Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Awangku Hafizi ucap tahniah Takraw Zon Barat, PESTASA tekad lahirkan lebih ramai pelapis
  • Tengah
  • WILAYAH

Awangku Hafizi ucap tahniah Takraw Zon Barat, PESTASA tekad lahirkan lebih ramai pelapis

Utusan Sarawak 4 hours ago
AWANGKU Hafizi semasa meraikan atlit sepak takraw Zon Barat di Medan Selera Awada, semalam. Foto: Adi Safarman

SIMANGGANG: Kejayaan gemilang pasukan sepak takraw Zon Barat muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 bukan sekadar kemenangan di gelanggang, malah menjadi manifestasi keberkesanan perancangan pembangunan bakat yang dilaksanakan secara tersusun sejak beberapa tahun lalu.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA), Awangku Hafizi Awang Azahari menyifatkan pencapaian tiga pingat emas dan tiga perak yang diraih sebagai detik membanggakan buat seluruh warga sukan takraw di Bahagian Sri Aman.

Zon Barat mengungguli kejohanan tersebut selepas memungut emas dalam acara Beregu Wanita dan Kuadran Wanita, selain satu lagi emas menerusi Beregu Lelaki yang disumbangkan oleh pasukan Zon Barat A. Pasukan itu turut meraih tiga perak masing-masing dalam acara Beregu Wanita, Regu Wanita dan Kuadran Lelaki.

 AWANGKU Hafizi merakamkan bersama empat pemain Zon Barat yang berjaya tersenarai dalam pemilihan akhir SUKMA Selangor. Foto: Adi Safarman

“Saya sebagai Presiden PESTASA amat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh atlet takraw Zon Barat sepanjang kejohanan berlangsung. Lebih manis, kita ditabalkan sebagai juara keseluruhan. Syabas dan tahniah kepada semua atlet,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan atlet takraw di Medan Selera Awada, semalam.

Menurut beliau, kejayaan tersebut membuktikan bahawa usaha pembangunan pemain muda yang dirancang sejak awal kini membuahkan hasil yang membanggakan, malah, tahap permainan yang dipamerkan menunjukkan Zon Barat kini setanding dan mampu menyaingi zon-zon lain di Sarawak.

“Saya perhatikan ‘level’ permainan kita sudah sama dengan zon lain. Ini perkembangan positif dan menjadi petanda bahawa hala tuju pembangunan kita berada di landasan tepat,” ujarnya.

AWANGKU Hafizi berucap pada majlis meraikan atlit sepak takraw Zon Barat. Foto: Adi Safarman

Dalam pada itu, Awangku Hafizi menegaskan bahawa kejayaan dalam sukan tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata, sebaliknya memerlukan disiplin tinggi, komitmen berterusan serta pengurusan diri yang baik.

Beliau turut mengingatkan atlet muda agar tidak mengabaikan pelajaran demi mengejar kejayaan di gelanggang takraw.

“Jangan lupa tentang pelajaran. Satu hari nanti kita boleh berjaya bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi juga dalam akademik, kejayaan sebenar ialah apabila kita seimbang dalam kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, beliau turut berpesan agar setiap kejayaan diraikan dengan rasa syukur dan tidak melupakan jasa jurulatih serta ibu bapa yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan atlet.

Lebih membanggakan, empat pemain lelaki Zon Barat terpilih dalam senarai panjang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor iaitu Bernardson Padat dan Azaniq Asriq (apit kiri), serta Sarip Banyang dan Dominic Hanyang (apit kanan).

Tiga daripada mereka merupakan anak kelahiran Bahagian Sri Aman, sekali gus membuktikan potensi besar bakat tempatan.

Mengulas perancangan masa depan, Awangku Hafizi menegaskan bahawa usaha PESTASA tidak akan terhenti di SUKSAR semata-mata.

Sebaliknya, pelbagai program pembangunan akan terus diperkasa, khususnya di peringkat sekolah bagi mengenal pasti dan menggilap bakat baharu.

“Selepas Aidilfitri nanti, kita akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Sepak Takraw Sarawak kerana satu kejohanan besar dijangka berlangsung di Sri Aman. Ini peluang terbaik untuk kita terus melonjakkan nama Bahagian Sri Aman sebagai kuasa baharu sepak takraw negeri,” katanya lagi.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: IPD Bau perkukuh hubungan komuniti melalui sesi ramah mesra
Next: Kanser bukan sekadar isu perubatan, jejas kesejahteraan keluarga dan komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.