Oleh: Nur Syahmin Shamsol
There are some qualities- some incorporate things,
That have a double life, which thus is made
A type of that twin entity which springs
From matter and light, evinced in solid and shade.
-Silence, Edgar Allan Poe
SANTAPAN yang naim telah dipersembahkan di hadapanku. Stik daging separa bakar disampingi sup cendawan kelihatan mewah dan cukup untuk membuka seleraku seluas lautan yang menghiasi dunia. Hidangan minuman yang segar membasahkan tekakku yang dahaga. Namun, jamuan bersama ibu angkatku sentiasa menyempitkan selera dan memberatkan mulutku untuk mengisi ruang perut yang kosong. Jamuan yang sering kali kuhadiri dalam rumah ini bukanlah jamuan yang penuh dengan kegembiraan dan gelak ketawa ahli keluarga. Sebaliknya diselebungi oleh kesunyian dan disaluti kesayuan yang menjelaskan jalinan aku dan ibu angkatku yang renggang.
Udara ringan yang kunafaskan selama ini terasa padat dan berat. Kesuraman suasana hanya dikurangkan oleh siaran berita yang menyampaikan informasi mengenai kes tembakan yang semakin meningkat. Bagiku, aku ibarat tetamu yang tidak diundang dalam jamuan tersebut. Aku tidak menyalahkan sesiapa kerana di sudut jiwaku, aku sedar bahawa diriku ini hanyalah seorang anak angkat yang tidak diterima oleh individu yang kugelar sebagai ibu angkat itu.
Kesunyian dan kesayuan jamuan ini menguatkan rasa rinduku terhadap keluarga kandungku. Masih segar dan jelas dalam memoriku, kegirangan dan perasaan diselubungi oleh rasa kasih yang tidak terhingga. Saat itu, wajahku sentiasa terdandan dengan ukiran kebahagiaan, tetapi kini wajahku hanya memantulkan wajah kesedihan. Rasa kebahagiaan kini cuma sebuah kemewahan yang pernah kumiliki.
Sejak kematian keluargaku dalam sebuah kemalangan, hariku yang cerah diselebungi kegelapan malam yang pilu. Hayat diriku sahaja yang tidak tamat dalam tragedi tersebut. Kemalangan yang telah meyatimpiatukan aku yang kemudiannya telah diangkat oleh rakan karib bapaku, Encik Firdaus.
Pada mulanya, keluarga Encik Firdaus memaparkan imej keluarga yang kafi. Keluarga yang terdiri daripada tiga orang iaitu Encik Firdaus, isterinya, Puan Aliya dan anak lelakinya, Azim merupakan sebuah keluarga yang dilimpahkan dengan rezeki yang melimpah ruah. Keadaan hidup yang mewah dan palamarta ahli keluarga Encik Firdaus memberi harapan kepada diriku untuk kembali memiliki keluarga yang bahagia. Namun begitu, harapan ini berkecaian apabila imej yang kutayangkan dalam ruang pemikiranku hanyalah fatamorgana semata-mata.
Encik Firdaus, rakan karib bapaku, kini kugelar sebagai ayah. Ayah berumur 42 tahun. Dia seorang yang masih aktif dan dikurniakan kesihatan yang baik. Dia melayan diriku seperti anak kandungnya sendiri tetapi pekerjaannya sebagai seorang sejarawan telah memakan masa luangannya bersama keluarga. Maka, dia sangat jarang tinggal dan meluangkan masa dengan kami sekeluarga di rumah.
Ibu angkatku, Puan Aliya merupakan individu yang menyedarkan diriku daripada fatamorganaku. Atmanya berisikan rasa benci yang terpancar jelas melalui layanannya kepadaku khususnya semasa ketiadaan ayah. Ketiadaan ayah telah mewujudkan kelompangan dalam jiwanya dan kelompangan ini diisi bersama lelaki simpanannya. Kecurangan ini bukan asing lagi antara aku dan abang angkatku Azim, tetapi demi menjaga kemurnian sanubari ayah dan imej sempurna kelurga ini, kami membutakan dan membisukan diri.
