Oleh Benedict Anak Samling
TATKALA angin pasat membawa daun-daun kering berterbangan di atas tanah merah yang lapang itu, Epoi bergelut dengan kepanasan di dalam dada yang tiada taranya. Dadanya seperti dilanda angin medu, bergelora tidak menentu. Epoi mengetapkan gigi atas dan bawahnya sehingga berkeriut. Otot rahangnya berkepal. Urat pada dahinya menegang, seperti akar pokok ketapang yang semakin kering dan menunggu waktu untuk menjadi humus pada permukaan tanah yang lapang, selapang Empangan Bakun di hulu Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia.
Haba matahari pada waktu itu bagaikan berpesta di atas tanah lapang di kaki bukit yang selama ini dilitupi kanopi-kanopi gergasi. Haba matahari yang membahang panasnya itu berlingkar-lingkar bersama suara Ugam dan membakar selaput kesabarannya.
Sudah tidak terhitung kali ke berapa, Epoi yang terkenal dengan foto-foto aksi manusia seperti Ugam di hutan belantara, merasakan kekuatan zahir dan batinnya disentap rakus oleh usahawan kayu-kayan yang amat disegani itu. Mungkin tidak lama lagi dia juga akan menjadi seperti akar pohon ketapang itu.
Mata Epoi yang hampir tertutup rapat tiba-tiba terbuka luas dikejutkan kicauan bertingkah-tingkah dari musafir bersayap di atas sebatang pokok kelampayan yang telah rebah menyembah bumi. Musafir bersayap yang berparuh runcing itu mematuk-matuk batang pohon kelampayan. Semakin dipatuk semakin kuat cicipan dari dalam pokok itu. Patukan musafir bersayap itu pula semakin lama semakin lemah, seolah-olah pasrah menerima takdir yang direka oleh manusia bernama Ugam. Perlahan-lahan kepala musafir bersayap itu menekap pada batang pohon kelampayan yang juga menjadi mangsa kerakusan manusia.
Epoi menggenggam penumbuknya, seakan-akan di dalam genggaman itu ada seseorang bernama Ugam. Mujur tangannya dilingkari sesuatu yang kukuh di belakang badan. Jika tidak, pasti penumbuknya terbang melayang lalu singgah pada muka tembam Ugam. Ugam telah meniup bara di dalam hati Epoi sehingga marak menjadi api lalu memanggang ketulan daging kesabarannya. Jantung Epoi berdenyut kencang. Detak jantung Epoi seakan-akan mengetuk-ngetuk gegendang telinganya. Tidak semena-mena, jutaan bintang yang terang benderang berpusar-pusar di hadapan Epoi lalu menujah matanya. Sungguh hatinya sakit, nyilu dan pedih melihat Ugam memijak, menghenyak dan menghentak kamera beresolusi tinggi kesayangannya itu. Tidak cukupkah kemusnahan yang dia bawa ke dalam rimba ini sehingga gajet murah itu pun dia pijak? Atau gajet murah itu bakal membawa padah kepadanya? Sungguhpun begitu, walau secalit rasa menyesal tidak terpahat pada hulu hatinya.
“Mereputlah kamu di sini!” suara Ugam menerjah gegendang telinga Epoi dan serentak itu sekumpulan musafir bersayap terbang bertempiaran.
Perut lelaki itu melantun-lantun mengiringi dekah tawanya. Rokok cerut yang sebesar ibu jarinya dan sedikit kecil dari lubang hidungnya tersisip rapi pada bucu bibirnya yang hitam legam, mungkin juga sehitam hati Ugam ketika dia membiarkan penghuni rimba kehilangan tempat berteduh.
Dada Epoi sesak seperti dihempap batang pokok kayu belian yang bertan-tan beratnya. Mata Epoi meliar ke arah ribuan pokok belian, spesis pokok kayu keras bernilai tinggi, yang tumbang menyembah bumi. Daun-daun pokok yang tidak bermaya dan layu, selayu tenaga Epoi yang tersisa, mula berpisah meninggalkan dahan-dahan. Beberapa kali dia cuba untuk bangkit melawan kerakusan Ugam, namun usahanya seakan-akan menghitung butir-butir bintang yang semakin sesak di depan matanya. Pada ketika itu, matahari mulai menuju ke puncak, dia cuba membuka mata, namun silau matahari yang amat tajam bagaikan menyucuk lapisan kornea matanya.
