Oleh Abg Zainoren Jess
HARI itu aku melangkah terus pada garisan sempit di laluan sibuk dengan kenderaan bergetaran di aspal, di garisan zebra, di garisan api kuning, hijau dan merah. Sedang kepala-kepala kebingungan cuba menerjah laluan seberang, sedang ku perhatikan di sekitarku, kereta, motor menghalang langkah longlai si tua, yang tersimpuh di tepi laluan sempit itu sambil tangan diangkat melambai minta bantuan dan minta laluan untuk ke seberang jalan…….. gagal, beberapa kali cuba bangkit, masih juga gagal.
Di kejauhan tampak padaku, wajah berkedut si pria yang bimbang cuba berlari keanak-anakan menghampiri si tua yang tersimpuh di tepi laluan sibuk itu. Tangan dibuka dan diangkat cuba menghentikan gerakan laluan kenderaan, tanpa memikirkan keselamatan diri. Begitu beraninya anak muda ini cuba melerai kesibukan laluan kenderaan hanya dengan teriakan meminta belas ihsan kenderaan yang lalu.
“Tolong bagi laluan….! tolong bagi laluan!!……” teriaknya ke arah kenderaan yang lalu lalang, sambil mengangkat Pak Tua yang tersimpuh di tepi jalan tadi. Membantunya untuk berdiri.
Dalam keriuhan dan kerisauan yang mencengkam, cuaca tiba-tiba berubah gelap. Wajah awan yang tadinya begitu ceria kini berubah seolah-olah menangisi si tua dengan bunyi guruh mengiringi. Aku terkedu seketika melihat suasana ini, suasana yang penuh dengan emosi, penuh kebencian, geram dan marah. Rintih-rintik hujan terus membasahi aspal, sedang si tua menggigil kedinginan dicurahi air hujan siang itu. Aku hanya mampu melihat dari kejauhan, kerana aku bukan siapa-siapa, dan aku hanya mampu berdoa.
“Ya Allah, selamatkanlah Pak Tua ini dari kesibukan jalan ini,” doaku di dalam hati sambil ku tadah dua tangan kerdil ini untuk mendoakan juga untuk semua yang berada di sekelilingku yang sedang berdepan dengan cuaca yang amat membimbangkan.
Tika kemelut jiwaku melayang memerhati sekitar yang tampak kian kejam tanpa belas, aku melangkah pergi dalam kebasahan hujan yang kian lebat membasahi bumi. Aku berlari anak menyeberangi jalan aspal itu sedang dari kejauhan ku lihat pak tua tadinya longlai di tengah lautan kenderaan yang melintas lalu, dengan memaksa diri tampak cergas berjalan dalam hujan lebat yang kian mengganas dengan tiupan angin kencang sehingga membuat pokok-pokok di tepi jalan itu turut bergoyang dan menari mengikut irama bayu yang kian menderas. Syukur anak muda itu dapat menemani dan membawanya melangkah ke seberang jalan. Langkah seribuku di bawah curahan hujan yang kian deras, memaksa aku untuk berhati-hati di laluan kenderaan yang lalu lalang dan banyak pada waktu itu. Suasana terus membingungkan setelah terlihat mereka yang berpayung , terpaksa berpusing-pusing kerana tiupan angin kencang, yang menyebabkan payung mereka sukar untuk dibuka dan untuk melindungi mereka dari kehujanan itu. Bunyi hon kenderaan turut mengiringi suasana hiruk pikuk di sepanjang jalan itu, walaupun laluan itu hanya selebar dua lorong. Untung juga apabila bangunan di pusat bandar ini hanya berdekatan dan memudahkan orang ramai untuk berteduh dari hujan.
Pak Tua yang dari tadi kulihat kedinginan dan tampak sekali bibirnya terketar-ketar akhirnya berjaya juga menyeberangi jalan yang sibuk dengan kenderaan itu dibimbing oleh anak muda yang baik hati itu. Kasihan, Pak Tua itu yang berusia dalam lingkungan 70an itu, melihat kiri kanan sambil mencari tempat berteduh di celah-celah bangunan mencakar langit itu, sambil tangannya tidak terlepas dari memegang beg plastik besar yang mungkin mengandungi pakaiannya. Pak Tua ini, aku lihat seperti seorang gelandangan di pusat bandar ini, melihat kepada keadaannya dengan berpakaian lusuh dan janggut serta rambut yang tidak terurus. Persoalan yang timbul dalam benak fikiran ku, apakah orang tua ini tidak berkeluarga sehingga hidup merayap di bandar seperti ini. Dugaanku amat tepat bahawa orang tua ini memang seorang gelandangan yang menurutnya, telah tinggal di kota itu sejak setahun lalu.