Azim merupakan imej pantulan ayah. Azim kebanggaan keluarga ini kerana pencapaiannya yang cemerlang dari aspek akademik mahupun kokurikulum sejak sekolah rendah lagi. Walaupun begitu, dia tidak bercampur dengan pelajar lain akibat hobinya yang asing dan tidak sepadan dengan umurnya, iaitu membaca cerita lagenda dan kisah dongeng. Dirinya yang berumur 21 tahun menyebabkan jurang umur kami tidaklah begitu luas dan hubungan kami boleh dikatakan sangat akrab bagi adik beradik angkat. Di universiti, dia mengambil subjek psikologi sebagai subjek perdana manakala subjek sejarah sebagai subjek sampingan. Pendek kisah, Azim merupakan seorang yang memudarkan kemasyghulan dan melakari sukmaku dengan kebahagiaan dalam rumah ini. Namun begitu, kemanisan yang dipersembahkan kepadaku ini bertukar menjadi kepahitan. Azim telah disahkan membunuh diri dalam kamar tidurnya pada minggu yang lalu. Kepahitan petaka yang menimpaku saat pemergiannya masih lagi tidak dapatku hadamkan. Pemergiannya mewujudkan konflik dan kesengsaraan yang tidak kelihatan penamatnya, ibarat ombak laut yang bergelora semasa ribut taufan.
Pada hari tragedi tersebut, aku masih lagi ingat raut wajah yang dipaparkan oleh abang kepadaku. Dirinya kelihatan begitu normal dan abang sempat mengajakku meluangkan masa, berbual-bual dengannya pada malam tersebut. Apabila tiba di rumah setelah tamat kelas tambahan, aku dikejutkan dengan berita kematian abang kesayanganku itu. Melalui siasatan polis, cap jari pada pistol yang dijumpai berdekatan dengan mayat abang membuktikan bahawa abang sememangnya membunuh diri. Sekali lagi, diriku kehilangan orang yang kusayangi. Pada saat itu, sukmaku bertakhtakan derita. Bayuan pilu mengisi kekosongan hati dan diriku sedar bahawa kebahagiaan bukanlah sesuatu yang mewah tetapi sebaliknya sesuatu yang haram untuk aku miliki.
Setelah habis menjamu selera, ibu angkatku terus meninggalkan diriku bersendirian di rumah. Diriku yang masih belum sembuh dari merindui abangku mula memasuki bilik tidur abangku untuk mengubati rindu yang kuat ini. Biliknya memantulkan personalitinya dengan persis sekali. Di sebelah katil agam birunya ada ruang bacaan yang menghiasi sudut bilik tersebut. Disebabkan oleh hobinya, abangku mengisi ruang ini dengan koleksi buku-buku lagenda yang diminati dan dikaji olehnya. Aku meneroka koleksi buku-buku abangku dan penerokaanku mewujudkan persoalan ketika aku menjumpai calitan darah pada sebuah kulit buku pada tingkat kedua rak tersebut. Aku mengeluarkan dan membuka buku tersebut. Persoalanku mengganda apabila aku menjumpai cebisan kertas yang disaluti dengan kemerahan darah.
‘How They Met Themselves’
-Dante Gabriel Rosetti(1864)
Mesej yang terpapar pada kertas tersebut merancakkan perdebatan dalam ruang pemikiranku. Apakah maksudnya? Siapakah yang menyembunyikan kertas ini di sini? Komplikasi ini mencatatkan pelbagai pertanyaan dalam jeluang fitrah tetapi akalku hanya dilingkari kabus yang mengaburi jawapan kepada pertanyaan tersebut.
Belum sempat aku menyusun akalku yang bercelaru, aku dikejutkan dengan kemalaman rumah yang mengejut. Berbekalkan cahaya telefonku, aku membuka langkah ke bahagian ruang tamu. Jantungku terjatuh apabila cahayaku memancar ke arah durja ayah yang kupercayai baru sahaja balik dari kerja. Eksistensi ayahku mengendurkan rasa tegang hatiku yang ketakutan. Dalam perspektifku, aku dapat meyimpulkan bahawa tiada yang asing mengenai ayahku.
“Aayan bersendirian di rumah?” soal ayahku kepadaku.
