Ketua Pegawai Eksekutif AZAM, Ali Suhaili bersama pengamal media di majlis AZAM Iftar bersama Media.
KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak terus memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media melalui penganjuran Majlis AZAM Media Iftar 2026 yang berlangsung malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM, Ali Suhaili, berkata penganjuran majlis tersebut merupakan tanda penghargaan kepada rakan media yang selama ini menjadi rakan strategik dalam menyampaikan naratif pembangunan negeri kepada masyarakat.
“Setiap platform media memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman awam. Sama ada melalui akhbar, penyiaran atau platform digital, semuanya menyumbang kepada penyampaian maklumat yang tepat dan berintegriti,” katanya berucap pada majlis itu.
Ali berkata sejak ditubuhkan pada 1983, AZAM terus berkembang selari dengan aspirasi dan saranan Premier Sarawak dalam memperkukuh komunikasi partisipatif yang inklusif serta progresif.
“Perubahan yang kami lakukan bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, tetapi merupakan langkah mematangkan organisasi dari segi strategi, pendekatan dan penyampaian. Kami memastikan setiap usaha komunikasi selari dengan hala tuju pembangunan negeri.
“Dalam era ekonomi digital dan kecerdasan buatan, organisasi perlu lebih responsif dan berdaya saing tanpa mengabaikan nilai integriti serta kepercayaan masyarakat.
“AZAM berperanan sebagai jambatan antara dasar dan rakyat. Tanggungjawab itu menuntut kematangan, ketelitian dan kesediaanuntuk terus berevolusi,” tambahnya.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, AZAM memperkukuh inisiatif digital melalui penerbitan e-publikasi Progress, penghasilan infografik kesedaran serta kempen media sosial yang lebih interaktif.
Organisasi itu turut memperkenalkan karektar AI seperti ELI dan KAI bagi menyampaikan maklumat secara lebih ringkas dan mudah difahami, khususnya kepada generasi digital.
Ali berkata kempen komunikasi yang dilaksanakan bertujuan menarik minat orang awam untuk memahami inisiatif pembangunan negeri melalui pendekatan yang lebih mesra dan relevan.
“Maklumat yang baik perlu disampaikan dengan cara yang betul. Kami mahu masyarakat bukan sahaja menerima maklumat, tetapi benar-benar memahaminya dan melihat kaitannya dengan kehidupan seharian mereka,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah AZAM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik, Alice Wee, menyifatkan media sebagai tonggak penting dalam membentuk masyarakat berinformasi.
“Disiplin editorial, ketepatan fakta dan pertimbangan etika adalah asas dalam memastikan laporan yang dihasilkan memberi impak positif. Walaupun teknologi berkembang, nilai kemanusiaan tetap menjadi tunjang dalam kewartawanan,” katanya.
Pada majlis sama, AZAM turut menyampaikan hadiah angpau kepada orang awam yang terlibat dalam Kempen Ramadan–Tahun Baharu Cina bertajuk “Tanglung Ramadan” sebagai penghargaan terhadap penyertaan aktif komuniti dalam inisiatif digital tersebut.
Majlis itu turut disokong oleh syarikat tempatan, Ibrandium, Eric Enterprise dan Syarikat Danao yang menjadi simbol komitmen berterusan AZAM dalam memperkukuh sinergi bersama media merentasi pelbagai platform demi memastikan penyampaian maklumat pembangunan negeri terus relevan, bertanggungjawab dan berdaya impak kepada masyarakat Sarawak.
Majlis bertemakan “Sands of Prosperity” itu menghimpunkan kira-kira 30 wakil media dari seluruh negeri merangkumi media cetak, elektronik dan media baharu termasuk Utusan Sarawak, Sin Chew Daily, Suara Sarawak, Borneo Post, UKAS, TVS, Sarawak Tribune serta Cats FM.
Oleh Masrin Affirah