“Pak Cik asal dari mana?” tanya ku setelah ku hampiri orang tua itu.
“Pak Cik berasal dari Miri nak,”
“Kenapa Pak Cik berada di sini, apa kerja pak cik?” tanyaku lagi ingin mengetahui lebih lanjut ceritanya.
“Pak Cik mencari anak pak cik yang dikatakan orang berada dan bekerja di sini. Di Miri pak cik hidup sendirian setelah kematian isteri dua tahun lalu,” cerita orang tua itu lagi.
“Apa nama pak cik?” tanyaku lagi sambil membelek-belek beg plastik yang dibawa nya.
“Manaf…” jelasnya pendek.
“Umur pak cik berapa?”
“75 tahun…”
“Pak cik dah makan?” tanyaku lagi kerana niatku untuk membawanya pergi ke kedai makan yang terletak di tepi bangunan mencakar langit.
“Belum nak, sejak semalam belum makan lagi,” jelas Pak Manaf lagi.
“Jom ikut saya pak cik, kita makan di kedai tu,” ajakanku pada mulanya diragui oleh Pak Manaf, maklumlah bersama orang yang tidak dikenali. Dia bimbang juga.
“Marilah pak cik, saya juga dah lapar ni,” ajakku lagi sambil mengangkat pak Manaf dari kedudukannya.
Pak Manaf yang melangkah perlahan dan terketar-ketar kerana kedinginan ini, akhirnya setuju bersamaku untuk makan di kedai makan sebelah bangunan mencakar langit itu. Di kedai itu, kami sama-sama memesan nasi campur dan pastinya kopi panas sesuai dengan kedinginan cuaca waktu itu. Sambil menikmati makanan itu, kami berbual panjang. Pak Cik Manaf ternyata nampak kelaparan. Dari semalam hanya minum air kotak sahaja tanpa menjamah sedikitpun nasi, mungkin kerana ketiadaan duit untuk membeli makanannya.
“Kasihan pak cik ni,” terkedu rasa hatiku setelah melihat Pak Cik Manaf nampak gelojoh menikmati makanannya, memang ternyata dia kelaparan.
Dengan baju T nya yang lusuh dan berseluar panjang yang koyak di sana sini, membuat aku terfikir, bagaimana keadaanku nanti setelah tua, tanpa anak-anak yang menjaga. Mungkinkah aku akan turut menjadi gelandangan seperti Pak Manaf ini. Alam yang penuh dengan pancaroba ini, ternyata merupakan ruang ujian untuk setiap insan yang bernyawa dalam berdepan dengan kehidupan yang sementara ini. Menginsafi akan keadaan ini, aku merasakan sebagai seorang insan, aku juga bertanggungjawab dalam membantu sesama insan walaupun bukan darah dagingku sendiri. Aku sadar bahawa Allah telah mengirimkan Pak Manaf kepadaku semata-mata untuk menguji diriku apakah aku bersedia untuk menggalas tanggungjawab ku terhadap sesama insan seperti Pak Manaf ini.
Di luar angin masih bertiup kencang, pokok-pokok hiasan turut terus menari mengikut alunan dan irama bayu yang bertiup tanpa henti. Rintik-rintik hujan tebal masih terus turun membasahi bumi tanpa henti membuat air terus bertakung di atas jalanan yang menyebabkan jalan dalam keadaan licin. Bagi kereta yang tayarnya tidak berbunga pasti pemandunya akan terus berhati-hati di atas jalan tersebut kerana bimbang akan tergelincir di jalan itu, yang boleh mengakibatkan kecelakaan di jalan.
Kedai makan kecil dicelah-celah bangunan mencakar langit ini terus menjadi tumpuan orang ramai. Ada yang datang untuk makan tengah hari, ada yang datang untuk minum-minum sahaja semata-mata untuk mengelakkan diri dari kehujanan di luar. Walau apapun keadaan ketika ini aku bertekad untuk terus membantu Pak Manaf sambil kulihat mata tua itu terus bergenangan dan kebasahan mungkinkah setelah ditimpa hujan lebat di luar tadi.
“Anak Pak Manaf kerja di mana?” tanyaku sambil menyuap nasi ke mulutku.
“Entahlah Pak Cik pun tak tahu, cuma yang pak cik tahu dia bekerja di sini sejak 5 tahun lalu, kalau tak silap pak cik,” cerita orang tua itu lagi., sambil terus melahap makanannya kemudian sekali-sekala mencapai gelas kopinya untuk minum seteguk dua.
Terlihat padaku Pak Manaf masih terus fokus kepada makanannya membuat aku rasa bersalah pula kerana mengganggunya sedang makan.
“Ah biarkan dulu orang tua ini makan….” kata hatiku sambil aku sendiri meneruskan makanku kerana dah terlalu lapar sejak tadi.
Melihat keadaan Pak Manaf ini, aku tidak berani untuk terus mengganggunya, ku biarkan sahaja Pak Manaf meratah makanannya, biarlah dia terus dapat mengisi perutnya yang sedang kelaparan sejak semalam itu, dengan tenang tanpa gangguan.
“Nak tambah nasi lagi Pak Manaf?” tanyaku setelah ku lihat pinggan Pak Manaf hampir kosong.
“Alhamdullillah cukuplah, terima kasih nak,” balas Pak Manaf sambil menghabiskan sisa-sia makanan dalam pinggannya.
Aku juga dah menghabiskan sisa makananku serentak dengan Pak Manaf. Bersendawa dan terbatuk sikit terkeluar dari mulut Pak Manaf. Terasa lega aku melihat Pak Manaf kini nampak bertenaga sikit dibanding sebelum ini.
“Pak Cik minta diri dulu nak. Terima kasih banyak-banyak,” pak Manaf cuba bangkit dari tempat duduknya untuk beredar meninggalkan aku disitu.
“Eh, tunggu dulu Pak Cik. Pak Cik nak ke mana ni?” Aku cuba menghalang Pak Manaf pergi sambil bertanya.
Pak Manaf terdiam seketika sambil memandangku dengan penuh rasa serba salah.
“Pak Cik nak ke sebelah sana nak. Mencari tempat tidur,” jelasnya sambil menuding jarinya ke arah bangunan mencakar langit di seberang jalan itu.
Hujan lebat masih juga turun membasahi bumi sekitar kawasan itu yang menyebabkan ramai orang tersadai ditepi-tepi bangunan tinggi itu sambil menunggu hujan teduh. Tiupan angin kencang semakin membimbangkan orang ramai sekitar kawasan itu yang masing-masing cuba mengelak diri dari kehujanan yang berterusan itu sejak lebih satu jam yang lalu. Aku antara orang ramai yang berada di situ bersama Pak Manaf.
“Pak Cik nanti ikut saya pulang ke rumah,” ajakku sambil memegang tangannya yang masih terketar-ketar kedinginan kerana kebasahan tadi.
“Tak payahlah Nak, nanti menyusahkan orang di rumah sahaja,” katanya dengan penuh santun.
“Tiada siapa di rumah ketika ini Pak Cik, kecuali ibu saya yang dah lanjut usia dan adik perempuan saya sahaja,” kataku menjelaskan keadaan di rumah ku ketika ini.
“Anak belum ada keluarga sendiri?” tanya Pak Hanafi kepada ku sambil aku menggeleng-geleng kepala.
“Belum lagi Pak Cik, saya masih bujang. Adik perempuan saya juga masih belum berkahwin,” kataku selamba.
“Ayahmu….?” aku terdiam sejenak ketika itu sambil ku bayang wajah bengis ayah yang sering menakutkan aku dahulu.
“Ayah dah tiada Pak Cik, lama dah pergi meninggalkan kami,” jelasku lagi dengan sayu. “Ayah pergi kerana kemalangan di jalan raya setelah dilanggar lari. Waktu itu ayah keluar meninggalkan rumah setelah bertengkar dengan ibu. Dia marah dan terus keluar dengan motosikalnya.” Ceritaku meneruskan perbualan kami.
“Pak Cik juga bermasalah dengan anak pak cik sekitar lebih dua puluh tahun lalu sehingga dia melarikan diri meninggalkan rumah setelah kami bertengkar, kerana pak cik cuba menghalangnya pergi ke Kuala Lumpur untuk bekerja,” cerita Pak Manaf lagi sambil menceritakan bagaimana dia memarahi anaknya itu dengan menghambatnya dengan kayu sehingga luka pada tangannya.
“Sehari selepas kejadian itu, pak cik terkejut kerana mendapati anak pak cik tiada di dalam biliknya dan menemui sepucuk surat yang ditinggalkan oleh anak pak cik yang memberitahu bahawa dia terus bertekad untuk pergi ke kuala lumpur bekerja dan akan pergi bersama kawan-kawannya yang turut sama menghadiri temu duga beberapa hari sebelum itu.”
Menurut Pak Manaf, dia menghalang anaknya pergi kerana bimbang akan kesihatan ibunya kian hari kian memburuk.
“Takut tiada orang yang akan membantu menjaga isteri pak cik nanti kalau keadaannya terus membimbangkan pak cik nanti,” jelas Pak Manaf lagi.
Kerana itu Pak Manaf melarang keras anaknya pergi meninggalkan kampung. Menurut Pak Manaf rezeki di kampung ini masih banyak tidak diterokai oleh anak-anak muda.
“Apa yang paling pak cik sedih ketika isteri pak cik meninggal, anak pak cik sukar dihubungi, malah pak cik cuba bertanya dengan kawan-kawannya di kampung juga tidak dapat membantu Pak Cik kerana mereka juga tidak tahu bagaimana untuk mencari anak pak cik itu,” cerita Pak Manaf lagi dengan nada sayu apabila teringat waktu kematian isterinya tanpa dihadiri oleh anaknya.
“Sudahlah Pak Cik, kita balik ke rumah dulu. Pak Cik nanti tidur dirumah ya,” ajakku lagi pada Pak Manaf.
Aku hairan dalam usia 21 tahun ini, aku mudah bersimpati dengan orang tua seperti Pak Manaf ini. Mungkin kerana aku terlalu rapat dengan ibu dan ibu juga sering mengingatkan aku supaya sentiasa bersikap baik dan menghormati orang yang lebih tua dari kita. Jangan mudah pandang rendah kepada orang lain yang kita lihat seperti rendah kedudukannya daripada kita.
“Jaga baik tingkah laku di hadapan orang tua. Sentiasa hormati orang lain dan bila berbicara jangan sekali-kali sakiti hati orang yang mendengarkan bicara mu,” ini antara pesanan ibuku yang sentiasa terngiang-ngiang di kepalaku setiap kali aku melihat orang tua seperti Pak Manaf ini.
Ibuku yang selama ketiadaan ayah sering menjadi tempat aku meluahkan perasaan sedih atau gembira. Sewaktu ayahku masih hidup, aku begitu sukar untuk bercakap dengan ayah kerana sikapnya terlalu bengis terhadap aku dan adikku, malah sering memukul ibu sekiranya permintaannya tidak ditunaikan oleh ibu. Ibu sering menjadi mangsa deraan ayah., termasuk juga aku dan adikku tidak pernah terlepas dari di rotan sekiranya dia tidak berpuas hati dengan aku dan adikku yang sering melawan kehendaknya untuk mempertahankan ibu kami. Ayahku seorang kaki pukul, namun kasih sayangku terhadap ayah tidak pernah berubah, kerana aku sering berfikir, tanpa ayah, tidak mungkin aku berada di dunia ini.
Hujan lebat masih juga turun di sekitar kawasan tempat aku dan Pak Manaf duduk tadi, namun oleh kerana keretaku berada di parkir yang berhampiran, aku cuba membawa Pak Manaf menghampiri keretaku itu untuk terus membawanya pulang. Alhamdullillah, walaupun kebasahan, kami dapat juga memasuki ke dalam kereta ku yang sedang berada di parkir itu.
“Ya Allah mengapa kebasahan macam ni Azman,?” ibuku terus menerpa ke arahku sambil membawa tuala yang memang tersidai berdekatannya.
“Siapa orang tua ini, Azman?” tanya ibuku lagi.