“Ibu keluar sekejap tadi dan semasa Aayan berada di dalam bilik, rumah tiba-tiba blackout,” diriku menjawab pertanyaan tersebut dengan bohongan yang bercampur rasa bersalah. Aku tahu ibu pasti keluar bertemu lelaki simpanannya.
“Aayan, bolehkah Aayan tolong ambil beg sandang ayah dari kereta?” pinta ayahku dengan wajahnya yang bermotifkan senyuman.
Tanpa membuang masa, aku pun terus mengalihkan pancaran cahaya telefonku daripada wajah ayah dan beranjak dari tempat itu untuk menuju ke bahagian garaj. Sama seperti bahagian rumah yang lain, kekelaman menyelubungi bahagian garaj ibarat dakwat hitam yang menghitamkan kanvas putih. Aku menyinarkan cahaya telefonku ke arah bahagian tempat duduk pemandu kereta yang bersepah dan menyelongkar barang-barang tersebut bagi mencari beg sandang ayah.
Penyelongkaranku tamat apabila mulut dan hidungku disahapi tangan besar dengan kasar dari belakang. Mobiliti tubuhku dihadkan oleh pelukan individu misteri tersebut tetapi sesungguhnya Tuhan mula memihak kepadaku apabila aku berjaya menghentak tubuh individu tersebut pada dinding garaj dengan kuat sehinggakan bahana yang menyakitkan telinga dapat didengari olehku. Kekencangan degupan jantungku menyebabkan jantungku terasa seperti disobek dan dilumat dengan agresif. Aku terus memecut masuk ke dalam rumah untuk mencari ayahku dan degupan ini mula lenyap apabila figur tubuh ayahku muncul dari bahagian dapur.
Tanpa melengahkan masa, aku terus menceritakan apa yang berlaku kepada ayahku. Nadaku mencerminkan jiwaku yang berintikan rasa cemas. Pernafasanku sesak ibarat nyawa yang lemas. Walaupun begitu, wajah ayahku hanya mencerminkan rasa tenang ibarat dirinya sememangnya menyangkakan kedatangan individu misteri tersebut. Pandangan ayah tertumpah pada wajahku dan cahaya lilin samar yang menerangi persekitaran kami memamaparkan ukiran senyuman sinis di wajah ayahku itu. Ayahku beranjak dari kawasan tersebut dan bergerak menuju ke bahagian garaj. Dengan jiwa yang dibaluti kegelisahan, aku pun terus menelefon pihak polis untuk bergegas datang ke rumahku. Masa langsung berdetik dan kesepian suasana dihancurkan oleh bunyi tempikan kesakitan yang memecah buntu akalku.
“Ayah!” pekikanku tidak dijawab oleh ayah.
Kewalangan jiwaku mengalahkan rasa ketakutanku dan aku memecut masuk ke bahagian garaj untuk menyelamatkan ayah. Namun, tiba di garaj, tayangan yang terpapar kepadaku langsung mengkakukan dan membuntukan diriku. Ibarat kain putih yang dicelup ke dalam dakwat merah, lantai garaj yang dulunya bersih kini bergelumang dengan kepekatan aliran darah. Kesegaran udara dicemari dengan bau darah yang memualkan dan melemahkan diriku. Di sebalik kereta, tempikan ketawa ayah yang berintikan rasa nikmat dan gembira menguasai suasana yang mengerikan itu. Dari jauh aku memancarkan cahaya telefonku ke arah ayah. Dalam genggamannya, terdapat sebilah pisau yang disaluti dengan kemerahan darah sepekat kemerahan biji saga.
Raut wajah dan perwatakan ayahku yang dulunya mencerminkan perwatakan ibarat malaikat kini berubah kepada individu yang tidak kukenali lagi. Inginku nafikan tetapi sesungguhnya mataku tidak menipu bahawa ayahku telah membunuh individu misteri tersebut. Tayangan yang terpapar kepadaku pada saat itu ibarat tayangan tragik dalam filem. Aku terus merampas pisau daripada genggaman ayah dan menolak ayah ke sudut penjuru garaj. Ayah mula hilang kestabilan lalu tersungkur jatuh ke belakang. Kesakitan yang teramat terpantul melalui raut wajah ayah yang menahan kesakitan hantukan.
