
LIMBANG: Baharu lima hari dibebaskan, seorang penganggur sekali lagi ditahan kerana positif dadah bersama rakannya semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, berkata suspek berusia 45 tahun ditahan bersama rakannya yang berumur 39 tahun menerusi Op Tapis di hadapan sebuah stor barang bersebelahan rumah di Taman Desa Pabahanan di sini, pada 12.30 tengah hari.
“Kedua-dua suspek ditahan bersama satu paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 0.25 gram.
“Hasil semakan mendapati suspek 45 tahun mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah manakala rakannya mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Parum berkata suspek berusia 45 tahun dipercayai mula terlibat dalam penagihan dadah sejak 1997, manakala rakannya sejak 2014.
“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” tambahnya.
Oleh Adeng Edrus