
SEOUL: Apa yang bermula sebagai mi pedas berani di Korea Selatan kini telah menjadi ikon makanan global dan Samyang Foods Inc tidak menunjukkan tanda-tanda akan memperlahankan momentum.
Dengan nilai eksport melebihi 1.34 trilion won (AS$1 bilion) pada 2024, jenama di sebalik Buldak Bokkeummyeon yang ikonik itu telah menggamit selera, mencetuskan tren serta mendominasi carta dagangan di lebih 100 negara termasuk Malaysia.
Bercakap secara eksklusif kepada Bernama, Samyang Foods Inc yang berpangkalan di Seoul menyifatkan lonjakan eksport meningkat 65 peratus berbanding tahun sebelumnya sebagai hasil kepekaan syarikat terhadap maklum balas pengguna.
“Kami mencipta rasa makanan jalanan yang menjadi tumpuan pelancong asing di Myeongdong. Berdasarkan pengalaman itu, kami menetapkan matlamat untuk menyebarkan rasa pedas Korea ke seluruh dunia,” menurut syarikat itu.
Menurut Agensi Berita Yonhap, eksport menyumbang 77 peratus daripada jumlah hasil Samyang Foods yang mencecah 1.73 trilion won pada 2024.
Momentum Samyang turut dipacu cabaran Buldak yang tular di media sosial sejak 2014, sekali gus mencetuskan minat global terhadap ramen pedas Korea.
Samyang berkata penularan cabaran mukbang telah meningkatkan keterlihatan jenama dan merangsang strategi pemasaran digital yang lebih kukuh.
Syarikat itu turut menyifatkan pendekatan proaktif terhadap pensijilan halal sebagai kunci utama untuk menembusi pasaran majoriti Muslim, termasuk Malaysia dan Indonesia.
“Langkah strategik ini membantu kami memperluaskan jangkauan dan mempelbagaikan produk, termasuk perisa yang diinspirasikan daripada masakan Thai serta makanan ringan yang patuh halal,” katanya.
Samyang menambah bahawa permintaan global terhadap mi pedas telah memberi impak positif kepada sektor eksport makanan Korea Selatan.
Amerika Syarikat (AS) dan China kekal sebagai antara destinasi eksport paling berpengaruh bagi Samyang.
Pasaran AS yang dipacu aliran mukbang serta minat yang semakin meningkat terhadap cita rasa Asia menyaksikan permintaan yang pesat, manakala selera pengguna China terhadap makanan pedas ditambah strategi lokaliti jenama itu mendorong pertumbuhan pantas.
“Populariti Buldak telah memperkenalkan budaya makanan pedas Korea ke peringkat global, khususnya dalam kalangan generasi muda. Ia turut meningkatkan persepsi antarabangsa terhadap masakan Korea,” menurut syarikat itu lagi.
Bagi memenuhi permintaan global, Samyang sedang memperluaskan infrastruktur pengeluarannya termasuk pembinaan kilang luar negara pertama di China yang dijadual siap menjelang 2027.
Ketika ditanya mengenai panduan untuk pengeluar Malaysia, syarikat itu menekankan kepentingan mengekalkan keaslian.
“Buldak berjaya kerana keasliannya. Kami tidak menolak trend – kami membenarkan budaya pedas yang didorong pengguna berkembang secara organik. Masakan Malaysia juga mempunyai potensi global yang sama,” katanya.
Samyang turut menawarkan variasi produk mengikut cita rasa serantau, termasuk keju, karbonara, dan perisa khusus seperti Kari Poo-Phad-Pong di China.
Walaupun skala Scoville ukuran piawai bagi kepedasan cili dan bahan lain kekal sebagai penanda aras, syarikat itu terus menyesuaikan produknya mengikut citarasa pengguna dan mematuhi peraturan keselamatan setiap pasaran.
Di luar inovasi produk, Samyang turut menekankan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk pembangunan sistem pengeluaran mesra alam, makanan seimbang dari segi nutrisi serta inisiatif berasaskan komuniti.
“Kami komited terhadap pertumbuhan mampan yang selari dengan alam semula jadi,” katanya.
Daripada permulaan yang sederhana di lorong makanan Seoul kepada kehadiran di lebih 100 negara, perjalanan global Samyang dianggap sebagai kajian kes dalam penjenamaan strategik, eksport budaya dan inovasi berasaskan tindak balas pengguna. -Bernama