
KUCHING: Kelab Belia Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Young Souls, AYS) sekali lagi mencipta kejayaan apabila terpilih menyertai Program Integrasi Belia Sarawak-Johor-Sabah-Melaka 3.0, satu inisiatif kebangsaan di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan (MYSED).
Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Hubungan Belia AZAM Sarawak, Hassnal Hakim, berkata, MYSED merupakan rakan strategik yang menjadi tulang belakang bagi inisiatif belia.
“Sokongan padu kerajaan negeri membolehkan AZAM dan AYS mengembangkan program serta melahirkan lebih ramai pemimpin belia berkualiti. Pelaburan dalam belia adalah pelaburan masa depan Sarawak. Kami bangga menjadi penghubung antara aspirasi kerajaan dan generasi muda Sarawak.”
AYS merupakan platform pembangunan belia yang dinamik yang sentiasa menggalakkan penyertaan aktif golongan muda dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.
Penganjuran pelbagai program berimpak tinggi, AYS berjaya melahirkan pemimpin belia yang berkaliber serta mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
Tahun ini, Bendahari AZAM Young Souls, Mohammad Isma Mazidi dipilih mewakili AYS untuk program tersebut.
Beliau akan bergabung dengan pemimpin belia cemerlang dari seluruh Malaysia bagi sesi jaringan strategik, pertukaran budaya, dialog kepimpinan serta aktiviti pembangunan komuniti.
Program ini bertujuan memperkasa pertukaran pengalaman, strategi pembangunan belia dan mengenal pasti peluang ekonomi antara empat negeri terbabit.
Tambahnya, penyertaan tersebut amat bermakna kerana hanya 15 wakil belia dari Sarawak dipilih untuk menyertai program integrasi antara negeri.
“penyertaan AYS membuktikan usaha berterusan kami mendapat pengiktirafan di peringkat nasional,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Isma menyatakan rasa syukur dan bangga diberi kepercayaan mewakili AYS.
Serentak dengan itu, tiga wakil AYS kini berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Forum Kesatuan Sosial ASEAN (ASUF) 2025 serta mengambil bahagian dalam Perhimpunan Belia yang membawa aspirasi belia Sarawak ke pentas ASEAN melalui pertukaran idea, kerjasama serantau dan perbincangan dasar belia.
AZAM Sarawak bersama MYSED juga menganjurkan Kelab Toastmasters AYS, program latihan kepimpinan dan komunikasi dwibahasa (Melayu dan Inggeris) secara percuma untuk ahli yang bertujuan mengukuhkan keyakinan diri serta kemahiran berucap dalam kalangan generasi muda Sarawak.
Meneruskan langkah ke hadapan, AYS berhasrat memperkukuh jaringan serantau menerusi kerjasama ASEAN, meluaskan capaian ke kawasan luar bandar yang memerlukan pendedahan teknologi dan inovasi serta membangunkan platform mentor-mentee bagi memastikan kesinambungan kepimpinan belia di Sarawak.
Penyertaan ini sekali lagi menegaskan komitmen AZAM Sarawak terhadap falsafah ‘Gerakan untuk Kemajuan’ membina belia yang berwawasan dan bersedia menjadi agen perubahan.
Seperti yang diyakini AZAM, ‘Melahirkan Belia, Membina Sarawak’ bukan sekadar slogan, tetapi misi menuju kemajuan negeri.
Oleh Shikin Mahmud