
KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) yang julung kali diadakan merupakan langkah penting untuk mencapai pertumbuhan ekonomi inklusif bagi memastikan setiap wanita di rantau ini memainkan peranan memacu kemajuan pada masa depan.
Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita Datuk Hafsah Hashim berkata kerajaan pelbagai negara anggota ASEAN sedang giat berusaha bukan sahaja untuk menggalakkan pembangunan luar bandar tetapi juga memperjuangkan pertumbuhan dalam sektor seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan yang merupakan elemen penting untuk memanfaatkan potensi penuh golongan wanita.
“Kita mempunyai pemimpin yang percaya dengan pertumbuhan ini, yang bersemangat dan gigih mendorong wanita menyumbang kepada ekonomi. Ini membolehkan kita berusaha untuk mencapai ASEAN yang lebih makmur,” katanya kepada pemberita pada sidang media AWES 2025, di sini, hari ini.
Hafsah berkata sidang kemuncak itu akan berfungsi sebagai platform dinamik untuk memupuk kerjasama serantau, kecemerlangan kepimpinan dan peluang mencapai pertumbuhan, rangkaian hubungan dan impak yang tanpa had.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AWES 2025 yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN merupakan platform penting di bawah kepengerusian ASEAN Malaysia yang menghimpunkan pelbagai pemegang kepentingan dari seluruh rantau.
Beliau berkata penganjuran AWES 2025 selaras dengan matlamat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memperkasa wanita dan belia, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selaras dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
“Saya percaya dengan sokongan daripada semua pihak, kementerian kami dan kerajaan akan terus berusaha memastikan sokongan berterusan terhadap AWES 2025.
“Melangkah ke hadapan, kita mahu menaikkan taraf wanita melalui pelbagai program dan mendedahkan usahawan wanita kepada peluang yang lebih besar dalam pasaran baharu melalui inisiatif yang meningkatkan jualan,” katanya.
Sidang kemuncak selama dua hari itu, yang bermula hari ini, menampilkan sesi dialog global-tempatan, sumbang saran strategik, makmal kepimpinan, bimbingan mentor dan majlis makan malam gala, melibatkan lebih 700 perwakilan mewakili kerajaan, perniagaan dan masyarakat awam di seluruh ASEAN.
Tema sidang kemuncak itu, “Memperkasa Wanita, Mencergaskan ASEAN: Merintis Integrasi Ekonomi bagi Masa Depan yang Lebih Berdaya Tahan”, mencerminkan keperluan mendesak untuk meletakkan wanita di barisan hadapan dalam transformasi ekonomi ASEAN, khususnya dalam menangani cabaran semasa seperti perang tarif global, transformasi digital dan pembangunan mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata memperkasa wanita untuk memimpin di semua peringkat penting bagi pertumbuhan ekonomi.
“Apabila peluang dan kekompleksan dalam ASEAN semakin berkembang, kita bukan sahaja memerlukan kepimpinan inklusif tetapi juga kemakmuran yang mampan; UOB berbangga menjadi sebahagian daripada perbincangan penting ini sebagai penyokong kuat pertumbuhan inklusif di seluruh rantau ini,” katanya.
UOB Malaysia merupakan penaja utama AWES 2025, dengan Kuok Brothers Sdn Bhd sebagai rakan pemerkasaan.– Bernama