TIFFIN adalah salah satu budaya Barat yang diperkenalkan pada zaman pemerintahan Brooke. Budaya ini merupakan satu budaya membawa makan dalam bekas makan yang biasanya bertingkat dan dikenali sebagai mangkuk bertingkat untuk dihidang kepada tetamu. Ada juga dikenali dengan nama bakul siya. Di Sarawak pula mangkuk bertingkat ini dipanggil ringkat.
Budaya tiffin ini bermula di benua India pada abad ke-19 apabila British melakukan penjajahan ke atas benua tersebut. Keadaan India yang berbeza dengan England menyebabkan perubahan budaya pemakanan orang Inggeris di India. Orang Inggeris mula menerapkan budaya semasa di India maka munculnya tiffin.
Budaya tiffin ini adalah budaya makanan ringan selepas makan tengah hari. Biasanya diadakan di sebelah petang atau semasa minum teh. Walaupun dikatakan makanan ringan tetapi ada juga menghidang makanan berat dan pelbagai. Apabila imperialisme British mula berkembang, budaya tiffin ini juga mula berkembang di tanah jajahannya.
Tanah Melayu, Hong Kong, Myanmar dan beberapa kawasan di China mula menerima perkembangan ini, dan diterima oleh penduduknya sebagai sebahagian daripada budaya makanan. Malah di hotel juga disediakan bilik tiffin untuk tetamu yang datang seperti di Hotel Raffles, Singapura.
PENGARUH IMPERIALISME
Penubuhan kerajaan Brooke di Sarawak juga membawa kepada pengenalan budaya ini. Namun catatan awal tentang bila diperkenalkan tidak dapat dipastikan. Sebaliknya tiffin telah menjadi satu fenomena budaya di Singapura dan Tanah Melayu. Ia menjadi satu perkara yang diterima oleh masyarakat di kedua-dua kawasan jajahan British ini.
Malah ia menjadi gaya hidup kepada pekerja-pekerja di Singapura dan Tanah Melayu. Walaupun budaya ini tidak begitu jelas berlaku pada awal pemerintaham Raja Brooke, ia mula nampak jelas pada awal abad ke-20. Hal ini kerana catatan-catatan awal tentang kerajaan Brooke banyak berkisar mengenai usaha melawan lanun.
Keadaan yang tidak tenteram ini tidak memungkinkan perkembangan budaya tiffin berakar. Hanya apabila Sarawak mula mengalami ketenteraman dan keamanan serta aktiviti sosial mula berkembang, maka budaya ini mula muncul dalam beberapa majlis dan acara yang dianjurkan oleh pihak kerajaan Brooke dan orang Barat.
Antara majlis diadakan tiffin adalah semasa pembukaan lombong emas di Bidi oleh Borneo Company. Kerja-kerja perlombongan di Bidi ini sepatutnya dibuka pada 1897 telah ditunda pada 1900. Pada hari pembukaannya, 2 April 1900, Raja Charles Brooke juga telah dijemput untuk menyaksikan pembukaan itu. Diakhir majlis tersebut diadakan tiffin bersama-sama Raja Charles Brooke dan beberapa kakitangan syarikat tersebut.
ACARA
Selain itu tiffin juga sering diadakan semasa acara regata di Sarawak. Semasa Regata Sarawak yang diadakan pada 1 Januari 1907, budaya tiffin diperkenalkan sebagai sebahagian aturcara regata tersebut. Pada acara regata itu, jamuan tiffin diadakan di pertengahan acara perlumbaan regata.
Dalam acara regata ini jamuan tiffin diadakan di Court Room. Seramai kira-kira 130 orang yang hadir pada acara perlumbaan itu daripada kalangan orang Barat, Melayu dan Cina telah dijemput menjamu tiffin yang disediakan. Residen mengetuai jamuan itu, manakala orang Melayu diketuai oleh Abu Bakar dan orang Cina diketuai oleh Khoo Siew Jin.
Kehadiran bangsa lain selain orang Barat dalam acara tiffin ini menunjukkan budaya itu tidak lagi asing bagi mereka. Hal ini boleh juga dilihat dalam acara regata di Simanggang. Dalam acara regata yang berlangsung pada 18 dan 19 Julai 1919, terdapat dua tiffin dibuat. Pertama yang disediakan oleh orang Melayu yang menyediakan masakan kari. Seterusnya pada keesokan harinya diadakan juga tiffin yang disediakan pula oleh orang Cina dengan memperkenalkan masakan Cina.
Pengenalan budaya tiffin di acara perlumbaan regata ini sebahagian daripada usaha merapatkan hubungan kerajaan dan rakyat. Dari satu segi lagi budaya ini dapat mengeratkan hubungan antara kaum di Sarawak dengan budaya masakan yang berbeza seperti dilakukan di Simanggang.
Usaha penyatuan dalam budaya tiffin ini juga boleh dilihat dengan acara regata tahun baharu di Sibu pada 1922. Seramai 200 tetamu dari kalangan orang Eropah, Melayu, Dayak dan Cina telah dijemput untuk menjamu selera semasa jamuan tiffin pada tahun baharu itu.
Selain regata, majlis tiffin diadakan dalam aktiviti menuba. Pada 30 Mac 1907 semasa menyaksikan aktiviti menuba di Sungai Sarawak, Raja Muda Vyner Brooke mengadakan tiffin untuk beberapa orang Barat di atas Kapal Young Harry.
TERSEBAR
Majlis tiffin ini semakin popular apabila ia juga menjadi salah satu acara tahun baharu di Miri pada 1922. Majlis ini diadakan di bilik mahkamah dan dihadiri oleh kira-kira 80 orang. Majlis tiffin ini diakhiri dengan mengajurkan minuman ucapan selamat tahun baharu.
Budaya tiffin ini dikembangkan oleh orang Barat bagi beberapa aktiviti lawatan dan pengembaraan mereka ke kawasan pedalaman Sarawak. Lawatan wakil surat khabar Singapura ke Sungai Baram pada 1922 merupakan contoh kepada penerusan budaya tiffin. Dalam aktiviti pengembaraan menyelusuri Sungai Bakong, tiffin telah disediakan kepada pelawat dari Singapura ini pada jam 2 petang. Tiffin ini dibuat mengantikan makan tengah hari mereka semasa melihat permandangan di persekitaran sungai tersebut.
Pengaruh budaya ini juga menyerap dalam masyarakat tempatan sebagai salah satu cara melayan tetamu dalam acara-acara tertentu. Hal ini boleh dilihat pada pembukaan The Mukah Recreation Club pada 15 Mei 1928. Perlawanan bola sepak sebagai salah satu acara pembukaan kelab tersebut. Ketua-ketua kampung di Mukah pula sudi memberi tiffin berlauk kari kepada kira-kira ratusan yang hadir dalam majlis pembukaan kelab itu.
Perkembangan budaya tiffin dalam memberi makan kepada tetamu ini tidaklah berkekalkan dan mula pudar mengikut masa. Apa yang tinggal hari ini adalah mangkuk tingkat sebagai pembawa makanan walaupun ia jarang digunakan hari ini. Namun budaya mangkuk tingkat cuba dipopularkan semula di sesetengah tempat di Malaysia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).