SIBU: Penyanyi popular Baby Shima membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh diterimanya melalui media sosial.
Baby Shima, baru-baru ini dilaporkan telah menerima ancaman bunuh daripada seorang pengguna facebook dan telah mengejutkan banyak pihak.
Bagaimanapun, pemilik akaun Facebook tersebut mendakwa akaunnya kena ‘hacked’ oleh pihak lain
dan laporan polis sudah dibuat oleh pengadu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing hadir di Balai Polis Sibu untuk memberikan sokongan kepada Shima membuat laporan polis pada 2 pagi tadi.
Keprihatinan Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong untuk memberi sokongan kepada Baby Shima mendapat pujian ramai, terutama dalam kalangan pengikut dan masyarakat setempat.
Baby Shima dalam hantaran di Facebooknya, meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Tiong serta pihak polis atas bantuan dan sokongan yang diberikan.
Beliau turut mengingatkan para peminat agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ancaman atau fitnah yang boleh merosakkan keharmonian.
Shima berharap agar masyarakat terus menyokong dan mendoakan kesejahteraannya, sambil berjanji untuk terus berkarya demi peminat setia.
Dalam pada itu, tindak balas warganet juga tidak kurang, dengan ramai yang memberikan sokongan penuh kepada Shima.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi sebentar tadi telah mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Baby Shima akan membuat persembahan di acara ‘MOTAC Bersama Komuniti Sibu’, sempena sambutan ambang Tahun Baharu di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya, malam ini.
Oleh AKUN GIMAN