‘Huh! Mahu aku mengalah? Cubalah!’ dengus Epoi.
Dengan hati yang panas membara, Epoi melengkukkan pergelangan tangan, memanjangkan jari-jemari, cuba untuk mencapai penghujung tali yang menjerut pergelangan tangannya. Sekali lagi, dia gagal mencapai walau hujung tali sekalipun. Sudah beberapa kali dia gagal untuk duduk, untuk melipatkan kaki dan membawa tangannya dari belakang ke hadapan. Epoi buntu. Jiwanya terseksa. Tetapi, mengalah bukan pilihan.
‘Cis, Kejamnya manusia!’ rintih hati Epoi. Butir-butir peluh mengalir lesu menuruni mukanya. Jika diberi peluang, ingin sekali dia bertukar menjadi seekor harimau bintang lalu menerkam Ugam dan konco-konconya. Biar mereka merasakan azab yang melanda penghuni rimba hasil dari perbuatan mereka.
Matanya dileret ke arah lensa kamera beresolusi tinggi yang pecah berderai, seperti pangkal hatinya yang hancur berderai. Lensa kamera itu umpama senjata tanpa mata yang mampu menembusi tembok-tembok halimunan yang direka oleh para petualang alam demi memenuhi cebisan nafsu mereka. Kamera beresolusi tinggi buatan negara bunga sakura itu dihadiahkan sempena kecemerlangan Epoi dalam industri kewartawanan, kecemerlangannya dalam membongkar aktiviti-aktiviti haram di dalam hutan. Lensa kamera beresolusi tinggi itu amat digeruni oleh para musuh rimba yang rakus membogelkan belantara, meranapkan segala harapan lalu meninggalkan sisa-sisa yang membawa seribu satu permasalahan yang tidak tertanggung oleh penghuni asal rimba.
‘Tidak akan aku biarkan kalian mengikis khazanah alam ini,’ hati Epoi terus berbisik. Terus terang, hutan rimba sudah sebati dengan jiwa Epoi. Terusik walau sejengkal, umpama menjentik seluruh jiwanya. Kesakitan dari lubuk hati adalah sesuatu yang teramat nyilu, bukan kesakitan yang boleh dibiarkan pergi seperti daun-daun kering yang ditiup angin, berterbangan dan pasti tidak kembali. Bukan begitu. Hanya orang rimba faham akan kesakitan itu. Kesakitan yang menyiat-nyiat hatinya ketika melihat populasi penghuni rimba kian terhakis.
Jelas di dalam ingatan Epoi, ketika dia mula menyedari rimba semakin tenat dikerjakan oleh segumpal daging yang diselaputi nafsu serakah yang tiada surutnya, Epoi segera membawa kamera usangnya, menerjah hutan-hutan belantara di Ulu Kapit, Ulu Baleh, Long Lama, Long Moh, Ulu Padawan sehingga ke serata Bumi Kenyalang. Epoi membongkar dan melondehkan aktiviti-aktiviti para kapitalis yang rakus memenuhkan kantong poket dan mengabaikan mata-mata sayu di tengah-tengah rimba. Kegilaan Epoi melucutkan topeng manusia dari muka binatang yang berbaju kemeja, bertali leher serta berkasut kulit hitam segak bergaya itu amat menggusarkan rakan-rakan selensanya. Semua yang dilakukan oleh Epoi itu bukan untuk kemegahan, jauh sekali ganjaran tetapi hanya untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai satu-satunya makhluk ciptaan Tuhan yang dianugerahkan akal.
“Apakah kamu sudah gila?” tanya rakan selensa Epoi suatu ketika dahulu.
“Tidak takut mati?” ketua pengarang juga pernah mengajukan soalan yang tidak pernah terlintas dia dalam benak Epoi.
