
MIRI: Impian Awangku Hosin Awangku Bagul akhirnya menjadi kenyataan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada Kejohanan Bina Badan Mr Sarawak ke-59 yang berlangsung di sini, semalam.
Pengurus restoran berasal dari Lawas itu, yang mewakili pasukan Miri, terlebih dahulu menjuarai kategori bina badan ‘Welterweight’ (75kg).
“Setiap tahun, matlamat saya hanya satu iaitu menjadi nombor satu. Walaupun tidak berjaya, saya tidak pernah menganggapnya sebagai kegagalan kerana gagal bermakna kita masih berusaha.
“Hari ini saya bersyukur tetapi fokus saya tetap pada matlamat itu,” kata Hosin, 35, ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan petang semalam.
Beliau mula menceburi sukan bina badan pada 2016 dan menyertai pertandingan pertamanya setahun kemudian, sebelum dibimbing jurulatih Hamizan Zaudin sehingga layak ke kejohanan Mr Malaysia.
Naib juara dan tempat ketiga kategori bina badan ‘Welterweight’ (75kg) masing-masing dimenangi atlet Kuching, Muhamad Faredhzuan Termizi Saufi dan Abdul Wahab Jimi.
Secara keseluruhan, sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada edisi kali ini dengan juara-juara akan mewakili Sarawak ke Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia ke-54 yang dijadual berlangsung di Kuantan, Pahang pada 25 hingga 29 September ini.
Terdahulu, majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang.
Oleh Liong Chai Ling