Botol kosong yang terdapat di rumah jangan dibuang kerana ia boleh digunakan untuk menghasilkan
pelbagai produk kitar semula, sama ada untuk kegunaan di rumah atau sebagainya, selain turut menjaga
keindahan alam sekitar.
ORANG ramai perlu bijak memainkan peranan untuk menyelamatkan alam sekitar dengan mengitar semula bahan terbuang.
Ini kerana bahan terbuang seperti botol plastik mengambil masa ratusan tahun untuk lupus sepenuhnya.
Salah seorang pembuat barangan hiasan daripada barangan kitar semula, Josphine Tan memberitahu, setiap botol plastik kosong yang terdapat di rumah mempunyai nilainya yang tersendiri.
“Botol kosong yang terdapat di rumah jangan dibuang kerana ia boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk kitar semula, sama ada untuk kegunaan di rumah selain turut menjaga keindahan alam sekitar.
“Barang terbuang dan tidak dipakai masih boleh digunakan semula untuk dijadikan sesuatu benda lain yang menarik serta berguna,” jelasnya.
Menurutnya kreativiti kitar semula barang terbuang boleh dilakukan sendiri andai rajin dan punya masa terluang.
“Ya, walaupun kadangkala agak rumit dan tidak punya kemahiran, idea kitar semula ini boleh didedahkan kepada anak untuk mereka lakukan sambil belajar menghargai barang terbuang ini,” ujarnya.
Katanya, aktiviti tersebut mampu membuka minda dan meningkatkan kemahiran mereka di samping menyemai amalan kitar semula demi menjaga alam sekitar.
“Bimbingan dan dorongan akan menjadikan amalan kitar semula ini sebagai satu budaya pada masa akan datang,” ujarnua lagi.
Antara barangan yang dicipta daripada botol
plastik seperti bunga hiasan, bekas penyimpanan, lampu, dinding, kotak bingkisan, tabung, pasu, tirai, jam dinding, rak surat khabar dan permainan kanak-kanak.
Josephine berkata, kesedaran kepentingan kitar semula terhadap masa depan yang lebih hijau, amat penting disemai dalam masyarakat terutamanya golongan muda.
“Ini akan menjadikan generasi akan datang sebagai wira kitar semula menggunakan botol plastik air mineral terpakai dan menukarnya kepada karya seni yang bukan saja unik, malah turut mempunyai kegunaan,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, ini adalah komitmen berterusan dalam memupuk amalan kitar semula khususnya kepada generasi akan datang dalam mewujudkan masa depan yang mampan.