“Mahu cari populariti?” tanya wartawan tersohor yang kerapkali muncul di kaca televisyen menemuramah tokoh-tokoh terkemuka tanah air dan luar negara. Tempat menemuramah juga bukan biasa-biasa, sesuai dengan kedudukannya sebagai wartawan tersohor tanahair.
Setiap kali soalan-soalan itu merangkak keluar dari mulut rakan-rakannya, setiap kali itu juga Epoi akan menatap wajah mereka satu demi satu lalu menyuarakan isi hatinya. “Andai nyawa aku berakhir dengan sebutir peluru pada dahi sekalipun, biarlah ia berakhir ketika aku mengabadikan kegiatan para bangsat durjana itu di dalam kamera ini.”
Lamunan Epoi segera hilang diragut hilaian tawa Ugam. Dengan muka yang teramat bengis, sebengis muka orang utan yang baru sahaja kehilangan habitatnya, segera, Ugam menarik rambut kerinting Epoi yang sudah lima hari tidak disirami air bersih. Tangan Ugam yang berketul-ketul seperti ketulan batu kerangan di tebing Sungai Ulu Baleh mencekik leher Epoi, lalu diangkat badan Epoi. Dengan hitungan tiga, badan Epoi yang setinggi 120 sentimeter dan seberat 45 kilogram itu dilemparkan hanya dengan satu hembusan nafas. Epoi terpelanting ke perdu pokok kayu belian yang hanya tinggal beberapa sentimeter di atas tanah. Konco-konco Ugam ketawa berdekah-dekah dan bertepuk-tampar menyaksikan adegan itu. Jika di depan Epoi itu adalah sekumpulan binatang, sudah pasti Epoi tidak dilakukan sedemikian.
Pandangan Epoi berbinar-binar. Bintang-bintang bercahaya putih yang bergemerlapan mengerumuni depan matanya. Epoi mengengsotkan badannya dan bersandar pada pangkal pokok kayu belian yang sebesar lima pemeluk orang dewasa. Dengan lilitan sebesar itu, pasti membawa pulangan jutaan ringgit, desis hati Epoi. Epoi mengkedip-kedipkan matanya yang pedih, sepedih hatinya melihat hutan yang dulunya menghijau kini diselubungi debu jingga, hutan yang dulunya dihiasi kicauan merdu musafir bersayap kini dibebani bunyi-bunyian dari logam-logam gergasi yang menolakrata lantai rumah penghuni rimba.
‘Cis! Di mana kemanusiaannya?’ rintih hati Epoi.
Epoi berkali-kali menelan air liurnya, cukup untuk menghilangkan haus buat seketika setelah lima hari terbaring dengan tangan terikat ke belakang. Kesakitan pada tulang belakang hasil dari sepak terajang Ugam, tidak melunturkan semangatnya untuk terus berjuang membebaskan diri demi mempertontonkan kekejaman Ugam dan konco-konconya.
Menyerah kalah? Tiada di dalam kamus hidupnya. Menyesal? Hanya permainan kata-kata yang meniti pada lipatan bibir mereka yang lemah. Epoi sedar, perjuangannya di rimba bukan untuk mengejar populariti, tetapi untuk memecahlingkupkan kebobrokan manusia durjana, manusia seperti Ugam, manusia yang tidak layak hidup sebumbung dengan makhluk yang lain.
“Budak! Aku bagi kau pilihan. Hentikan berita bodoh itu atau kau, aku biar mereput di sini!” jerkah Ugam sambil mendekati muka Epoi. Bau tembakau dari mulut Ugam meloyakan tekak Epoi.
‘Huh! Mati itu pasti,’ tegas suara hati Epoi. Terkenang dia akan sumpah janjinya untuk memikul tugas sebaik mungkin, walau nyawa dipertaruh.
Angin sendalu menderu menyapu lembut muka Epoi, lalu membawa ingatannya ketika mendapat arahan untuk ditugaskan ke Ulu Baleh, Sarawak sebagai jurufoto di sebuah syarikat penerbitan akhbar terkemuka. Tanpa berfikir panjang dan tanpa ada keraguan, dia menerima tugasan itu. Demi menyelamatkan hutan rimba yang dikhabarkan semakin rabak digondoli oleh para musuh alam, musuh yang lubuk hatinya berdaki tebal sehingga tergamak musnahkan khazanah yang menyimpan jutaan khasiat alam, khazanah yang menjadi tempat teduhan ratusan spesis flora dan fauna.