“Ibu tolong bawakan satu lagi kain tuala, serta baju dan kain pelikat untuk pak cik ni. Dia seperti hendak demam ni ibu,? Beritahuku kepada ibu.
“Pergi mandi dahulu Man, nanti ibu sediakan,” kata ibuku sambil beredar ke bilik untuk mendapatkan semua barangan yang aku minta tadi.
“Ton, tolong masakkan air,” suara ibuku mengarah adikku, Zaiton ke dapur untuk memasak air. Ku lihat adikku bergegas ke dapur untuk memasak air.
“Bang, bawa segera pak cik ke bilik mandi tu,” kata adikku ketika melihat aku masih terkial-kial mengangkat Pak Manaf berdiri untuk menuju ke bilik mandi.. Mujur juga di bilik mandi itu dah tersedia mandian air panas yang sememangnya berada di situ sejak rumah ini siap dahulu. Dapat juga Pak Manaf merasai mandian air panas nanti setelah kedinginan terkena hujan tadi.
“Pak Cik mandi dahulu. Air panas ni pak cik,” kataku sambil ku rasai kepanasan air mandian itu yang panasnya sederhana dan sesuai untuk mandi.
Pak Manaf ku tinggalkan seketika dia masih mandi sementara aku sendiri yang masih dalam kedinginan setelah kehujanan tadi pergi mencapai tuala yang tersidai berhampiran bilik mandi itu sambil mengelap tubuhku yang kebasahan sebelum aku pergi mandi selepas Pak Manaf nanti. Petang itu selepas mandi sambil menikmati kopi o panas yang disediakan oleh ibu. Kami duduk bersantai diruang tamu rumah kami. Sambil berbual-bual dan menceritakan kisah hidup masing-masing, maklumlah sedang berbual dengan orang yang baharu dikenali. Ibu yang paling banyak bertanya kepada Pak Manaf akan kisah hidupnya. Cerita bagaimana anaknya pergi meninggalkan kampung untuk bekerja di Kuala Lumpur sehingga waktu kematian ibunya pun anaknya tidak dapat dihubungi dua tahun yang lalu. Sudah hampir 30 tahun anaknya pergi meninggalkan kampung, tanpa berita sehingga hari ini, kerana itu sejak kematian isterinya, Pak Manaf telah bertekad untuk pergi ke Kuala Lumpur mencari anaknya. Satu keadaan bagi kebanyakan orang mustahil untuk dapat bertemu dengan anaknya sehingga menyebabkan Pak Manaf terpaksa menjadi gelandangan setelah lebih setahun berada di Kuala Lumpur, kerana kehabisan duit simpanannya.
Ibuku, orang yang suka bercerita sambil mengingatkan kisah lampaunya sentiasa bercakap baik tentang ayah, walaupun pada hakikatnya dia tidak mendapat layanan begitu baik dari ayah semasa hidupnya. Ibuku seorang yang berhati waja, sentiasa berfikiran baik untuk sesiapa sahaja yang menyakitinya, yang kadang-kadang membuat aku rasa tidak gemar dengan sikap ibu seperti itu. Namun hakikat sebaliknya ibu sedang mengajar aku dan adik agar sentiasa bersikap baik terhadap orang lain walaupun orang itu sering menyakiti diri kita.
Sambil membuka lembaran album lama untuk ditunjukkan kepada Pak Manaf, ibuku memperkenalkan wajah-wajah yang terpapar di foto-foto lama itu.
Tiba-tiba ku lihat, Pak Manaf tergamam seketika melihat wajah yang terpampang dalam foto itu bersama dua anak yang masih kecil dan isterinya.
“Ini ayahmukah, Nak,? tanya Pak Manaf. Aku mengangguk
“Ia, itu ayah, Pak Cik,” aku mengiakan pertanyaan Pak Manaf.
“Abd Rahman bin Hanafi,” aku terkejut dengan pernyataan Pak Manaf.
“Ini anak pak cik yang dicari selama ini, ya Allah,”
“Ya Allah, dia pergi dahulu dari ibunya…..” Pak Manaf menitiskan air matanya.
“Ya Allah Atok…….!!!!” serentak aku dan adikku Zaiton berteriak sambil menerpa ke arah atok yang tidak pernah kami kenali selama ini. Ibu kelihatan lemas sambil menitiskan air mata.