

LAWAS: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, menghadiri Program Badudun Ramadan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Kota di Surau Darul Salihin Zon Temiang, Kampung Pahlawan, malam tadi.
Program dimulakan dengan solat Isyak, diikuti solat Tarawih serta tazkirah yang disampaikan oleh penceramah bebas, Marzuki Jahwi. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada 10 warga emas terpilih sebelum diakhiri dengan jamuan moreh.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman memaklumkan bahawa permohonan penduduk kampung bagi pemasangan siling dewan di hadapan surau serta kerja-kerja baik pulih siling surau akan dilaksanakan tahun ini.
Beliau turut berkata beberapa permohonan lain termasuk menaik taraf tangga laluan ke surau, pembinaan jalan di kawasan tanah perkuburan serta pembinaan jalan simen ke rumah penduduk telah diambil perhatian.
“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Bukit Kota pada tahun hadapan,” katanya.
Turut hadir, Ketua Kampung Pahlawan, Hussein Burut; Pengerusi Surau Darul Salihin Zon Temiang, Abd Lamit Abd Rahman; serta Bendahari surau, Azmi Kassim.
Oleh Adeng Edrus