah Malaysia, Bahasa Melayu dan Pendidikan Sivik.

Tanpa penyelarasan ini, pengiktirafan UEC boleh melemahkan usaha membentuk kesedaran kenegaraan yang sama dalam kalangan generasi muda.

Kerajaan lebih rasional dan tidak menutup pintu dialog. Namun, sebarang langkah ke arah pengiktirafan mesti bermula dengan penyelarasan kurikulum, pengukuhan penguasaan Bahasa Melayu dan penerimaan prinsip Perlembagaan. Perkara ini bukanlah penolakan, tetapi proses integrasi.

Bahasa Melayu dan realiti globalisasi

Dalam era globalisasi, penguasaan pelbagai bahasa adalah satu kelebihan. Kerajaan Madani tidak menafikan kepentingan bahasa Mandarin, Inggeris atau bahasa lain dalam perdagangan dan diplomasi.

Namun, penguasaan bahasa asing tidak harus berlaku dengan mengorbankan bahasa kebangsaan.

Anwar secara konsisten membawa naratif bahawa Bahasa Melayu mesti menjadi asas, manakala bahasa lain menjadi nilai tambah. Ini adalah pendekatan seimbang yang diamalkan oleh banyak negara berdaulat: satu bahasa kebangsaan yang kukuh, disokong oleh kecekapan penguasaan pelbagai bahasa.

Rumusan

Penolakan terhadap pengiktirafan UEC pada ketika ini bukanlah satu bentuk diskriminasi atau penafian hak pendidikan.

Ia adalah keputusan berasaskan Perlembagaan, realiti sosiopolitik dan keperluan jangka panjang negara.

Pendekatan kerajaan di bawah Anwar,  hujah-hujah pemimpin negara seperti Zambry Abdul Kadir, Mohamad Hasan dan Johari Ghani mencerminkan kematangan politik, iaitu tegas pada prinsip, terbuka pada dialog, dan bersikap berhati-hati dalam membuat keputusan.

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang kedaulatan, perpaduan dan masa depan Malaysia.

Mempertahankannya sebagai teras sistem pendidikan adalah tanggungjawab bersama, bukan agenda politik sempit.

Dalam konteks ini, kebijaksanaan bukan terletak pada mengalah kepada tekanan, tetapi pada keberanian mempertahankan asas negara bangsa demi generasi akan datang.

Pada masa sama, sudah tentu pemerintah dan pejuang bahasa perlu bergerak ke depan, khususnya berdepan dengan cabaran selama enam dekad apabila masih lagi berurusan rasmi surat menyurat pinjaman bank dan rumah masih lagi berbahasa Inggeris!.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau  ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Sejarah berdarah di Limbang, cubaan tolak pembentukan Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.