
SANTA CLARA, Amerika Syarikat: Austria dikejutkan oleh pendatang baharu Piala Dunia, Jordan, sebentar tadi sebelum mencatat kemenangan 3-1 yang disempurnakan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan oleh penyerang veteran, Marko Arnautovic.
Austria mendahului di Stadium Levi’s berhampiran San Francisco apabila Romano Schmid menghasilkan gol pembukaan yang menarik menerusi rembatan deras dari jarak jauh.

Jordan tidak pernah berputus asa untuk memburu gol penyamaan. Tandukan leret Ali Olwan hampir menyamakan kedudukan sebelum beliau mencipta sejarah dengan menjaringkan gol pertama Jordan di pentas Piala Dunia.
Olwan memotong ke dalam sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol Austria, Alexander Schlager, dengan bola mengenai tiang sebelum menerjah gawang.

Namun, Austria kembali mendahului pada minit ke-76 hasil gol sendiri Yazan Alarab sebelum Arnautovic, bekas penyerang West Ham United yang kini berusia 37 tahun, menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan pasukannya. – AFP