
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dengan nada tegas menyelar laporan sebuah portal berita yang mendakwa wujudnya perebutan kuasa dalam kepimpinan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai ‘berita sampah’ yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.
“Saya sendiri dikaitkan kononnya terlibat dalam ‘power struggle’, sedangkan saya sendiri tidak tahu-menahu tentang perkara itu. Yang punya badan pun tak tahu, ini memang tidak masuk akal!” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PBB Cawangan Bukit Sari, malam tadi.
Menurut Awang Tengah, laporan yang diterbitkan oleh portal FMT itu tidak menyatakan sumber yang jelas, malah tidak menepati etika kewartawanan profesional.
“Dari sudut kredibiliti ianya kosong. Sumber tidak ada, penjelasan pun tidak. Saya langsung tidak pernah terlintas untuk bermain tipu helah dalam politik, apatah lagi terhadap parti yang saya setia sejak sekian lama,” katanya.
Mengulas lanjut, Awang Tengah menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyimpang dari prinsip kesetiaan kepada kepimpinan dan perpaduan parti, hasil didikan tokoh-tokoh besar Sarawak termasuk Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
“Saya diajar oleh Tun Taib tentang kesetiaan dan perpaduan. Adenan juga menekankan prinsip yang sama. Abang Jo adalah mentor saya sekarang, dan saya tetap setia,” ujarnya.
Tambah beliau, kekuatan PBB terletak pada semangat kerjasama dan keutamaan kepada kepentingan rakyat Sarawak, bukan permainan kuasa yang memecah-belahkan.
“Saya tidak pernah berpuak-puak. Itu bukan budaya kita. Kita diajar untuk bekerja sebagai satu pasukan. PBB bukan parti main belakang, kita adalah parti berprinsip.”
Awang Tengah juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan taktik pihak luar yang cemburu akan kejayaan dan kekuatan GPS serta PBB dalam mentadbir Sarawak.
“Ini semua mungkin datang dari rasa iri hati terhadap kejayaan parti kita. Tapi rakyat harus bijak menilai. Jangan termakan hasutan yang hanya mahu menggugat kestabilan negeri,” jelasnya.
Oleh Adeng Edrus