KUCHING: Kerajaan Sarawak menyampaikan insentif berjumlah RM1.834 juta kepada atlet-atlet yang cemerlang pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Penyerahan insentif tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam majlis penyampaian insentif kontinjen Sarawak SUKMA XXI di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Perenang muda sensasi Sarawak, Kelly Yao Teo, mengungguli senarai penerima insentif tertinggi apabila membawa pulang RM96,000 hasil kejayaannya menggondol enam pingat emas, satu perak, dan dua gangsa sepanjang temasya yang berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos lalu.
Atlet berusia 18 tahun itu menjadi individu paling berjaya pada SUKMA kali ini, membuktikan dirinya sebagai bintang yang sedang meningkat naik dalam arena sukan renang.
Selain Kelly, atlet olahraga Jonah Chang Rigan yang merangkul tiga pingat emas dan memecahkan satu rekod kejohanan menerima insentif kedua terbesar sebanyak RM46,000 manakala atlet wushu, Stephanie Ngu Chai Ern, menerima RM45,000 berikutan kejayaannya merangkul tiga pingat emas.
Atlet tenpin boling, Nur Hazirah Ramli, yang berjaya mengutip empat pingat emas dan satu gangsa menerima RM36,000, manakala penerjun muda berbakat, Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin membawa pulang RM35,000 selepas memenangi tiga emas dan satu perak.
Dalam kategori berpasukan, skuad taekwondo Sarawak mencatat pencapaian luar biasa apabila muncul penerima insentif tertinggi dengan membawa pulang RM197,000 hasil kemenangan 11 pingat emas, empat perak, dan empat gangsa.
Skuad renang pula berada di tempat kedua dengan menerima RM166,000 hasil kutipan sembilan emas, satu perak, dan tujuh gangsa, manakala skuad terjun meraih RM156,000 dengan sembilan emas, tiga perak, dan dua gangsa.
Pasukan olahraga pula meraih insentif RM128,000 selepas mengutip lima emas, empat perak, dan sepuluh gangsa, diikuti skuad muaythai yang memperoleh RM98,000 hasil kejayaan lima emas, empat perak, dan satu gangsa.
Sukan pencak silat tidak ketinggalan dengan membawa pulang RM96,000 berikutan kejayaan merangkul lima emas dan tujuh gangsa, manakala tenpin boling meraih RM92,000 hasil kutipan lima emas, satu perak, dan dua gangsa.
Skuad petanque pula menerima RM91,000 melalui lima emas dan tiga perak, sementara skuad tinju berjaya membawa pulang RM89,000 hasil kemenangan empat emas, empat perak, dan tiga gangsa.
Kem wushu, selain insentif individu, juga menyumbang RM82,000 menerusi tiga emas, lima perak, dan empat gangsa, manakala skuad skuasy menerima RM60,000 dengan dua emas, satu perak, dan dua gangsa.
Antara penerima insentif lain termasuklah pasukan pelayaran yang meraih RM48,000, bola tampar wanita (RM42,000), gimnastik artistik (RM41,000), golf (RM41,000), menembak (RM41,000), sepak takraw wanita (RM40,000), memanah (RM38,000), futsal lelaki (RM32,000), kriket lelaki (RM28,000), lawan pedang (RM28,000), karate (RM27,000), judo (RM25,000), ragbi wanita (RM24,000), badminton (RM15,000), dan bola tampar lelaki (RM14,000).
Pasukan kriket wanita juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima RM14,000, diikuti pasukan lawn bowls (RM13,000), silambam (RM13,000), kabaddi lelaki (RM12,000), angkat berat (RM11,000), tenis (RM10,000), berbasikal (RM8,000), e-sports (RM8,000), gimrama (RM3,000), dan ping pong (RM3,000).
SUKMA XXI Sarawak 2024 juga menyaksikan lima atlet berjaya memecahkan rekod kejohanan.
Antaranya, Ng Jing Xuan dalam acara merejam lembing, Jonah Chang Rigan (lontar peluru), Joey Tan Xing Lei (memanah), Liew Yu Jie (memanah), dan Puong Wei Hii dalam sukan renang.
Pencapaian ini menambah lagi kegemilangan Sarawak sebagai kuasa besar dalam sukan negara, dan muncul juara SUKMA 2024.
Majlis penyampaian insentif ini turut dihadiri oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Dengan jumlah insentif keseluruhan yang diserahkan, temasya kali ini tidak hanya menjadi medan persaingan sihat bagi atlet-atlet muda, malah juga sebagai pengiktirafan terhadap usaha keras mereka yang membawa kejayaan kepada negeri Sarawak.
Oleh SHAHRUL QAIZAT