Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • AZAM Sarawak, YSS gerakkan misi CSR seni dan komuniti di Asajaya
  • SEMASA

AZAM Sarawak, YSS gerakkan misi CSR seni dan komuniti di Asajaya

Utusan Sarawak 10 hours ago
PEGAWAI AZAM Sarawak dan ahli AZAM Young Souls (AYS) bergambar bersama sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Kampung Asajaya Laut, Samarahan, dalam Misi Sukarelawan Siswa YSS–ASEAN Sarawak 2025.

ASAJAYA: Kerjasama antara Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Perpaduan Negara terus diperkukuh melalui Misi Sukarelawan Siswa YSS–ASEAN Sarawak 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 24 November ini.

Melibatkan 150 sukarelawan muda dari Malaysia, Singapura dan Vietnam, program ini meliputi sembilan lokasi strategik di seluruh Sarawak dan turut disertai oleh pegawai serta sukarelawan AZAM Young Souls (AYS) di Kampung Asajaya Laut, Samarahan.

Di lapangan, kehadiran sukarelawan dari tiga negara ini menghidupkan suasana perkampungan dengan aktiviti gotong-royong, pembersihan komuniti dan persiapan bagi Majlis Kesenian Komuniti peringkat nasional, yang dijalankan sebagai sebahagian daripada misi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Selain menjadi ruang pertukaran amalan kerja dan budaya, kerjasama rentas negara ini juga membuka peluang kepada belia Sarawak memahami nilai kesukarelawanan di peringkat serantau.

Turut hadir memeriahkan program itu ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan. 

Beliau menyatakan sokongan padu terhadap usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui penglibatan belia dan kerjasama multisektor.

Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Perhubungan Belia AZAM Sarawak, Hassnal Hakim berkata penglibatan ini mencerminkan matlamat jelas dalam membentuk pemimpin muda yang berwibawa dan berwawasan.

“Kerjasama ini hasil daripada kunjungan rasmi ke pejabat YSS pada Mei lalu. Hari ini kita melihat hasilnya. Misi ini bukan sekadar aktiviti sukarelawan tetapi platform kepimpinan generasi muda yang memberi impak jangka panjang kepada masyarakat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. 

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Belia AZAM Sarawak, Nazmeen Edy melihat penglibatan di peringkat ASEAN sebagai pengalaman berharga.

“Sebagai belia yang bekerja bersama sukarelawan serantau, kami belajar bahawa setiap komuniti memiliki kekuatan tersendiri. Sukarelawan dari Singapura dan Vietnam membawa perspektif berbeza tetapi matlamat sama iaitu membina komuniti yang lebih kuat,” ujarnya.

Selain itu, aktiviti harian seperti merewang, pembersihan kawasan kampung dan persediaan majlis kesenian turut mempererat hubungan antara penduduk dan sukarelawan. 

Interaksi ini bukan sahaja menyuntik semangat gotong-royong, tetapi juga membuka ruang pemahaman antara budaya.

Misi Sukarelawan Siswa YSS–ASEAN Sarawak 2025 sekali lagi membuktikan kemampuan Sarawak menjadi tuan rumah program pembangunan belia berskala besar melalui jaringan kerjasama antara kerajaan, NGO dan komuniti. 

AZAM Sarawak konsisten menggerakkan usaha memupuk bakat kepimpinan dan memperkasa generasi muda melalui aspirasi ‘Grow the Youth, Grow Sarawak’ dan agenda ‘Movement for Progress’.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Awang Tengah wakili Premier Sarawak pada Mesyuarat MTN ke-82 di Putrajaya
Next: Lebih 26,000 surat tawaran haji 2026 dikeluarkan – Tabung Haji

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.