Kacang Ma bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat Cina di Sarawak, malah turut terkenal dan digemari oleh kaum lain yang ada di bumi Kenyalang di sini.
Kacang Ma merupakan sejenis ramuan yang atau herba yang sangat popular di Sarawak dan banyak digunakan sebagai ubat-ubatan herba dan makanan kesihatan.
Kacang Ma ataupun nama saintifiknya Leonurus sibiricus juga dikenali sebagai rumput untuk ibu atau ‘Chinese Motherwort’.
Jika dilihat pada namanya, pasti ramai yang membayangkan bentuk fizikal kacang ma seperti kekacang. Hakikatnya, bentuk kacang ma lebih kepada daun yang telah dikeringkan.
Menyentuh mengenai asal usul Kacang Ma, ramai yang menyatakan ia berasal dari China dan dibawa ke Sarawak oleh Hakka dan merupakan hidangan biasa bagi mereka.
Golongan Hakka kebiasaanya menggunakan kacang ma sebagai rempah atau herba dalam menyediakan masakan untuk wanita berpantang.
Bagaimanapun, pada masa ini, kacang ma telah diperluaskan pergunaannya dan digemari oleh kaum lain.
Ia juga enak untuk dijadikan lauk makanan seharian. Malah, ada yang menjadikan kacang ma sebagai lauk untuk keramaian.
Kacang ma mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Jadi tidak hairanlah jika ia digunakan sebagai salah satu ramuan masakan untuk ibu yang berpantang.
Adalah menjadi tradisi dan menu wajib bagi wanita selepas bersalin dan berpantang untuk mengamalkan masakan kacang ma.
Ia dikatakan dapat membantu memanaskan badan dan juga membantu mengecutkan rahim wanita selepas bersalin.
Selain itu, kacang ma dikatakan mampu melancarkan kitaran haid serta peredaran darah.
Terdapat segelintir wanita yang mengalami masalah kitaran haid yang tidak teratur. Oleh itu, dengan pengambilan herba kacang ma ini, ia dikatakan dapat membantu mengatasi masalah terbabit.
Pengambilan kacang ma dipercayai dapat membantu meningkatkan aliran darah ke bahagian pelvis. Selain itu, ia dapat membantu meringankan kesakitan ketika datang haid dengan mengurangkan kekejangan di bahagian rahim wanita.
Dalam pada itu, kacang ma juga dikatakan berkhasiat dalam membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.
Menurut laman web The Herbal Resource, herba kacang ma dianggap lebih berkesan dalam menurunkan tekanan darah tinggi kerana ia mempunyai kandungan vitamin A dan vitamin C yang tinggi.
Kacang ma mempunyai aromanya yang tersendiri apabila dimasak. Antara masakan popular yang menggunakan kacang ma ialah ayam masak kacang ma.
Menurut salah seorang penggemar masakan Ayam Kacang Ma, Nurul ‘Ain Mohamad Mostapha yang berusia 30 tahun, cara untuk memasak masakan ini sangat mudah.
Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Kak Yong’ berkata, bagi menghasilkan masakan ayam kacang ma, ia tidak memerlukan banyak bahan-bahan.
“Apa yang penting, bahan utamanya sudah semestinya daun kacang ma, ayam, bawang putih, halia dan sedikit garam.
“Langkah-langkah untuk memasaknya juga cukup senang. Jadi tidak hairanlah jika ayam kacang ma menjadi pilihan ramai orang,” katanya.
Jelas Kak Yong, sebagai permulaan, daun kacang ma digoreng tanpa minyak sehingga kekuningan sebelum ditumbuk halus.
“Ayam diperap bersama halia dan bawang putih yang telah ditumbuk halus lebih kurang setengah jam sebelum dimasak.
“Akhir sekali, masukkan daun kacang ma yang telah ditumbuk halus tadi, gaul rata dan tunggu sehingga masak.
“Setelah kuah ayam kacang ma sedikit pekat barulah dapat diangkat dan sedia untuk dihidang.
“Kacang ma dimasukkan pada langkah terakhir bagi mengekalkan khasiat dan aroma yang ada padanya,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD