
KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak bersama AZAM Young Souls (AYS) menganjurkan Program Prihatin Bersama AZAM: Kasih Merentas Usia di Rumah Seri Kenangan Kuching, hari ini.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini bertujuan memperkukuh hubungan komuniti dan merapatkan jurang generasi melalui interaksi mesra dengan warga emas, selaras dengan semangat Krismas dan agenda pembangunan sosial inklusif.
Pengurus Perhubungan Komuniti AZAM Sarawak, Yaana Singkie, berkata inisiatif tersebut juga memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan belia dan menekankan nilai empati serta tanggungjawab sosial.
“Selaras denga usaha untuk kemajuan, kami percaya kemajuan bukan hanya mengenai pembangunan fizikal, tetapi juga menjaga hati manusia dan memastikan warga emas terus diberi tempat dalam arus kemajuan masyarakat,” katanya.
Seramai 15 kakitangan AZAM Sarawak dan lima sukarelawan AYS meluangkan masa bersama penghuni melalui aktiviti santai seperti sesi berbual, permainan ringan dan riadah.
AZAM Sarawak merancang memperluas kolaborasi dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan orang awam bagi mengukuhkan program komuniti pada masa depan, sekali gus menegaskan komitmen mereka terhadap pembangunan sosial yang inklusif dan bermakna.