
KUCHING: Delegasi Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) bersama Kelab Belia AZAM Young Souls (AYS) hari ini berlepas ke Kuala Lumpur bagi menghadiri program tahunan Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Lawatan rasmi ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik AZAM dengan pelbagai agensi serta organisasi di peringkat nasional, di samping mengetengahkan peranan aktif AYS dalam mempromosikan inisiatif pembangunan belia dan komunikasi partisipatif di bawah tema ‘Majukan Belia, Majukan Sarawak’.
Delegasi berkenaan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, bersama beberapa pegawai pengurusan dan ahli AYS yang akan mengendalikan reruai interaktif di MITEC.
Reruai tersebut akan menampilkan pelbagai program pembangunan komuniti dan inisiatif belia di bawah jenama Gerakan untuk Kemajuan, yang menjadi teras kepada komitmen AZAM dalam memperkasa masyarakat melalui komunikasi berkesan dan kolaboratif.
Menurut Ali, penyertaan AZAM dalam program ini bukan sekadar penglibatan rutin, tetapi satu usaha berterusan memperkukuh kerjasama antara masyarakat sivil, kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasa pembangunan negeri.
“Lan Berambeh Anak Sarawak memberi peluang kepada AZAM untuk mendekati masyarakat Sarawak di Semenanjung, berkongsi hasil usaha komuniti serta memperkenalkan pendekatan baharu dalam memperkasa belia dan komunikasi pembangunan.
“Melalui penyertaan AYS, kami mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu dan berkeyakinan tetapi turut berperanan sebagai ejen kemajuan di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Beliau menambah bahawa sepanjang berada di Kuala Lumpur, delegasi AZAM akan mengadakan beberapa pertemuan strategik bersama organisasi dan institusi tempatan bagi memperluas jaringan kerjasama dalam bidang komunikasi strategik, inovasi sosial dan pembangunan belia.
“Kami percaya sinergi antara agensi dan organisasi masyarakat sivil seperti AZAM mampu mempercepatkan usaha merealisasikan visi Sarawak yang maju, makmur dan inklusif menjelang 2030. Inilah semangat sebenar Gerakan untuk Kemajuanyang kami bawa bersama,” ujarnya.
Penyertaan rasmi AZAM Sarawak ke Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 turut disokong oleh Faradale Development Sdn Bhd, selaku penaja utama delegasi kali ini. Sokongan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Faradale dalam memperkukuh kapasiti organisasi dan memperluas impak sosial AZAM melalui pelbagai aktiviti pembangunan komuniti dan belia.
Delegasi AZAM dijangka berada di Kuala Lumpur selama beberapa hari bagi menyertai sesi persiapan pameran, aktiviti rasmi serta pertemuan bersama rakan kolaborasi strategik menjelang acara kemuncak LBAS 2025.
Penyertaan ini sekali gus memperkukuh komitmen AZAM Sarawak dalam menghubungkan komuniti, memperkasa belia dan memperjuangkan kemajuan inklusif serta mampan seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan semangat Gerakan untuk Kemajuan.