“Ah! Apa Aayan buat kat sini? Sepatutnya Aayan duduk dalam rumah dan tunggu giliran Aayan sebentar lagi.”
Darahku mula mengalir ibarat aliran sungai yang deras semasa aku melihat ayahku mengeluarkan pistol dari poket seluarnya. Pistol tersebut dipacukan kepadaku. Senyuman sinis terpapar jelas pada wajah ayahku.
Melihat keadaan tersebut, badanku terus memberi refleks untuk melarikan diri. Diriku berlari ke pintu utama ibarat dikejar oleh malaikat maut. Saat aku membuka pintu utama rumahku, kegelapan malam diterangi oleh cahaya yang bersinar dari kereta polis yang datang ke rumahku. Sekumpulan pegawai polis bersama ibu angkatku kelihatan terkejut melihat kondisiku yang disaluti dengan darah.
“Adakah adik yang menelefon pihak polis tadi?” soal seorang pegawai polis yang datang ke arahku.
Aku mengangguk dan tidak mampu berkata apa-apa ibarat orang yang bisu.
“Di manakah penceroboh itu sekarang?” soalan polis tersebut terus membuatku menarik tangannya masuk ke rumah dan menuju ke bahagian garaj. Pegawai polis yang lain dan ibu angkatku turut mengikuti kami untuk mengetahui kebenaran terhadap peristiwa yang berlaku.
“Aku mesti menyelamatkan diriku daripada ayah dengan bantuan polis,” aku beranalog kepada diriku sendiri.
Namun, saat kami menjejakkan kaki ke garaj, kami dikejutkan dengan keadaan mayat penceroboh tersebut. Aku pasti dirikulah yang paling diselubungi kejutan pada waktu itu.
“Mengapa ayah terbaring disitu?” soalku tidak percaya. Perdebatan antara akal dan hatiku semakin rancak selari dengan persoalan yang semakin menggunung. “Ke mana perginya ayah tadi?” Aku bertanya kepada diriku sendiri.
Riak muka pegawai-pegawai polis dan ibu angkatku melihat ke arahku seakan-akan aku merupakan seorang yang gila.
“Ayahlah yang membunuh penceroboh ini!” jeritku kepada mereka sambil menunjukkan jariku ke arah mayat ayah yang terbaring di lantai. Jeritanku dijawab dengan kerutan muka yang jelas terpapar pada saksi-saksi saat tersebut. Air mata mula mebanjiri muka ibu angkat yang membenci diriku.
“Sayang, mengapa sayang meninggalkan saya seorang di sini?” ibu angkatku meratapi pemergian suaminya itu. “Semua ini salah engkau! Engkaulah yang membunuh keluargaku! Tidak cukupkah engkau membunuh keluarga kandungmu sendiri?”
Perkataan yang keluar dari bibir wanita itu membelah sukmaku ibarat lengkung khanjar yang lancip berkilat. Lakonannya itu sememangnya meyakinkan saksi yang lain bahawa diriku sememangnya pembunuh ayah. Demi siasatan, diriku telah ditangkap untuk disoal siasat.
Berdasarkan siasatan, hanya kesan cap jari diriku dan ayahku sahaja yang dijumpai pada pisau pembunuhan dan hal ini secara langsung membuktikan bahawa diriku merupakan pembunuh ayah pada malam tersebut. Kejujuranku semasa soal siasat diakhiri dengan pembohongan siasatan yang nyata. Tiada sesiapa yang mempercayaiku. Pada saat itu, aku sedar bahawa diriku berseorangan dalam dunia yang penuh dengan kedustaan ini. Ratapanku menggambarkan kepedihan dan kesengsaraan diriku yang diselubungi dengan kegelapan kehidupan.
Waktu sudah tiba untuk aku dihantar ke juvana sebagai hukuman terhadap pembunuhan yang tidak kulakukan. Aku telah ditolak masuk ke dalam sebuah kereta polis yang berpenghunikan dua pegawai. Polis yang duduk di sebelah pemandu memaparkan wajah yang serius dan jijik apabila mataku bertentangan dengan matanya manakala identiti pemandu kereta polis ini amat sukar untuk aku pastikan. Pemandu tersebut menutupi bahagian bawah wajahnya dengan pelitup muka manakala matanya pula dilindungi oleh cermin mata hitam.
