
KUALA LUMPUR: Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) bersama sayap belianya, AZAM Young Souls (AYS), terus menunjukkan komitmen padu dalam memperkukuh semangat perpaduan dan identiti rakyat Sarawak melalui penyertaan aktif dalam Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini, hari ini.
Dengan bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian Teras Kemakmuran’ (Unity in Diversity: The Foundation of Prosperity), LBAS 2025 sekali lagi menjadi wadah penting yang menghimpunkan rakyat Sarawak di Semenanjung Malaysia — termasuk pelajar, profesional dan komuniti Sarawakian diaspora — bagi memperkukuh semangat kebersamaan, kekitaan dan jati diri negeri.
Penyertaan AZAM dan AYS tahun ini menyerlahkan usaha berterusan kedua-dua entiti dalam memperluas jaringan komunikasi, memperkasa golongan belia serta menanam semangat keterlibatan aktif dalam pembangunan negeri, selaras dengan falsafah Movement for Progress.
Booth AZAM dan AYS turut menjadi tumpuan pengunjung apabila menampilkan pameran interaktif berkaitan pembangunan komuniti, program belia dan inisiatif komunikasi partisipatif yang dijalankan di seluruh Sarawak. Pelbagai aktiviti interaktif dan sesi perkongsian turut diadakan dengan tumpuan kepada tema Grow the Youth, Grow Sarawak — yang menekankan peranan belia sebagai penggerak utama masa depan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, berkata penyertaan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan kesungguhan AZAM dan AYS dalam memperkukuh jaringan sosial serta semangat perpaduan sesama rakyat Sarawak.
Beliau menegaskan, program seperti Lan Berambeh menjadi jambatan yang menghubungkan anak-anak Sarawak di mana sahaja mereka berada — bukan hanya sebagai ruang pertemuan, tetapi juga sebagai platform memperbaharui semangat kekitaan, memahami aspirasi baharu masyarakat dan berkongsi visi kemajuan negeri yang inklusif.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Perhubungan Belia AZAM Sarawak, Hassnal Hakim Junaidi, berkata LBAS merupakan wadah berharga yang menghimpunkan anak-anak Sarawak di perantauan, menjadi saluran penting dalam memperkukuh jaringan komuniti dan identiti negeri.
Beliau menambah, melalui penglibatan ini, AZAM dan AYS berpeluang berinteraksi dengan pelajar serta golongan profesional Sarawak, menyemai semangat kekitaan dan memperkukuh peranan belia dalam membentuk masa depan negeri yang progresif dan bersatu.
Sepanjang program berlangsung, booth AZAM dan AYS menerima kunjungan ratusan pelajar, belia serta warga profesional Sarawak di Semenanjung, sekali gus menjadi platform pertukaran idea dan kolaborasi komuniti ke arah membina Sarawak yang inklusif, dinamik dan makmur menjelang 2030.
Oleh Norman B