Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • AZAM Sarawak perkukuh hubungan strategik bersama UTS
  • TEMPATAN

AZAM Sarawak perkukuh hubungan strategik bersama UTS

Utusan Sarawak 1 hour ago
KETUA Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar UTS, Lu Yew King sebagai tanda penghargaan menerima kunjungan delegasinya di kampus tersebut hari ini. Foto: AZAM Sarawak

SIBU: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak memperkukuh hubungan strategik bersama institusi pendidikan tinggi menerusi kunjungan hormat ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sempena lawatan kerja ke Sibu hari ini.

Delegasi AZAM Sarawak diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ali Suhaili bersama beberapa pegawai kanan dan pegawai AZAM Sarawak, manakala pihak UTS diwakili Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar, Lu Yew King serta empat pegawai jabatan berkenaan.

Kunjungan tersebut memberi fokus kepada potensi kerjasama strategik dalam memperkasa pembangunan belia Sarawak khususnya dalam aspek komunikasi, kepimpinan, pembangunan potensi diri serta penglibatan mahasiswa dalam program pembangunan komuniti dan belia.

Ali berkata, mahasiswa universiti merupakan aset penting dan pemimpin masa depan yang perlu diberikan pendedahan, platform serta peluang untuk terus berkembang seiring perkembangan dunia semasa.

“AZAM kini memberi fokus dalam memperhebatkan potensi belia Sarawak melalui pendekatan komunikasi, pembangunan kepimpinan, media digital dan penglibatan strategik bersama komuniti serta institusi pendidikan tinggi.

“Mahasiswa hari ini bukan sahaja perlu cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi, kepimpinan dan keberanian untuk menjadi suara serta agen perubahan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, usaha memperluaskan jaringan dan hubungan bersama belia Sarawak di pelbagai peringkat merupakan sebahagian daripada inisiatif Rangkaian Keterhubungan dan Pemerkasaan Belia (YCEN) yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh hubungan, penglibatan serta pembangunan bakat belia secara lebih menyeluruh dan progresif.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Hubungan Belia (SCMYR) AZAM Sarawak, Mohd Hassnal Hakim Junaidi berkata, pendekatan kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi penting dalam memastikan suara dan potensi golongan muda terus diberikan perhatian.

“AZAM percaya pembangunan belia hari ini perlu bergerak seiring dengan perubahan landskap komunikasi dan teknologi semasa.

“Melalui kolaborasi seperti ini, kita dapat membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat, komunikasi strategik serta pembentukan kepimpinan masa depan,” katanya.

Menurut beliau, AZAM Sarawak sentiasa komited menyediakan platform yang lebih relevan, progresif dan dekat dengan generasi muda melalui pelbagai inisiatif melibatkan komunikasi, media digital, kepimpinan dan pembangunan kapasiti belia.

Kunjungan hormat tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama masa depan antara AZAM Sarawak dan UTS dalam pelaksanaan program pembangunan mahasiswa, latihan komunikasi, pembangunan kepimpinan belia serta penglibatan komuniti yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan belia Sarawak secara keseluruhan.

Continue Reading

Previous: DUN: Infrastruktur pengairan dan penyelarasan agensi jadi cabaran utama jelapang padi Sarawak
Next: IPD Kuching tekankan disiplin, integriti dan profesionalisme

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.