
LOS ANGELES: Bintang Puerto Rico, Bad Bunny, mencipta sejarah pada Anugerah Grammy Ahad lalu apabila memenangi Album Terbaik menerusi Debi Tirar Mas Fotos — karya berbahasa Sepanyol pertama yang merangkul penghormatan tertinggi dalam industri muzik.
Rapper Kendrick Lamar menambah lima lagi trofi gramofon ke dalam koleksinya, termasuk satu lagi Anugerah Rakaman Terbaik, manakala Billie Eilish bersama abangnya, Finneas, memenangi Anugerah Lagu Terbaik.

Olivia Dean dari Britain pula dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik pada malam yang turut menampilkan persembahan bertenaga daripada deretan bintang ternama, termasuk Lady Gaga menang dua anugerah, antaranya Album Vokal Pop Terbaik.
Namun, tumpuan malam itu jelas milik Bad Bunny, yang menerima sorakan gemuruh apabila menyampaikan mesej politik tegas, mengkritik serbuan imigresen berskala nasional yang telah memecah-belahkan Amerika Syarikat.

“Sebelum saya mengucapkan terima kasih kepada Tuhan, saya akan katakan ‘ICE out’,” kata Bad Bunny ketika menerima anugerah Album Musica Urbana Terbaik.
“Kami bukan orang gasar, bukan haiwan, bukan makhluk asing; kami manusia dan kami adalah rakyat Amerika,” kata artis berusia 31 tahun itu, seminggu sebelum beliau tampil di salah satu pentas terbesar dunia sebagai artis utama pertunjukan separuh masa Super Bowl.
Kemudian, ketika memenangi anugerah utama malam itu, beliau kelihatan sebak di tempat duduknya sebelum naik ke pentas dan menyampaikan sebahagian besar ucapannya dalam bahasa Sepanyol, sebagai penghormatan kepada rakyat Puerto Rico, wilayah Amerika Syarikat di Caribbean.

“Saya mahu mendedikasikan anugerah ini kepada semua yang terpaksa meninggalkan tanah air dan negara mereka demi mengejar impian,” katanya dalam bahasa Inggeris.
Anugerah ketiga Bad Bunny pada malam itu ialah Persembahan Muzik Global Terbaik.
Lamar menang lima anugerah, menyamai pencapaiannya tahun lalu apabila beliau menyapu bersih anugerah menerusi Not Like Us, lagu diss tular yang menyasarkan pesaingnya, Drake.

Kali ini, beliau dihargai menerusi pelbagai lagu, daripada Luther yang bersifat melodik dan memenangi Anugerah Rakaman Terbaik menampilkan SZA serta sampel daripada lagu hit mendiang Luther Vandross hinggalah lagu hip-hop klasik tv off.
“Saya tidak pandai bercakap tentang diri saya, tetapi saya menzahirkan segalanya melalui muzik. Ia satu penghormatan untuk berada di sini,” kata Lamar, pemenang Hadiah Pulitzer.
Persembahan hebat
Penyanyi K-pop Rose dan Bruno Mars membuka gala televisyen dengan persembahan bertenaga tinggi menerusi lagu APT.
Lady Gaga mempersembahkan versi penuh tenaga Abracadabra, manakala Justin Bieber tampil hanya berbaju dalam bersama stoking menyampaikan lagu Yukon.

Puteri pop Sabrina Carpenter turut memukau penonton dengan lagu hitnya, Manchild.
Reba McEntire dan Lauryn Hill menyanyikan lagu sebagai penghormatan kepada tokoh-tokoh muzik yang meninggal dunia sepanjang tahun lalu.
Isteri mendiang Ozzy Osbourne, Sharon, bersama anak-anak mereka Kelly, Jack dan Aimee, menyaksikan Post Malone mengetuai kumpulan bintang termasuk gitaris Slash bagi lagu Black Sabbath, War Pigs.
Sebahagian besar daripada 95 anugerah disampaikan pada majlis pragala sebelum siaran televisyen.

Golden, daripada filem animasi Netflix yang mencatat kejayaan besar“KPop Demon Hunters,memenangi Anugerah Lagu Terbaik ditulis untuk Media Visual, manakala calon Oscar utama Sinners meraih dua anugerah runut bunyi.
Bintang muzik country Jelly Roll dan penyanyi R&B Leon Thomas turut tersenarai sebagai pemenang. – AFP