Sebaik tiba di Jeti Sibu, Epoi segera menaiki bot ekspres Syarikat Laju Maju. Dalam perjalanan ke Jeti Kapit, beberapa kali bot ekspres itu terpaksa memperlahankan kelajuan untuk melepasi longgokan kayu balak yang hanyut di atas Sungai Rajang. Epoi melontarkan pandangannya ke Sungai Rajang dari tingkap bot ekspres. Beberapa keping gambar batang pokok balak yang hanyut di Sungai Rajang berjaya dirakam oleh Epoi.
Di Jeti Kapit, Epoi didatangi empat orang lelaki yang bertubuh sasa dan lengannya dipenuhi cacah. Tanpa sepatah kata, salah seorang dari mereka merampas kamera Epoi. Epoi tercengang. Lidahnya kebas.
“Mari ikut kami. Bos Ugam mahu jumpa!” jerkah lelaki yang merampas kamera beresolusi tingginya.
Epoi diiringi menuju ke sebuah bot hitam berkelajuan tinggi yang ditambat tidak jauh dari bot ekspres Laju Maju. Di dalam bot, seorang lelaki berperut boroi berdiri berpeluk tubuh dan tersenyum sinis melihat Epoi. Tidak semena-mena Epoi merasakan kepalanya diketuk dengan kuat dari arah belakang dan pandangannya serta-merta menjadi gelap. Setelah membuka matanya, dia mendapati di sekelilinginya ratusan pokok yang sebesar dua pemeluk orang dewasa rebah di atas tanah. Jentera-jentera gergasi dengan ghairah mengangkat batang-batang pokok itu lalu diletakkan ke belakang sebuah lori yang berbentuk seperti seekor lipan.
Sebelum ditugaskan ke hutan Baleh, sudah ada desas-desus akan kegiatan pembalakan haram yang rancak dijalankan di dalam hutan yang diairi sungai terpanjang di Malaysia, sungai yang kaya dengan sumber protein dari ikan empurau, semah, baung dan pelbagai jenis ikan yang bernilai tinggi. Saban hari, Epoi menerima panggilan dari penduduk Kampung Baleh, mengkhabarkan pokok-pokok gergasi yang menjadi kebanggaan mereka turun-temurun tumbang menyembah tanah. Demi menutup jejak yang hina, hutan-hutan dibakar setelah dikorek keluar isi perutnya yang bernilai jutaan ringgit. Nilai yang membawa kekayaan yang luar biasa kepada tujuh keturunan tetapi memiskinkan seluruh generasi yang akan datang. Hutan rimba yang nirmala, kini bertukar menjadi tompok-tompok kudis yang bernanah lalu membawa maut kepada para penghuni rimba.
“Harum rimba kerana penghuninya, dan kita manusia yang menghilangkannya,” Epoi pernah mengungkapkan kata-kata itu di dalam Seminar Alam Semulajadi di sebuah bangunan terkemuka di Kuching, Sarawak suatu ketika dahulu.
Masih terbayang di mata Epoi, para tetamu terhormat di dalam bangunan terkemuka itu melopong ketika skrin layar memaparkan ribuan bangkai haiwan bergelimpangan di atas lantai bumi yang gondol, bukit-bukit batu kapur bak kaca dihempas ke lantai konkrit, sungai bertukar wajah mengalir lesu, selesu jiwa penghuni rimba yang tidak berdaya untuk melawan. Suasana di dalam dewan berprestij itu menjadi gamat seketika dengan suara riuh dari para jemputan.
Apakah mereka tidak percaya pada mata mereka sendiri? Atau mata mereka sudah ditusuk oleh aura kekejaman manusia ke atas penghuni rimba? Epoi tiada jawapannya.
