Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Azam Baki fail saman fitnah terhadap ahli perniagaan Albert Tei
  • MAHKAMAH

Azam Baki fail saman fitnah terhadap ahli perniagaan Albert Tei

Utusan Sarawak 5 hours ago
BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memfailkan saman fitnah terhadap ahli perniagaan Albert Tei berhubung kenyataan mengenai dirinya yang didakwa palsu dan berunsur fitnah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan firma guaman Messrs Zain Megat & Murad hari ini, writ saman dan penyata tuntutan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Saman berkenaan berhubung kenyataan diterbitkan dan diterbitkan semula menerusi podcast (audio siar), YouTube Shorts serta platform dalam talian yang lain.

Menurut firma itu, Azam menuntut ganti rugi serta injunksi kekal terhadap Tei.

“Azam menegaskan bahawa semua dakwaan adalah tidak berasas dan tidak benar serta telah memulakan prosiding itu bagi mempertahankan reputasi dan nama baiknya yang dibina hampir empat dekad dalam perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

AHLI perniagaan Albert Tei.

Firma guaman yang mewakili Azam itu turut memaklumkan bahawa memandangkan kes berkenaan kini dibicarakan di mahkamah, Azam mahupun firma berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai merit kes, dan menggesa semua pihak menghormati proses kehakiman yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita selepas sebutan kesnya hari ini, Tei mengesahkan beliau belum menerima writ saman berkenaan.

Terdahulu, semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya M Esther Jacyntha memaklumkan kepada mahkamah pihaknya telah menyerahkan 38 dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah dan masih ada beberapa dokumen lain yang perlu diserahkan.

Beliau berkata pihak kami juga berhasrat supaya kes Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dibicarakan bersama.

“Namun, kami masih menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan Shamsul selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk memindahkan kes tersebut,” katanya. 

Peguam Mahajoth Singh yang mewakili Tei mengesahkan telah menerima 38 dokumen berkenaan.

Hakim Rosli kemudian menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tarikh akhir serahan dokumen.

Tei, 37, didakwa atas empat pertuduhan, iaitu memberi suapan wang tunai berjumlah RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.

Suapan itu sebagai dorongan untuk Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan dengan tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.

Selain itu, Tei didakwa memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Langgar perintah injunksi, Setiausaha DKU akan mulakan prosiding hina mahkamah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.