JAMES Brooke
MINGGU lalu, wacana ini mengimbau bagaimana Sarawak menjadi sebuah identiti geo politik baharu di utara Borneo. Minggu ini wacana ini cuba mengupas pula bagaimana James Brooke menjadi raja di Sarawak.
Pemulaan hal ini bertitik-tolak daripada permintaan Pengiran Muda Hashim kepada James Brooke untuk membantu beliau menundukkan penentang di Sarawak. Pada awalnya, James Brooke menolak tetapi apabila kembali semula ke Sarawak sekali lagi, Pengiran Muda Hashim memintanya membantu beliau dalam hal yang sama.
Kali ini Pengiran Muda Hashim menawarkan Sarawak dan jawatan Gabenor kepada James Brooke. Tawaran Pengiran Muda Hashim ini umpama pucuk dicita ulam mendatang bagi James Brooke. Beliau akhirnya menerima tawaran ini.
Untuk melaksanakan janji ini, beliau bersama-sama 10 kelasi kapal Royalist beserta dengan dua meriam menyerang kubu penentang di Lidah Tanah. James Brooke juga mendapat sokongan tentera pelbagai kaum dalam kalangan orang Melayu, Dayak dan Cina.
Setelah berlaku serangan bertubi-tubi ke atas kubu di Lidah Tanah, pihak lawan meminta adakan rundingan antara wakil pihak lawan dengan James Brooke. Ia berjalan dengan baik walaupun ada sedikit masalah daripada penyokong wakil Brunei.
Rundingan
Dalam rundingan itu, wakil pihak penentang merasakan bahawa penglibatan James Brooke dalam rundingan ini akan memberi sinar baharu kepada Sarawak. Mereka mengetahui bahawa James Brooke akan menjadi raja bagi Sarawak.
Oleh itu mereka amat berharap pelantikan James Brooke sebagai raja ini mengantikan pemerintahan Brunei di Sarawak. Persetujuan meletak senjata ini juga bersyaratkan agar ahli keluarga penentang yang menjadi tebusan Pengiran Muda Hashim harus dibebaskan. Syarat ini diterima oleh James Brooke dan beliau menghadapi sedikit kesukaran untuk memujuk Pengiran Muda Hashim membebaskan tebusan keluarga pihak penentang ini.
Cabaran
Selesai mengendalikan rundingan ini dengan jayanya, James Brooke kemudian menuntut janji Pengiran Muda Hashim. Dalam hal ini, Pengiran Muda Hashim amat gembira akan kejayaan menamatkan penentangan di Sarawak tetapi penamatan penentangan ini tidak menyelesaikan masalah beliau.
Dalam hal ini, Pengiran Muda Hashim dalam dilema. Ini kerana beliau perlu menghormati dan menunaikan janjinya kepada James Brooke. Sebaliknya, beliau juga bimbang dengan pengaruh Pengiran Mahkota iaitu wakil Sultan Brunei di Sarawak yang masih lagi kuat.
Hal ini membawa kepada Pengiran Muda Hashim untuk melewatkan janjinya dengan James Brooke. Bagi James Brooke pula, tindakan Pengiran Muda Hashim melewat-lewatkan janjinya tidak dapat diterima.
Ketika itu juga terdapat khabar mengatakan bahawa sekitar 2,500 orang Iban dari Skrang menuju ke Sarawak untuk tujuan menyerang penduduk Sarawak di pedalaman yang terdiri daripada orang Melayu, Bidayuh dan Cina.
James Brooke mendakwa bahawa usaha ini didalangi Pengiran Mahkota untuk memburukkan imej beliau. Berita ini membawa kemarahan James Brooke. Beliau kemudiannya melakukan persediaan untuk bertindak balas. Beliau menggunakan kapal layar Royalist dan sebuah lagi kapal layar, iaitu Swift untuk memerangi pihak yang ingin menyerang penduduk Sarawak.
