Siapa kata kanak-kanak sukar untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) gara-gara pandemik Covid-19 sekarang? Sebenarnya, kanak-kanaklah yang senang dibentuk kerana mereka menerima apa yang diberitahu tanpa prasangka.
Di sinilah fungsi guru-guru untuk membimbing anak didik mereka melakukan apa yang sepatutnya. Memang tugas ini tidak mudah tetapi inilah cabaran yang dipikul oleh guru-guru tadika dan taska sekarang ini.
Bagi tadika seperti Smart Reader Kids di Sarawak, ternyata pematuhan SOP oleh kanak-kanaknya amat tinggi.
Ini disebabkan pemahaman dan kesedaran mengenai Covid-19 yang telah diterapkan oleh pendidik semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan juga dibantu oleh para ibubapa yang menitikberatkan kesihatan dan keselamatan anak-anak mereka semasa berada di tadika.
Kebanyakan pelajar memahami tujuan SOP diperkenalkan kerana mereka sudah terdedah dengan maklumat-maklumat itu melalui pembelajaran secara atas talian semasa PKP diperkenalkan selain daripada terdedah secara berterusan akan maklumat yang datang daripada ibubapa dan juga media sosial.
Semasa menghadirkan diri di tadika, kanak-kanak Smart Reader Kids menggunakan pelitup muka, penghadang muka yang disediakan oleh Smart Reader Worldwide dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta selalu mencuci tangan.
Kanak-kanak juga mematuhi penjarakan sosial semasa di tadika tanpa perlu memberitahu mereka berulang-kali.
Menurut Pengarah Smart Reader Kids Tabuan Jaya Baru 2, Evelyn Law, taklimat mengenai Covid19 dan juga demonstrasi mengenai SOP bersama pelajar dilakukan sebelum dan selepas kelas tamat, selain guru-guru membimbing kanak – kanak mengenai langkah-langkah SOP yang perlu mereka ikuti.
“Kita percaya sekiranya sering dilakukan bersama kanak-kanak maka mereka akan mudah mengingati langkah-langkah keselamatan dalam SOP dan lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan bagi mereka,” kata beliau.
Pengusaha Smart Reader Kids Sunlight Garden 3, Miri, Patricia Carolyn Latit pula berkata proses pembelajaran berjalan dengan lancar setakat ini dengan mengikuti SOP termasuk penjarakan sosial walaupun agak kekok kerana terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain.
“Walaupun aktiviti berkumpulan tidak dapat dijalankan tetapi guru-guru telah menyediakan pelbagai permainan secara individu dan aktiviti pembelajaran yang menarik juga dapat dijalankan secara individu.
Keseronokan ketika pembelajaran perlu diteruskan untuk menerap perasaan cintakan belajar dan anak-anak juga seronok untuk ke sekolah.” tambah beliau.
Di pihak ibu bapa pula, sebelum permulaan sesi persekolahan tadika dibuka semula, mereka telah pun diberi taklimat terhadap SOP yang diumumkan oleh kerajaan dan juga disediakan oleh pihak Smart Reader Worldwide.
Ibubapa juga dikehendaki untuk menyerahkan borang pengisytiharan kesihatan diri dan kanak-kanak sebelum menghantar anak-anak ke tadika.
Selain itu, ibubapa diwajibkan bekerjasama dengan pihak pengusaha tadika untuk pengaturan sesi sekiranya jumlah kanak-kanak melebihi daripada jumlah yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Ibubapa juga dikehendaki untuk memastikan kanak-kanak adalah dalam keadaan sihat sebelum dihantar ke tadika agar dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Bagi Siti Khadijah Atok, 38, yang menghantar anaknya di Smart Reader Kids Rubber Road West, Kuching, beliau amat yakin dan percaya bahawa guru besar dan para pendidik akan melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan anak-anaknya sentiasa terjaga.
Bagaimana pula dengan kanak-kanak? Bagi Aryanna Faiha Zalfa Fahmi Izzuddin Johnny , 5, dari Smart Reader Kids Sunlight Garden 3, Miri, dia gembira dan teruja untuk ke sekolah kerana dapat berjumpa dengan guru dan rakan-rakan.
Malah kata si cilik ini, dia seronok belajar dan melakukan aktiviti walaupun terpaksa duduk berjauhan dari kawan-kawannya serta faham Faham tentang apa yang dipelajari walaupun aktiviti dijalankan secara individu.
Rakannya Airish Irdina Syafiyyah Abdullah juga sama. Dia sentiasa seronok untuk ke sekolah, gembira apabila melakukan aktiviti di dalam kelas dan faham tentang apa yang dipelajarinya.
Oleh Haini Darani