Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Bahasa Mandarin jadi aset bumiputera Sarawak tembusi pasaran global – Abang Johari
  • SEMASA

Bahasa Mandarin jadi aset bumiputera Sarawak tembusi pasaran global – Abang Johari

Utusan Sarawak 2 days ago
ABANG Johari berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-25 SM Kai Dee Bintulu, semalam. Foto UKAS

BINTULU: Penguasaan bahasa Mandarin merupakan aset strategik bagi golongan bumiputera di negeri ini untuk menembusi pasaran global, khususnya di China, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, trend peningkatan pelajar Iban, Melayu dan Melanau yang memilih sekolah aliran Cina akan melahirkan lebih ramai generasi muda bumiputera fasih berbahasa Mandarin dalam tempoh sedekad akan datang.

“Bayangkan seorang anak Iban mampu memasarkan hasil kelapa sawit terus ke China hanya kerana fasih berbahasa Mandarin. 

“Inilah kekuatan unik Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Perak Sekolah Menengah (SM) Kai Dee di sebuah hotel di sini, semalam.

ABANG Johari bersama kenamaan lain memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke-25 SM Kai Dee. Foto UKAS

Menurut Abang Johari, kemampuan menguasai bahasa Mandarin akan memberikan nilai tambah yang besar kepada generasi muda Bumiputera, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di peringkat antarabangsa.

Beliau menambah, kerajaan Sarawak akan terus konsisten memperkasa pendidikan aliran Cina termasuk melalui pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC).

“Pengiktirafan ini membolehkan lepasan sekolah menengah Cina menyertai perkhidmatan awam negeri serta melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri,” jelasnya.

Mulai 2026, tambah beliau, pelajar lepasan UEC juga akan menikmati pengajian percuma di universiti milik kerajaan negeri termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Swinburne Sarawak dan Universiti Curtin Malaysia.

“Setiap anak Sarawak, tanpa mengira kaum atau latar belakang, mesti diberi peluang sama rata untuk mengakses pendidikan tinggi. 

“Polisi ini akan meringankan beban ribuan keluarga,” ujarnya.

Sejak 2014, kerajaan Sarawak telah menyalurkan bantuan kewangan tahunan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina, bermula RM3 juta, meningkat ke RM5 juta, dan kini dinaikkan kepada RM10 juta setahun untuk 14 sekolah berkenaan.

“Secara keseluruhan, bantuan yang telah disalurkan mencecah hampir RM92 juta, selain tambahan RM22 juta pada 2024 untuk sekolah rendah dan menengah jenis bantuan Cina,” katanya.

Tambah beliau, pendidikan di Sarawak bukan sekadar menghasilkan graduan, tetapi membina generasi yang menguasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mampu merebut peluang dalam bidang baharu seperti ekonomi hidrogen, aeroangkasa, dagangan karbon dan teknologi satelit.

“Anak muda Sarawak mesti berani mencipta ilmu, bukan hanya menggunakannya. Sebab itu kita menekankan pendidikan berasaskan inovasi dan teknologi,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM25,000 kepada Lembaga Pengurusan SM Kai Dee sempena ulang tahun ke-25 sekolah berkenaan.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Shin Yang, Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho dan Pengerusi Lembaga Pengurusan SM Kai Dee, Datuk Dr Wong Aik Loung.

Oleh Carolyne Utih

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: AirBorneo ubahsuai ATR-72 jadi pesawat kargo, bawa hasil tani terus ke Singapura
Next: Kuching contoh model pembangunan budaya, pelancongan dan regenerasi bandar di Forum Wuhan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.