
LAWAS: Bahang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di daerah paling utara Sarawak semakin terasa apabila jalan raya menuju ke bandar Lawas sesak dengan kenderaan serta dihiasi kemeriahan tanglung berwarna-warni.
Tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati banyak kenderaan memasuki kawasan pusat bandar bagi pelbagai urusan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, suasana di pusat bandar dipenuhi hiasan tanglung yang menghiasi ruang antara deretan kedai sehingga ke Tokong Cina Lawas.
Beberapa penduduk masyarakat Cina di Lawas berharap isu gangguan bekalan air dan perkhidmatan telekomunikasi semasa sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) tidak menjejaskan kemeriahan perayaan tersebut.
Sambutan TBC tahun ini dijadualkan pada Selasa minggu depan, diikuti dengan ketibaan Ramadan yang dijangka bermula pada 19 Februari.
Utusan Sarawak akan terus membawa perkembangan semasa sambutan TBC di Daerah Lawas untuk dikongsi dengan masyarakat luar Lawas.
Oleh Adeng Edrus