FAIZAL BUJANG
SADONG Jaya mampu menjadi daerah tumpuan dalam melahir jaguh pemain futsal berbakat pada masa akan datang.
Ia mengambil kira kredit dimiliki daerah yang terkenal dengan hasil lautnya menerusi gelanggang futsal yang dikenali sebagai ‘Arena Ogie’.
Demikian dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo.
Menurut Ir Aidel, adanya gelanggang futsal berkenaan bukan sahaja dapat menjadi medan buat generasi muda yang meminati sukan futsal mengetengah bakat mereka.
Bahkan tegas beliau, pada masa sama mampu menyumbang kepada pembangunan sukan futsal terutama dikawasan Sadong Jaya.
Sejajar dengan perubahan dunia sukan masa kini yang menuntut masyarakat sentiasa aktif dengan aktiviti sukan perlu pendekatan diperingkat akar umbi.
“Saya percaya tersedianya gelanggang futsal ini, kita akan dapat melihat ada anak jati kelahiran daerah ini (Sadong Jaya) yang bukan sahaja akan mewakili skuad negeri bahkan bermain untuk skuad kebangsaan,” jelas beliau.
Tegas Ir Aidel, inilah bukti kerajaan yang sentiasa mengutamakan kehendak rakyat dengan menyediakan kemudahan seperti ini.
Tambah Ir Aidel lagi, diharap tersedianya kemudahan seperti ini bukan sahaja dapat memberi kesinambungan kepada masyarakat terutamanya generasi muda khususnya di kawasan Sadong Jaya dalam mengetengah bakat serta kebolehan mereka bermain futsal.
Sejajar dengan majlis perasmiannya yang turut berlangsung Kejohanan Futsal Bawah 12 Tahun Sadong Jaya 2019.
Lapan pasukan berentap memburu kejuaraan. Pasukan terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam, SK Iboi Pelandok, SK Jaie, SK Jemukan, SK Haji Kelali Semera, DUN N.25 Simunjan, Lariwoo U12 serta Persatuan Futsal Australia (AFA).
Tamat saingan menyaksikan kehebatan pasukan Lariwoo U12 muncul juara. Skuad pilihan itu mencatat kemenangan besar (7-1) keatas SK Iboi Pelandok selaku naib juara pada aksi final.
Sambil dua pasukan iaitu AFA dan SK Pendam yang tewas diperingkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama.
Sementara itu, penjaga gol pasukan AFA – Alexander Benson dipilih sebagai penerima anugerah penjaga gol terbaik.
Manakala, Iqmal Rafi Iskandar dan Hazik Fahmizan Abdul Kadir dari pasukan Lariwoo U12 masing-masing dipilih sebagai penerima anugerah pemain terbaik dan penjaring terbanyak.