‘Aku tidak akan berhenti. Pecah satu lensa ada beratus yang menanti,’ tegas Epoi di dalam hatinya. Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, dia berjaya duduk. Pergelangan tangannya kebas, deria sentuh pada hujung jari seakan tidak berfungsi. Barangkali deria di situ juga sudah mulai mati, tetapi semangat juang Epoi sama sekali tidak akan mati. Itu pasti!
“Dub!” Tidak semena-mena satu tumbukan singgah mengejut pada perut Epoi. Mujur tumbukan itu sedikit tersasar dari pangkal jantung, jikalau tidak pasti jantungnya berhenti berdetak. Pandangan Epoi berbinar-binar. Nafasnya tersekat-sekat. Dia batuk dan muntah angin.
Selintas itu, dia teringat akan rakan-rakan selensanya. Dia sudah ditegah agar tidak memijak ke hutan Baleh itu. Di dalam hutan itu, ada manusia yang lebih buas dari harimau bintang dan lebih licik dari haiwan menjalar berkulit batik sebesar betis orang dewasa. Kata-kata rakan-rakannya itu sekadar membelai manja cuping telinganya. Dia tidak gentar dan tidak akan berundur.
“Aku tidak akan berhenti selagi aku dipinjamkan nyawa,” tegas Epoi ketika menjawab rakan-rakannya.
Tanpa sedar, Epoi mendongak, memandang tepat ke muka Ugam. Bibir Epoi menguntum secebis senyuman. Secebis cuma. Senyuman itu membuatkan Ugam melongo.
“Hari ini kau musnahkan hutan, esok hutan akan musnahkan kau!” jerkah Epoi. “Hukum alam.” Epoi ketawa berdekah-dekah.
“Pap!” kali ini satu tamparan yang teramat padu hinggap pada pipi Epoi. Kebas seluruh muka Epoi. Kepedihan mencengkam sehingga ke tulang belakang.
Badan Epoi terpelanting. Mukanya tersembam pada tanah. Bau tanah lumpur menyusup masuk ke rongga hidungnya. Epoi cuba bangkit namun kali ini kasut kulit Ugam yang dipenuhi lumpur hinggap tepat pada perutnya. Sekali lagi, nafas Epoi seakan-akan berketul-ketul menyumbatpadat kerongkongnya.
Tidak semena-mena, angin bertiup dengan kuat, daun-daun kering berterbangan tanpa arah. Langit yang cerah diselubungi awan gelap. Konco-konco Ugam seperti lipas yang disimbah air panas, berlari menyelamatkan gergaji rantai. Ugam termengah-mengah berlari ke arah beg kulit yang sebesar perutnya.
Hujan yang begitu lebat bagai menangisi kerakusan manusia membuatkan tanah merah yang lapang dan bercerun itu seperti papan gelongsor. Ugam tergelincir lalu terjelepok ketika dia meniti pada batang pokok tumbang. Beg yang disangkut pada bahunya terlepas. Serentak dengan itu, ratusan keping kertas yang berwarna ungu dimuntahkan dari perut beg kulitnya dan berterbangan bersama daun-daun.
Segera Ugam mengejar kepingan kertas itu. Dia menjerit memanggil konco-konconya namun suaranya ditenggelami oleh deru angin yang mengganas, menghempas apa sahaja yang cuba menghalang laluannya, termasuk tubuh Ugam.
Tiba-tiba, tanah merah bergerak seperti aliran sungai menuju ke arah Ugam. Cepat-cepat Epoi merangkak ke arah sebatang tunggul kayu hasil dari kekejaman Ugam dan konco-konconya. Dengan kesakitan pada perutnya, Epoi naik ke atas tunggul itu dan memandang ke arah Ugam yang berkali-kali tergelincir di atas tanah merah hasil dari kerakusannya sendiri. Aliran air merah semakin kuat menghentam Ugam. Ugam terkapai-kapai. Ugam tercungap-cungap. Ugam tenggelam timbul di sebalik aliran lumpur yang semakin deras dan Ugam bagaikan ditelan oleh tanah merah yang memendam dendam di atas perbuatannya.
‘Sudah aku kata, hukum alam,’ desis Epoi tenang.