
KUALA LUMPUR: Gerangan bintang muda Indonesia, Aurelia Syaharani mungkin tidak begitu dikenali dalam landskap muzik tempatan berbanding dengan kakaknya, Tiara Andini yang kian rancak melakar populariti di negara ini sebaik dinobatkan sebagai naib juara musim ke-10 Indonesian Idol 2019-2020.
Tidak kecewa dengan penerimaan itu biarpun gadis ini telah aktif dengan dunia nyanyian sejak kecil lagi selain pernah melancarkan single sulungnya berjudul You Are The Reason pada 2022, Aurelia nekad mengukir nama dan membuktikan bakat seni keluarganya turut bersemadi dalam dirinya.
Lahir dalam keluarga seni, bapanya, Nugroho Ediyono Deddy seorang penyusun lagu manakala ibunya, Sari Yoshida Setyoastri, penyanyi, aura Aurelia, 18, perlahan-lahan semakin mencuri perhatian apabila dua single indie dan beberapa video cover lagunya popular di media sosial.
Terbaharu, penyanyi kelahiran Jember, Jawa Timur ini yang mencipta identiti menerusi genre pop indie bersulamkan moden dan emosional, menaruh harapan baharu menerusi single pertamanya, Mungkin Hanya Kamu untuk merangkul minat pencinta muzik melangkaui sempadan negaranya, termasuk Malaysia.
Single itu yang terhasil sebaik menyertai Universal Music Indonesia dan dilancarkan pada Mei lepas, diyakini bakal membuka lembaran baharu serta memberikan impak lebih positif terhadap perjalanan karier seninya berbanding sebelum ini, bergerak sendiri menerusi platform media sosial.
“Lagu ini mengisahkan kisah cinta remaja yang putus di tengah jalan yang mana salah seorang sudah melangkah ke hadapan bersama orang baru manakala seorang lagi, masih terperangkap dalam kenangan kerana percaya hanya orang itu sahaja yang benar-benar memahaminya.
“Ia adalah cerita tentang patah hati, kerinduan dan kepedihan untuk melepaskan. Saya sangat gembira dapat menulis lagu ini bersama Kak Clara (Clara Riva) dan Kak Tintin (Martinus Layardo),” katanya dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan oleh Universal Music Indonesia.
Menyifatkan karya itu sebagai sangat dekat dengan jiwa remaja seusianya yang sedang bergelut dengan konflik percintaan, Aurelia berkata kolaborasi bersama ABRAM dan Tintin selaku produser telah berjaya menghasilkan susunan muzik yang lebih segar.
Meskipun liriknya membawa tema kesedihan, namun penyampaiannya dalam tempo medium upbeat berjaya menjadikan lagu tersebut tetap enak didengar dan menyentuh perasaan sesiapa sahaja.
“Saya sangat sukakan hasil akhirnya. Arrangementnya sangat bagus dan betul-betul sesuai dengan karakter vokal saya,” katanya sambil menambah turut melakonkan watak dalam muzik videonya yang diarahkan oleh Benny Lim. – Bernama