Sepanjang perjalanan tersebut, mindaku dicatatkan dengan pelbagai pertanyaan yang mustahil terjawab. Siapakah pembunuh yang menyerupai ayah pada malam tersebut? Mengapakah dia memiliki wajah dan perwatakan yang serupa dengan ayah? Mengapakah pembunuh tersebut ingin membunuh ayah dan diriku? Adakah pembunuh tersebut mempunyai kaitan dengan kes tembakan yang semakin meningkat di bandarku? Setiap soalan ini memadamkan segala kepercayaan dan peganganku terhadap norma dunia.
Kereta polis yang kunaiki tiba-tiba berhenti di sebuah terowong yang asing. Pemandunya kemudian menyerang pegawai polis yang duduk bersebelahan dengannya. Akibat belum bersedia, pegawai polis tersebut langsung kalah dan dipengsankan. Pemandu itu kemudiannya menolak tubuh pegawai polis itu keluar dari kereta. Semua ini berlaku dalam tempoh yang amat singkat dan aku sebagai saksi kepada kejadian ini hanya duduk diam dalam ketakutan. Ketakutanku ini digandakan dengan kehairanan apabila pemandu tersebut membuka pelitup muka dan cermin matanya. Keserabutan akalku menjadi semakin parah apabila aku memandang ke arah wajah pemandu tersebut.
“Abang? Abang masih hidup?” diriku menyoal sambil tangisan air mata mula membasahi pipiku. “Bagaimana abang masih hidup?” aku menyambung pertanyaanku.
Abangku memandang tajam ke arah mataku dan memberi kepadaku sehelai kertas yang mengandungi sebuah lukisan dan buku diari ayah. Lukisan tersebut memaparkan sepasang kembar perempuan dan sepasang kembar lelaki yang berjumpa di kawasan hutan. Anehnya, seorang lelaki dan seorang perempuan dari pasangan kembar tersebut mengeluarkan sinaran yang menyebabkan seorang lagi kembar perempuan mula pengsan manakala kembar lelaki yang lain pula telah mengeluarkan sebilah pedang seakan-akan ingin membunuh kembar lelakinya yang bersinar itu. ‘How They Met Themselves’, nama lukisan sama dengan catatan yang ditemui dalam buku abang dan hal ini secara langsung telah merumitkan lagi akalku yang semakin buntu.
“Lukisan tersebut merupakan klu terhadap situasi yang janggal kini. Lukisan tersebut menceritakan tentang sepasang kekasih yang hidup pada zaman pertengahan. Pada suatu hari, mereka sedang berjalan di dalam hutan dan ketika kemerahan senja mula menyelubungi langit, mereka bertemu dengan sepasang kekasih yang bersinar secara ghaib. Kejutan menguasai jiwa dan akal mereka apabila mereka mendapati bahawa pasangan kekasih tersebut menyerupai dan amat mirip dengan mereka. Kejutan yang melampau ini menyebabkan lelaki ini menghunus pedang ke arah lelaki yang bersinar ghaib itu manakala kekasihnya telah pengsan di hadapan pasangan kekasih yang aneh ini” jelas abangku kepadaku.
Aku membuka dan membaca diari ayah. Diari tersebut mengandungi perjalanan rutin harian ayah yang berulang. Namun pada hari kemalangan keluarga kandungku, ayah telah menulis – Ketika aku berdiri di hadapan cermin, cermin tersebut anehnya telah memantulkan diriku kepada dua individu yang serupa. Catatan ini membaluti diriku dengan pelbagai ketakjuban dan kekeliruan. Pelbagai tanda tanya bermain dalam gawang pemikiranku. Apakah yang abang maksudkan? Apakah maksudkan catatan ini? Soalan demi soalan tertulis dalam akalku tetapi pada kali ini, aku yakin bahawa aku semakin dekat dalam menemui jawapannya. Semenjak itu, aku pun mengikuti abangku tanpa sebarang bantahan dalam mencari jawapan kepada misteri yang perlu kami rungkaikan.