
SIBU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 104 tahun berserta 18 kali sebatan terhadap seorang lelaki setelah mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap dua orang anak tirinya.
Hakim Musyiri Peet terdahulu menjatuhkan hukuman penjara antara 10 hingga 12 tahun berserta dua sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh, Hafizzie Hamzah, 35, dimana hukuman penjara itu diarah berjalan secara berasingan.
Di samping itu, tertuduh juga diperintah menjalani khidmat kauseling ketika menjalani hukuman penjara dan berada di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun setelah tamat menjalani hukuman.
“Setelah mempertimbangkan fakta kes, rayuan dan kepentingan awam, Mahkamah memandang berat akan kesalahan yang dilakukan tertuduh, yang juga ayah tiri kepada mangsa serta yang melibatkan dua mangsa bawah umur.
“Kesalahan dilakukan di beberapa tempat dan masa berbeza, yang menunjukkan corak penderaan yang berterusan.
“Fakta juga menunjukkan tertuduh melakukan perbuatan keji itu bukan kepada seorang, tetapi dua kanak-kanak yang dibawah jagannya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman.
Sementara itu, tertuduh dalam rayuan merayu dikenakan hukuman ringan serta sebatan, selain memberitahu sebelum ini bertugas di salah satu syarikat air di sini.
Tertuduh juga memberitahu kesal dengan perbuatannya, selain berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama.
Di samping itu, dia juga merayu agar dibenarkan untuk berjumpa dengan isteri dan anak-anak ketika menjalani hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry memohon hukuman berat dijatuhkan terhadap tertuduh memandangkan dua mangsa adalah anak tiri tertuduh yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun.
“Kedua-dua kanak-kanak ini terpaksa menjadi mangsa bagi tertuduh memuaskan nafsu buasnya, yang akan menjadi trauma kepada mangsa sepanjang hayat mereka,” ujarnya.
Hafizzi terdahulu didakwa merogol mangsa yang berusia 16 tahun pada 18 Oktober 2025, di berek syarikat air di Jalan Salim serta melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama pada bulan Disember 2024, bertempat di rumah di Lorong Indah.
Tertuduh turut didakwa merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun antara bulan Julai 2024 dan September 2025, di berek syarikat di Jalan Salim dan di rumah di Lorong Indah.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Oleh Akun Giman