Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Ayrton Mohd Azeem Low mahu buktikan Sarawak mampu bersaing di arena permotoran nasional
  • INSPIRASI

Ayrton Mohd Azeem Low mahu buktikan Sarawak mampu bersaing di arena permotoran nasional

Utusan Sarawak 2 hours ago
AYRTON Mohd Azeem Low meraikan kejayaan menaiki podium pada salah satu perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia musim ini

KUCHING: Tiga kali menaiki podium dalam musim sulungnya bukanlah pencapaian kecil bagi seorang pelumba muda. Namun bagi Ayrton Mohd Azeem Low, 25, kejayaan itu hanyalah permulaan. Bagi beliau, tempat ketiga adalah pemangkin untuk terus memperbaiki diri dan menjejakkan nama Sarawak lebih jauh dalam dunia permotoran Malaysia.

Anak jati Sarawak ini kini bersaing dalam Toyota GR86 Cup Malaysia 2025, sebuah kejohanan yang mengumpulkan barisan pelumba muda dan profesional di Litar Sepang.

Walaupun masih ‘rookie’, Ayrton sudah membuktikan dirinya bukan sekadar penyeri di grid, sebaliknya pesaing yang konsisten.

Dari Minat Kanak-Kanak ke Litar Profesional

Minat Ayrton dalam perlumbaan bermula sejak usia 10 tahun apabila beliau diperkenalkan kepada dunia permotoran oleh bapanya, seorang pelumba berpengalaman.

“Sejak kecil, saya fikir perlumbaan adalah yang paling menarik. Saya tak mahu buat apa-apa selain daripada berlumba,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Namun minat ini datang berserta realiti yang sukar. Perlumbaan memerlukan pelaburan yang tinggi, termasuk persiapan teknikal, latihan, kos perjalanan dan lain-lain.

“Ramai tidak tahu, dalam perlumbaan, anda perlu melabur berjuta-juta ringgit untuk sampai ke peringkat tertinggi. Tapi walaupun sudah melabur besar, tidak ada jaminan akan berjaya,” jelasnya.

AYRTON (kiri) bersama bapanya, Zen Low (kanan) yang juga bekas pelumba di bawah pasukan Aylezo Motorsports, kini menjadi mentor dan tulang belakang kariernya.

Mentaliti Juara, Bukan Sekadar Cukup Bagus

Sejak perlumbaan pertamanya, Ayrton telah mengorak langkah dengan tiga podium daripada empat perlumbaan. Namun beliau jarang berasa puas dengan pencapaian itu.

“Saya tidak mahu sekadar di tempat ketiga. Fikiran saya sentiasa beralih kepada bagaimana saya boleh buat lebih baik pada perlumbaan seterusnya,” katanya.

Menurut Ayrton, kejayaan bukan sekadar bergantung kepada kelajuan kereta, tetapi memerlukan fokus dan disiplin luar biasa. Litar Sepang yang luas dan teknikal menuntut konsentrasi penuh sepanjang masa.

“Sepang antara litar paling sukar di dunia. Pemandu perlu kekal fokus lama, memandu di had keupayaan maksimum kereta,” jelasnya.

Beliau juga menekankan perbezaan tekanan di dalam dan luar litar. Di dalam kereta, beliau lebih teruja daripada gugup, manakala tekanan sebenar datang daripada keinginan membuktikan kemampuan kepada bapanya.

AYRTON di Litar Antarabangsa Sepang ketika bersaing dalam kategori rookie Toyota GR86 Cup Malaysia.

Bangga Wakili Sarawak

Di sebalik tekad peribadi, Ayrton membawa rasa bangga setiap kali menyarung sut perlumbaan.

Sebagai salah seorang daripada segelintir pelumba Sarawak dalam kejohanan nasional, beliau melihat kehadirannya di litar sebagai tanda bahawa bakat dari Bumi Kenyalang juga mampu bersaing.

“Setiap kali turun berlumba, saya sedar saya bawa nama Sarawak. Itu satu perasaan yang baik. Saya harap lebih ramai anak Sarawak akan berani cuba masuk ke dunia ini,” katanya.

Namun, beliau jujur bahawa peluang untuk bakat muda di Sarawak masih terbatas. Dengan hanya satu litar go-kart lengkap, lebih banyak kemudahan dan program pembangunan diperlukan bagi membuka ruang kepada generasi baharu.

