
KUALA LUMPUR: Akhir-akhir ini, media sosial semakin menjadi tumpuan susulan dipenuhi dengan komen dan pandangan berbentuk spekulasi serta provokasi daripada netizen berkaitan pelbagai isu, menjadikannya semakin sukar untuk dikawal.
Ibarat kata pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’, netizen yang melontarkan komen sedemikian boleh memberi kesan kepada emosi serta kesejahteraan mental seseorang individu.
Tanpa disedari, ramai yang memandang remeh perbuatan itu, terutamanya apabila jari-jemari pantas menari di atas papan kekunci tanpa memikirkan akibatnya.
Mereka terlupa, setiap komen yang dilontarkan terutama yang boleh mencetuskan fitnah, bukan sahaja mencalar maruah, tetapi turut membuka ruang untuk tindakan undang-undang yang serius.
Mengulas perkara itu, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata di bawah undang-undang Malaysia, fitnah boleh berlaku sama ada secara lisan atau bertulis, yang bukti mudah diperoleh apabila sesuatu komen disiarkan di media sosial.
“Apabila mereka melontarkan komen tanpa mempunyai sebarang maklumat sahih berkenaan sesuatu isu, maka wujud risiko komen tersebut tidak tepat dari segi fakta, sekali gus menimbulkan persepsi buruk terhadap pihak terlibat.
“Lebih teruk lagi apabila ahli keluarga pihak terlibat, terkesan akibat komen yang tidak berasas dikeluarkan netizen di media sosial. Oleh itu, jangan terkejut jika ada antara netizen ini berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Muhammad Akram berkata sekiranya komen yang dilontarkan menjurus kepada pihak yang telah meninggal dunia, maka waris atau ahli keluarga si mati boleh mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang yang lain.
“Tindakan undang-undang itu seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Peruntukan undang-undang sebegini lebih sesuai berbanding kausa tindakan fitnah,” kata peguam itu.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli pula menegaskan bahawa netizen sepatutnya lebih peka terhadap sensitiviti, simpati, dan empati ketika memberi komen di media sosial.
“Ramai mengejar populariti dan viral walaupun perkara yang ditulis atau dikongsikan tidak sahih. Zaman kini zaman mereka yang menagih perhatian untuk mendapatkan ‘likes’ serta sokongan, yang pastinya akan membuatkan individu tersebut lebih popular. Lebih-lebih lagi jika hantaran itu dikongsi oleh ramai individu lain,” katanya.
Beliau berkata hak untuk bersuara seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu hak mutlak dan ada batasannya.
“Sebagai contoh, menjadi satu kesalahan jenayah jika seseorang itu membangkitkan itu 3R (raja, bangsa, agama) di bawah Akta Hasutan dan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya.
Selain itu, Adi Zulkarnain berkata individu yang terkesan dengan komen di media sosial juga boleh membuat laporan polis dan individu yang memberikan komen tersebut boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta 588.
Beliau berkata individu yang memberi komen negatif berbaur fitnah boleh dikenakan saman di Mahkamah Sivil atau didakwa di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
“Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam memberi pandangan atau komen,” katanya.
Sementara itu, pakar psikologi dan juga pensyarah kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata komen keterlaluan bukan hanya melukai perasaan keluarga dan individu, tetapi juga memberi impak besar kepada emosi dan kesejahteraan mental, terutama remaja dan kanak-kanak di bawah 17 tahun.
“Rasa hiba, sedih, risau, bimbang, takut akan sentiasa bermain dalam pemikiran dan akan menjejaskan perasaan mereka yang terlibat. Apabila terlampau banyak perkara negatif didedahkan kepada mereka ia memberi kesan negatif kepada cara mereka menilai dunia sebenar,” katanya.
Secara psikologi, Shazli Ezzat yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA). menjelaskan bahawa pertumbuhan remaja yang sedang mencari identiti diri, sangat dipengaruhi oleh maklumat persekitaran dan komen negatif boleh memberi impak besar terhadap perkembangan emosi, pemikiran dan fizikal mereka.
“Golongan ini yang jika membaca komen-komen negatif sudah tentu akan memberi kesan secara signifikan kepada mereka. Mereka akan menjadi keliru. Mereka juga akan hilang nilai-nilai empati dan simpati sebagaimana yang sering dipupuk oleh keluarga dan masyarakat.
“Impak yang paling merisaukan, jika mereka terpengaruh dengan komen netizen ini akan menyebabkan mereka mengalami gangguan terhadap pemikiran, emosi dan tingkah laku. Ini menjejaskan keupayaan mereka untuk berinteraksi dengan sosial secara positif,” katanya. – Bernama