TIADA siapa sangka bahawa buah avokado yang sinonim dengan negara Amerika Latin dan Caribbean, tumbuh subur dan berbuah lebat di Kampung Rajang, Tanjung Manis.
Lebih mengujakan apabila pokok avokado atau nama sainstifiknya ‘Persea Americana’ tersebut berbuah bersaiz besar berbanding buah avokado biasa.
Menariknya ada antara buah avokado bersaiz besar ini mampu mencecah lebih 1 kilogram.
Buah avokado dikatakan mempunyai pelbagai khasiat dan mampu mencegah pelbagai penyakit daripada masalah penyakit jantung, masalah obesiti, membantu dalam penghadaman, sehinggalah masalah penglihatan.
Buah avokado berbentuk bujur dan kulit buah berwarna hijau, manakala isinya berwarna kuning cair dan mempunyai biji yang agak besar di tengah.
Pemilik pokok avokado tersebut, Halimah Tahir juga tidak menyangka pokok avokado yang ditanamnya berhampiran rumahnya menghasilkan buah bersaiz besar dan lebat.
Menurutnya, benih asal avokado ini adalah diperolehi dari rakannya yang berasal dari Indonesia.
“Dia memberi saya buah itu sebanyak tiga biji. Lepas saya makan buah itu, rasanya sedap juga.
“Kemudian saya tanam benih buah avokado ini dan ia berbuah dalam masa lima tahun,” katanya.
Buah avokado yang ditanam oleh suri rumah ini kemudiannya mendapat permintaan tinggi dari penduduk sekitar.
Katanya, buah avokado yang ditanamnya itu bukan sahaja untuk dimakan sendiri tetapi juga dijual sekaligus menjadi salah satu punca rezeki keluarganya.
Ia turut menarik perhatian Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh semasa lawatannya ke Kampung Rajang.
Datu Len seterusnya memuatnaik gambar buah avokado Kampung Rajang ini di laman Facebook beliau hingga menjadi tular dikalangan netizen.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang yakin tananam avokado di Kampung Rajang berpotensi dikembangkan dan memberi pulangan lumayan kepada penduduk setempat jika diusahakan bersungguh-sungguh.
Setelah tular di media sosial, pebagai pihak termasuk media-media tempatan berkunjung ke Kampung Rajang untuk melihat sendiri buah avokado bersaiz besar ini.
Ketika ditemubual oleh Utusan Sarawak di Ombak Cafe, Hotel Samudra, Kuching pada 16 Oktober lalu, Datu Len berkata, spesies avokado yang ditanam di Kampung Rajang itu tidak sama seperti spesies avokado yang biasa ditanam di negara-negara luar seperti Australia.
“Banyak lagi penyelidikan yang boleh dibuat berkenaan buah avokado bersaiz besar ini.
“Penanaman buah avokado adalah dalam jangka panjang, sekurang-kurangnya dalam masa lima ke enam tahun untuk berbuah.
“Jadi kita tidak lihat ia dalam suatu jangka pendek. Bermakna hanya orang yang benar-benar ingin berkecimpung dalam penanaman avokado ini adalah bukan sahaja untuk dirinya sendiri tapi untuk genarasi akan datang,” ujarnya.
Jelasnya, penanaman buah avokado tidak seperti tanaman lain yang berbuah dalam jangka masa pendek.
“Penyelidikan terhadap avokado jenis bersaiz besar ini perlu dibuat dengan lebih teliti, sama seperti kita menjalankan penyelidikan terhadap kelapa sawit.
“Melalui penyelidikan ini, mungkin kita boleh memendekkan jangka masa penanaman avokado kepada tiga ke empat tahun dengan benih avokado yang berkualiti hasil dari penyelidikan,” katanya lagi.
Berkenaan dengan rasa buah avokado Kampung Rajang ini, Datu Len berkata, rasanya lebih sedap dan tidak berlemak berbanding buah avokado biasa.
Oleh Earl Anek