Kekurangan infrastruktur dan fasiliti di seluruh Sarawak menyukarkan pelumba muda untuk mendapatkan pengalaman yang setanding dengan rakan mereka di Semenanjung.

“Kalau ada lebih banyak litar, pusat latihan, dan program pembangunan, saya yakin lebih ramai pelumba muda akan berani menceburi sukan ini.

“Saya harap pihak kerajaan boleh melihat bidang ini sebagai peluang untuk melabur dalam bakat Sarawak, bukan sahaja untuk kejayaan di peringkat nasional, tetapi juga antarabangsa,” tambahnya.

 SUASANA perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia yang menyaksikan Ayrton muncul antara pelumba muda menonjol.

Sokongan Keluarga, Pasukan dan Penaja

Mewarisi minat daripada bapanya, Ayrton telah terdedah kepada dunia perlumbaan sejak kecil. Bapanya, Zen Low, ialah seorang pelumba GT antarabangsa yang pernah bersaing di peringkat dunia dari tahun 2009 hingga 2022.

Kini, beliau bukan sahaja menjadi mentor tetapi juga sumber inspirasi utama, manakala ibunya memastikan segala keperluan perlumbaan dapat dipenuhi, termasuk kos tinggi yang terlibat.

Beliau kini berlumba di bawah pasukan Aylezo Motorsports, yang turut diketuai bapanya. Pasukan membantu dari segi teknikal, persiapan kereta, dan strategi perlumbaan.

“Ayah selalu ingatkan saya untuk berseronok kerana ini musim pertama. Tetapi saya tahu dia mahu saya berikan yang terbaik,” katanya.

Selain daripada pasukan, Ayrton juga menekankan pentingnya hubungan dengan rakan strategik dan penaja untuk membolehkan pelumba muda mengekalkan momentum dan mengembangkan kerjaya.

Ketika Ayrton terus mengejar impiannya, pasukan Aylezo Motorsports turut membuka ruang kepada rakan strategik dan penaja yang ingin bersama mereka dalam perjalanan ini.

Melalui kerjasama, syarikat atau jenama berpeluang menyokong bakat muda yang sedang meningkat naik sambil mengembangkan nama mereka seiring dengan pelumba berpotensi besar.

Untuk maklumat lanjut mengenai peluang kerjasama, hubungi pasukan Aylezo Motorsports di aylezowork@gmail.com atau ikuti perkembangan Ayrton di Instagram: @ayrtonlow.

 SUASANA perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia yang menyaksikan Ayrton muncul antara pelumba muda menonjol.

Gaya Pemanduan dan Idola

Ayrton menggambarkan gaya pemanduannya sebagai ‘sharp, aggressive, dan smooth’, di mana agresif diperlukan untuk mengatasi pesaing, manakala keselesaan dan ketenangan memastikan kereta kekal stabil di had keupayaan maksimum.

Beliau juga memuji juara dunia Formula 1, Max Verstappen, kerana keberanian dan konsistensinya.

Toyota GR86 Cup, dengan format satu model kereta, menekankan kepakaran pemandu dan keupayaan teknikal, memberikan platform sempurna bagi rookie seperti Ayrton untuk menonjolkan bakatnya.

 SUASANA perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia yang menyaksikan Ayrton muncul antara pelumba muda menonjol.

Sasaran Masa Depan dan Inspirasi

Selepas pusingan awal musim dengan podium, Ayrton memberi tumpuan kepada baki pusingan: TSS The Super Series (19–21 September), Sepang 1000KM (27–30 November), dan Perlumbaan Ketahanan 12 Jam Michelin (4–6 Disember).

Beliau berazam mengekalkan momentum podium dan bersedia untuk kategori profesional pada musim hadapan.

Bagi Ayrton, perlumbaan bukan sahaja tentang kemenangan tetapi juga peluang untuk memberi inspirasi kepada generasi muda Sarawak.

“Ikutlah impian anda, beri sepenuh usaha dan tumpuan dalam apa jua yang anda lakukan, dan kejayaan pasti menanti,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan sokongan korporat dan kerajaan bagi membuka lebih banyak peluang: membina infrastruktur, menyediakan latihan, dan menaja pelumba muda berpotensi.

Dengan sokongan yang tepat, Sarawak berpotensi melahirkan lebih ramai pelumba profesional yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Doa, sabar, usaha: Resipi kejayaan Diana Valentine

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.