PANGLIMA Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang bercakap ketika sidang media selepas meninjau pelaksanaan Operasi Benteng Khas Siri Dua (OBK2) di KD Sultan Ismail Pengerang semalam. • Foto BERNAMA
KOTA TINGGI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan tambahan bagi memperkasakan sempadan darat dan maritim negara susulan pembukaan sempadan negara bermula 1 April.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dijangka meningkat berikutan pembukaan sempadan, justeru, pembelian aset berteknologi tinggi dilihat dapat memperkasakan kawalan serta pengawasan secara lebih efisien dan efektif.
Beliau berkata aset berteknologi tinggi itu antaranya melibatkan peralatan seperti binokular jarak jauh, binokular penglihatan malam dan keperluan penambahan sistem radar bagi memantau aktiviti kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan.
“Besarlah harapan saya agar peruntukan pertahanan negara dapat memberikan lebih peruntukan bagi pemerkasaan sempadan daratan dan maritim negara terutamanya dari segi perolehan aset dan logistik.
“Ia adalah satu pelaburan jangka panjang yang sangat berbaloi kerana pencerobohan pendatang tanpa izin ini sentiasa ada dan perlu ditangani setiap masa,” katanya pada sidang media selepas lawatan sempena Op Benteng Khas Siri Dua di KD Sultan Ismail Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tanjung Pengelih, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan ATM bagi pembukaan sempadan negara.
Affendi berkata, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang mempunyai keupayaan pengesanan haba (Thermal Image Camera) di lokaliti hotspot untuk mengawasi titik pendaratan serta pergerakan curiga, selain pemantauan operasi mencari dan menyelamat (SAR), dapat mengurangkan aturgerak anggota di lapangan.
Ditanya mengenai Op Benteng yang akan ditamatkan Jun tahun ini, beliau berkata satu perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara telah dibuat bagi menentukan hala tuju ATM susulan penamatan operasi berkenaan.
“Kita akan umumkan selepas kita mendapat satu perancangan yang dimeterai. Pada masa sama saya berharap perkara ini boleh dilakukan dan operasi untuk memperkasa sempadan ini diteruskan dengan cara dan kaedah lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sejak Mei 2020 hingga 10 Mac lepas, sebanyak 4,278 pendatang tanpa izin telah ditahan dalam Op Benteng dengan warganegara Indonesia adalah paling ramai iaitu 3,476 orang.
Beliau berkata bagi tempoh sama juga, sebanyak 1,074 kes dicatatkan melibatkan tangkapan, kes penglihatan (pemantauan udara), pengusiran, rampasan barang tanpa tuan dan rompakan laut, membabitkan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM175 juta. – Bernama