SYDNEY: Australia akan mula memberikan suntikan penggalak vaksin Covid-19 Pfizer bermula semalam.
Ini sedang berjuta-juta penduduk di bandar terbesarnya, Sydney, mula menikmati lebih banyak kebebasan di tengah-tengah usaha imunisasi Covid-19 yang makin rancak.
Kadar vaksinasi Australia terus meningkat pantas sejak Julai, setelah secara meluas terlepas sasaran awalnya, apabila wilayah tenggaranya dilanda gelombang ketiga jangkitan yang dicetuskan oleh varian Delta yang sangat mudah berjangkit sekali gus memaksa perintah berkurung dilaksanakan berbulan-bulan lamanya.
Sydney dan Melbourne, bandar terbesarnya dan paling teruk dilanda gelombang Delta, mempercepatkan usaha vaksinasi sebelum melonggarkan sekatan secara bertahap-tahap. Kehidupan akan kembali seperti biasa pada Isnin di New South Wales, di mana terletaknya bandar Sydney, sedang wilayah itu hampir mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dua dos dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun dan ke atas.
Tiada had ditetapkan bagi bilangan tetamu yang lengkap divaksin sepenuhnya di rumah, manakala restoran dan tempat hiburan boleh membenarkan lebih ramai pengunjung. Stadium boleh beroperasi pada kapasiti penuh sedang para penganjur berusaha menarik lebih ramai peminat bagi perlawanan bola sepak pusingan kelayakan bagi Piala Dunia antara Australia dengan Arab Saudi pada Khamis ini.
Di tengah-tengah kelonggaran sekatan ekoran kenaikan kadar vaksinasi, Menteri Kesihatan Persekutuan Greg Hunt berkata lebih 173,000 suntikan penggalak sudah diberikan di pusat jagaan warga emas dan untuk beberapa pekerja kesihatan sebelum pelancaran rasmi Isnin ini.
Dos penggalak akan diberikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang mengambil suntikan kedua lebih enam bulan lalu. Kadar pengambilan dua dos vaksin di Australia menjangkaui 80 peratus pada hujung minggu.
Dengan sekitar 181,600 kes dan 1,827 kematian, perangkaan koronavirus Australia adalah antara yang terendah di dunia maju.
Kebanyakan kes baru dikesan di Victoria, yang mencatatkan 1,126 kes baru pada Isnin. Wilayah jiran New South Wales melaporkan 187 jangkitan. Negeri dan wilayah lain bebas Covid-19 atau mempunyai jumlah kecil kes.-AFP