Pengiran Muda Hashim mendengar berita ini dan cuba menghalang sebarang kejadian buruk berlaku dengan menghantar utusan untuk meminta pihak yang ingin menyerang penduduk di pedalaman Sarawak ini berpatah balik. Arahan Pengiran Muda Hashim ini akhirnya dipatuhi dan kumpulan orang Iban ini telah berundur semula ke Skrang.
Keyakinan
Berita mengenai hal ini menaikkan imej James Brooke pada mata penduduk Sarawak. Mereka bertambah yakin bahawa James Brooke mampu melindungi penduduk tempatan. Tambah meyakinkan mereka ini juga adalah James Brooke mempunyai kuasa lebih besar daripada Pengiran Mahkota.
Satu lagi cabaran besar dialami James Brooke adalah usaha meracuni jurubahasa beliau. James Brooke mengesyaki perbuatan meletakkan arsenik dalam nasi jurubahasa beliau didalangi Pengiran Mahkota.
Beliau meminta Pengiran Muda Hashim untuk menyiasat perkara ini. Pemintaan James Brooke ini diterima oleh Pengiran Muda Hashim untuk melakukan penyiasatan. James Brooke berpendapat janji Pengiran Muda Hashim untuk menyiasat itu, umpama janji-janji yang tidak dapat dipenuhi.
Oleh itu, beliau mula bertindak lebih keras. Beliau mula melakukan persiapan, melengkapkan Royalist dengan senjata api dan merancang untuk menekan Pengiran Muda Hashim untuk bertindak ke atas Pengiran Mahkota dan menunaikan janji beliau.
Tekanan James Brooke ini menyebabkan Pengiran Muda Hashim menurunkan Pengiran Mahkota sebagai Gabenor dan wakil Brunei di Sarawak. Satu rundingan telah dijalankan oleh kedua-dua pihak dengan Pengiran Muda Hashim dalam keadaan amat tertekan.
Pengisytiharaan
Akhirnya Pengiran Muda Hashim akur dengan permintaan James Brooke. Pada 24 September 1841, James Brooke dilantik menjadi Raja dan Gabenor Sarawak. Hari kejadian dimeriahkan dengan tembakan meriam dan kibaran bendera di kapal yang berlabuh di Sungai Sarawak.
Pemerintahan Raja James Brooke ini merangkumi Tanjung Datu sehingga ke kuala Sungai Sadong. Beberapa batang sungai kecil dan besar seperti Sungai Lundu, Sungai Sarawak dan Sungai Samarahan menjadi kawasan pentadbiran Raja James Brooke. Keluasan kawasan pentadbiran Raja James Brooke adalah sekitar 3,000 batu persegi.
Wilayah ini agak kecil dibandingkan dengan saiz Sarawak pada hari ini. Kalau diukur, wilayah penguasaan awal James Brooke ini hanya meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Mengadap Sultan
Pengisytiharaan James Brooke sebagai Raja dan Gabenor oleh Pengiran Muda Hashim ini belum lagi cukup untuk mengesahkan kedudukan James Brooke sebagai pemerintah Sarawak. Ini kerana Sarawak adalah wilayah jajahan Brunei, maka ia perlu mendapat perkenan Sultan Brunei.
Untuk tujuan itu, Raja James Brooke berangkat ke Brunei pada 14 Julai 1842. Di Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II menerima keputusan yang dibuat oleh Pengiran Muda Hashim untuk menyerahkan Sarawak kepada James Brooke. Pada masa sama, juga mengakui James Brooke sebagai pemerintah di Sarawak.
Pelantikan dan pengesahan Sultan Brunei ini mengubah status Sarawak sebagai sebuah wilayah berasingan. Hal ini tidak sama dengan wilayah lain di Brunei walaupun mendapat perkenan sebagai gabenor di beberapa batang sungai tetapi masih tertakluk kepada Brunei.
Penggunaan gelaran raja ini mengubah status Sarawak sebagai terasing dengan wilayah Brunei dan tidak mewakili Brunei.
Secara kesimpulannya, usaha James Brooke menjadi pemerintahan Sarawak menghadapi liku-liku cabaran yang besar. Namun demikian, beliau berjaya mengatasi hal ini dan akhirnya menjadi Raja Orang Putih pertama di Sarawak.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.